Ada sirih ada pinang,
Nantikan gambir dengan kapur;
Sudah dipilih sudah dipinang,
Hanya menanti ijab kabul.
Ada yang datang waktu petang,
Ada yang datang pakai kereta;
Tuahlah badan mendapat gelang,
Mendapat cincin berbatu pula.
Air cetek mencuci baju,
Bangun siang menidur anak;
Lama ditinggal ingatkan satu,
Jangan tak hibur oranglah banyak.
Air pasang deras ke hulu,
Bila tenang dimandi budak;
Kami datang pulang dahulu,
Bila senang mari pulak.
Air surut ikan geramai,
Sudah dapat ikan tenggiri;
Masa hidup kita berdamai,
Mati nanti seorang diri.
Alang-alang mandi di dulang,
Sayang keronsang darilah bertali;
Alang-alang kita bergendang,
Baik dan jahat langsung sekali.
Ambil air dari perigi,
Ada yang dijinjing ada ditatang;
Belum disuruh sudah pergi,
Belum dipanggil sudah datang.
Ambil galah jolok kedondong,
Galah patah menimpa dahan;
Bukannya salah ibu mengandung,
Sudah nasib permintaan badan.
Ambil galah pepahkan jantung,
Jantungnya jatuh ke balik pagar;
Saya tak mahu berbalas pantun,
Pantun saya baru belajar.
Ambil kapak di tengah laman,
Tanam sirih tepi telaga;
Ibu bapa tentu tak berkenan,
Sekalian waris pun tak suka.
Ambil lepas dalam cerana,
Ambil tali ikat peria;
Ambo nak pelepas anak teruna,
Pelepas sekali anak dara.
Anai-anai di tanah rekah,
Mari dikais menimba hari;
Masa suka ramai berdekah,
Waktu menangis seorang diri.
Anak angsa tepi perahu,
Mari dipakai mengkuang duri;
Selama ini baru kutahu,
Cari makan lepaskan diri.
Anak ayam bulu balik,
Cari makan tepi paya;
Minta tumpang berjalan balik,
Makan minum saya belanja.
Anak ayam turun ke buluh,
Cucilah kasut tinggal sembilan;
Asal abang jangan digaduh,
Jangan takut hantar ke depan.
Anak cicak anak keredek,
Rama-rama menyusur pantai;
Dia bijak saya cerdik,
Sama-sama mengadu pandai.
Anak Cina berbaju tangsi,
Pakai baju dengan kainnya;
Saya ini banyak yang benci,
Sampai masa berguna jua.
Anak Cina menjual madat,
Dari pasar terus ke Bali;
Hidup di dunia biar beradat,
Kasih tidak dijual beli.
Anak Cina pandai berbaju,
Sudah berbaju berkancing pula;
Alangkah hina yatim piatu,
Sudah piatu miskin pula.
Anak Cina pelihara babi,
Diberi makan daun keladi;
Anak siapa berpantun tadi,
Cuba pantun sekali lagi.
Anak Cina pergi ke kota,
Pakai mari kain cukin;
Besar gunanya api pelita,
Rupamu boleh tutup miskin.
Anak Cina pulang ke China,
Sampai di China menjual arang;
Sudah miskin lagi hina,
Jauh beza dari orang.
Anak Cina pulang ke China,
Datang ke China memakan babi;
Tuan punya saya pun punya,
Sedikit seorang kita berbahagi.
Anak Cina pulang ke China,
Sampai ke China menjual ragi;
Engkau punya aku pun punya,
Sama sekerat kita berbahagi.
Anak dara pergi ke Jeddah,
Sampai di Jeddah berperi-peri;
Menjual suara bukannya mudah,
Hendak mencari nafkah sendiri.
Anak enggang kelima-lima,
Ingat-ingat tanda merah;
Anak dagang saya terima,
Ini pula daging darah.
Anak India membawa madat,
Dari Kedah langsung ke Bali;
Hidup manusia biar beradat,
Bahasa tidak berjual-beli.
Anak itik bawah rumah,
Main budak cepat berlari;
Oi, encik orang di rumah,
Terima tidak kami ke sini.
Anak itik anak angsa,
Atas tepung atas peti;
Bertitis air mata,
Orang kampung habis benci.
Anak itik bawah rumah,
Main budak cepat berlari;
Oh encik orang di rumah,
Terima tidak saya ke mari
Anak itik di bawah batang,
Limau manis masaknya minyak;
Raja di rakit sudah pun datang,
Riuh-rendah suara banyak.
Anak itik pandai berenang,
Mari bidas dengan batu;
Sirih sampai ikat pinang,
Sirih sampai Jongok Bat
Anak kala memanjat pinang,
Nampak dari tanah Makkah;
Masa ini kita bertunang,
Sabar-sabarlah sebelum menikah.
Anak helang di atas gunung,
Singgah semalam di Bukit Pinang;
Tengah malam bangkit melengung,
Bila tahun kita nak senang.
Anak lutung di pokok jelutung,
Anak mawas di pokok ara;
Ramai-ramai kita berpantun,
Kerana memuja teruna dan dara.
Anak pipit mati terhimpit,
Mati dipanah kumbang hijau;
Santaplah tuan pinang bergigit,
Saya nak membelah tidak berpisau.
Anak seluang si mangki-mangki,
Anak kalatau merah matanya;
Anak orang laki-laki,
Sudah besar banyak tuahnya.
Anak sepat mata merah,
Ambil lepas dalam cerana;
Kalau tersepak jangan marah,
Ambo nak pelepas anak teruna.
Anak sindorai siamang,
Digatuk pinang Pasir Lumut;
Adik jangan tergamang,
Hamba biasa susah hidup.
Anak udang ada sejemput,
Letak mari atas pelantar;
Datang tidak menjemput,
Balik tidak berhantar.
Anak udang, udang juga,
Tidak sama anak tenggiri;
Anak orang orang juga,
Tidak sama anak sendiri.
Anak udang, udang juga,
Tak boleh dibuat anak tenggiri;
Anak orang, orang juga,
Tak boleh dibuat anak sendiri.
Angin barat gelombang timur,
Ombak memecah di atas tangga;
Tuan di barat kami di timur,
Panas bersama datang menganga.
Angkat galah sandar galah,
Mari disandar di pohon pinang;
Kalau alah mengaku kalah,
Janganlah adik mengaku menang.
Anjunglah Siam patah kemudi,
Ambil paku lantak di papan;
Diamlah diam tidak berbunyi,
Lupalah malu bertepuk sopan.
Apa dijual apa dibeli,
Mari sukat gantang Ali;
Bahasa tak boleh dijual beli,
Dari hidup sampai mati.
Apa guna asam paya,
Kalau tidak menggulai ikan;
Apa guna lagak dan gaya,
Kalau bahasa tidak dihiraukan.
Asah taji asah golok,
Buat menyabung ayam kelabu;
Saya janji masak di pokok,
Kalau ranggah saya tak mahu.
Ayam kelabu pakai topi,
Rotan selingkar jatuh ke lubuk;
Inilah air pembasuh kaki,
Inilah tikar setempat duduk.
Ayam kelabu pakai topi,
Rotan selingkar jatuh ke lubuk;
Inilah air pembasuh kaki,
Inilah tikar setempat duduk.
Kategori Agama:
Ada berempat sahabat nabi,
Ada seorang jadi khalifah;
Abu Bakar, Omar, Usman, dan Ali,
Saidina Ali suami Fatimah.
Akar keramat akar bertuah,
Akar bertepuk di gua batu;
Nabi Muhammad cintakan Allah,
Di mana tuan masa itu?
Al-Hassani wal Hussain,
Wahai cucu Rasulullah;
Wafat Hassan tinggal Hussain,
Wafat perang sabillullah.
Ambil galah jolok limau,
Limau jatuh atas paku;
Ditakdir Allah ditangkap harimau,
Kalau hidup tak boleh kat aku.
Ambil galah kupaskan jantung,
Orang Arab bergoreng kicap;
Kepada Allah tempat bergantung,
Kepada nabi tempat mengucap.
Anak ayam turun dua,
Satu mati tinggal satu;
Minta ampun segala dosa,
Hendak menyebut Tuhan yang satu.
Anak ayam turun empat,
Mati seekor tinggalnya tiga;
Supaya hamba membaca sifat,
Lekas juga jalan ke syurga.
Anak ayam turun empat,
Satu mati tinggal tiga;
Minta tulis dalam makrifat,
Minta masuk dalam syurga.
Anak ayam turun enam,
Satu mati tinggal lima;
Minta doa tetapkan iman,
Minta mati dalam agama.
Anak ayam turun lima,
Satu mati tinggal empat;
Minta mati dalam agama,
Biarlah tulis jalan makrifat.
Anak ayam turun satu,
Satu mati sambar helang;
Minta ampun Tuhan yang satu,
Minta mati dalam Islam.
Anak ayam turun sembilan,
Mati seekor tinggalnya lapan;
Akan bekalan hari kemudian,
Di dalam kubur berdinding papan.
Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan;
Kutuntut ilmu bersungguh-sungguh,
Akan buat bekalan hari kemudian.
Anak ayam turun tiga,
Satu mati tinggal dua;
Minta masuk dalam syurga,
Minta habis segala dosa.
Anak ayam turun tujuh,
Satu mati tinggal enam;
Minta jauh neraka tujuh,
Minta doa tetapkan iman.
Anak ayam turunnya enam,
Mati seekor tinggalnya lima;
Dijilat oleh neraka jahanam,
Budi Tuhan sudah diterima.
Anak ayam turunnya lapan,
Mati seekor tinggalnya tujuh;
Di dalam kubur berdinding papan,
Hancur luluh seluruh tubuh.
Anak ayam turunnya lima,
Mati seekor tinggalnya empat;
Budi Tuhannya sudah diterima,
Supaya hambanya membaca sifat.
Anak ayam turunnya tiga,
Mati seekor tinggalnya dua;
Supaya tahu jalan ke syurga,
Hilai-hilai dimakbulkan doa.
Anak ayam turunnya tujuh,
Mati seekor tinggalnya enam;
Hancur luluh seluruh tubuh,
Dijilat oleh neraka jahanam.
Anak labi makan mengecap,
Beri makan kelopak jantung;
Pada nabi saya mengucap,
Pada Tuhan saya bergantung.
Anak Cina menganyam tikar,
Bawa mari ke pasar lama;
Kalau tuan ajaknya tukar,
Mintalah doa selama-lama.
Angin bertiup lautan bergelombang,
Di tengah lautan kapal berlabuh;
Diharap keluarga tak usahlah bimbang,
Doakan sakit segera sembuh.
Apa guna berkaki dua,
Kalau tidak berjalan lagi;
Apa guna kita bersua,
Kalau tidak bersembahyang lagi.
Asal buah asam gelugur,
Tiga dengan asam bali;
Menangis diri di pintu kubur,
Dunia tak boleh balik dua kali.
Asalnya kandis buah gelugur,
Masak sebiji di pintu pagar;
Duduk menangis di pintu kubur,
Terkenang di dunia tidak belajar.
Asam cuka si ramania,
Pancukan baginda Ali;
Suka-suka di dalam dunia,
Qadak hidup dua kali.
Asam kandis asam gelugur,
Dua urat asam belimbing;
Menangis mayat dalam kubur,
Melihat papan menjadi dinding.
Asam kandis asam gelugur,
Kena dengan asam rumbia;
Tuan menangis di pintu kubur,
Rasa nak balik ke dunia.
Asam kandis asam gelugur,
Ketiga dengan asam rumbia;
Hati menangis di pintu kubur,
Kerana nak balik dalam dunia.
Asam rumbia dibelah-belah,
Buah separah dalam raga;
Dunia ikut firman Allah,
Akhirat juga mendapat syurga.
Ayuhai yudin papan yudin,
Rapat papan Seri Jawa;
Cik Malim terapat dinding,
Terapat badan serta nyawa.
Kategori Budi:
Ada dudi dudi kukasih,
Tiada dudi kulepas buang;
Ada budi budi kukasih,
Tiada budi kulepas buang.
Ada kerusi ada meja,
Itulah tempat membasuh kaki;
Ada budi ada bahasa,
Itulah tempat ditaruh hati.
Ambil cengal buat kemudi,
Hanyut batang hambat berhambat;
Abang dengar saya baik budi,
Abang datang lambat sangat.
Ambil kain buangkan baju,
Kerana baju tidak bertepi;
Ambil lain buangkan aku,
Kerana aku tidak berbudi.
Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun;
Budi tuan saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.
Anak angsa mati lemas,
Lemas mari di air masin;
Hilang bangsa kerana emas,
Hilang budi kerana miskin.
Anak buaya naik mencuri,
Singgah mari di Pasir Panjang;
Hutang budi sukar dicari,
Kalau dapat kasih berpanjangan.
Anak Cina ke Tanjung Jati,
Singgah petik buah berembang;
Dari jauh tiba ke mari,
Kerana budi baik orang.
Anak Cina mengirim surat,
Dari Jawa sampai ke Deli;
Hidup kita dikandung adat,
Budi tidak dijual beli.
Anak dara berkain cukin,
Dari Daik bulan puasa;
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.
Anak ikan dimakan ikan,
Manakan sama ikan tenggiri;
Mati ikan kerana umpan,
Mati tuan kerana budi.
Anak itik pandai berenang,
Singgah makan daun buluh;
Budi baik jangan dikenang,
Kalau dikenang hati luluh.
Anak itik pandai menari,
Anak angsa terlompat-lompat;
Rupa cantik dapat dicari,
Budi bahasa mana nak dapat.
Anak merak Kampung Cina,
Singgah berhenti kepala titi;
Emas perak kebesaran dunia,
Budi bahasa tak dapat dicari.
Anak teruna menanam betik,
Buah cempedak dalam raga;
Apalah guna berwajah cantik,
Kalau kurang budi bahasa.
Anak ungka terbang cepat,
Anak kedidi berjalan sedepa;
Bukan senang mencari sahabat,
Sahabat berbudi sukar dijumpa.
Angin barat angin utara,
Tinggi petak pada ruang;
Jangan harap pada saya,
Hak tiada bahasa pun kurang.
Apa ada dalam cerana,
Cerana berisi si bunga melur;
Apalah salah hendak bertanya,
Budi sebetul jalan sebenar.
Apa diharap pada jerami,
Habis padi jerami dibuang;
Apa diharap kepada kami,
Muka buruk budi kurang.
Apa diharap padi rendang,
Daun berombak ditiup bayu;
Apa diharap budinya orang,
Tidak sama budinya ibu.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak berbaju kasa;
Apa guna memandang cantik,
Kalau tidak berbudi bahasa.
Apa guna bunga raya,
Kerana tidak berbau wangi;
Apa guna rupa dan kaya,
Kalau perangai tidak berbudi.
Apa guna sayur betik,
Kalau tidak menggulai keladi;
Apa guna berbini cantik,
Kalau hidup tidak berbudi.
Apa guna si padi hampa,
Hampa menjadi si hampa layang;
Apa ada kepada saya,
Bahasa tiada rupa pun kurang.
Apa khabar tamu Acheh,
Kalau Acheh rasinya;
Macam mana berkasih,
Kalau kasih ada budinya.
Apa pandang padi paya,
Tinggi petak dari ruang;
Apa pandang kepada saya,
Budi tidak bahasa pun kurang.
Api dalam gelas,
Sayang selasih berisi minyak;
Budi bertiga tidak terbalas,
Terima kasih banyak-banyak.
Asam kandis mari dihiris,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
Lebih manis hati budinya.
Asam pauh asam kelubi,
Hanyut ke laut timbul tenggelam;
Ini rasa mengenang budi,
Rumah jauh hari pun malam.
Ayam hutan terbang ke hutan,
Tali tersangkut pagar duri;
Adik bukan saudara bukan,
Hati tersangkut kerana budi.
Ayam hutan terbang ke hutan,
Sangkut sedikit kerana duri;
Adik bukan abang pun bukan,
Sangkut sedikit kerana budi.
Ayam hutan terbang ke hutan,
Sangkut sikit tali kemudi;
Daging bukan darah pun bukan,
Sangkut sikit kerana budi.
Kategori Jenaka:
Aku suka berumah tinggi,
Pelantar besar sudah roboh;
Aku suka beranak tiri,
Anak besar senang disuruh.
Aku tak suka berumah tinggi,
Tiang bertakuk bendul bertarah;
Aku tak suka beranak tiri,
Anak dikatuk emaknya marah.
Ambil parang cuba dikerat,
Ekornya pendek putus sekerat;
Harimau garang dapat dijerat,
Mulut ternganga dihurung lalat.
Ambil parang pergi menebas,
Dahannya jatuh merata-rata;
Dulu hamba mergastua bebas,
Sekarang dijerat si molek jelita.
Anak Batak pandai menari,
Anak Rama pandai melata;
Kalau masak angkat ke mari,
Sama-sama kita merasa.
Anak Cina masak itik,
Masak mari sampai luluh;
Memang tak guna berbini cantik,
Hari-hari sahaja bergaduh.
Anak dara pandai bergaya,
Kain sempit berbelah dada;
Jalannya lembut berlenggang sahaja,
Rajin bersolek malas bekerja.
Anak ikan anak angsa,
Anak kala makan api;
Patuk tedung abang tak bisa,
Jeling janda nyaris nak mati.
Anak ikan jangan digoreng,
Kalau digoreng hilang lemaknya;
Anak orang jangan dijeling,
Kalau dijeling marah emaknya.
Anak ikan jangan digoreng,
Kalau digoreng pecah lemaknya;
Anak orang jangan dijeling,
Kalau dijeling marah emaknya.
Anak lintah tergedit-gedit,
Anak harimau menyeberang paya;
Nak nikah tergedit-gedit,
Orang tak mahu apakan daya.
Anak merbah di paya Tuk Barat,
Pakai kain dua seragi;
Hang tak megah aku tak minat,
Orang lain ramai lagi.
Anak sepat anak sembilai,
Anak tengkarung di dalam padi;
Dari jauh sengek dan kulai,
Senyum serong haram tak jadi.
Anak tiung terdongak-dongak,
Mari dongak dalam perahu;
Hendak bercium gigi rongak,
Orang luar sudahlah tahu.
Angin ini angin apa?
Angin melelai pucuk jambu;
Main ini main apa?
Main sudah sejelak jemu.
Apa benda bunyi terdesar,
Anak monyet berkejar-kejar;
Bukankah kucing guru yang besar,
Harimau di hutan semua diajar?
Apa benda tepi pagar,
Ular hitam nampak melingkar;
Garang-garang rimau akar,
Lebih-lebih pun baru dia cakar.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.
Apa guna bermain lilin,
Lilin asal dari lemak;
Apalah guna jeling-menjeling,
Tersalah jeling marah emak.
Apa guna bermain lilin,
Lilin asal dari lemak;
Apalah guna jeling-menjeling,
Tersalah jeling marah emak.
Apa merah dalam padi,
Buah ciku dengan bedak;
Apa dimarah pada kami,
Sekali marah sekali tidak.
Apa merah di dalam padi,
Pucuk kandis digulai asam;
Apa marah di dalam hati,
Muka manis ditarik masam.
Apa merah di kaki langit,
Putik delima dilari kuda;
Apalah merah di sanggul Kak Nit,
Bungalah sirih cempaka muda.
Apa putih di tengah laut,
Ruku-ruku tanaman Cina;
Apa putih di tengah rambut,
Telur kutu disangka bunga.
Apa putih di tengah laut?
Anak Cina menangguk udang;
Apa putih di tengah rambut?
Bunga cina baru nak kembang.
Apa siapa tiga terajur,
Nampak mari Gunung Datuk;
Hati saya sudah hancur,
Kena ilmu dalam rokok.
Ari-ari di balik rumah,
Akarnya bersilang-silang;
Anak dara duduk di rumah,
Janda juga dengan terbilang.
Assalamualaikum salam,
Kayu birah dimakan api;
Siapa lalu semalam,
Baju merah gelang di kaki.
Awal mula dikarang,
Pantun Melayu anak Semarang;
Jika tidak belacu jarang,
Sumpit gandum dipakai orang.
Ayam bulu balik,
Telur atas para;
Abang baru balik,
Tidak bawa apa.
Ayam hitam celah batang,
Jumpa semak baru bertelur;
Sayang Cik Hitam baru datang,
Bawa minyak bunga melur.
Ayun pak pek pak pong,
Ayun laju laju;
Apa kakak dukung,
Dukung kucing kelabu.
Kategori Kiasan/Sindiran:
Ada damak ada ipuh,
Naik ke bukit nampak sumpitnya;
Emas perak senang disepuh,
Kalau besi nampak karatnya.
Ada kolah pada masjid,
Tempat budak sembahyang raya;
Tengah malam bintang terbit,
Bulan juga membawa cahaya.
Ada rumah tidak berpintu,
Ada pintu tidak bertingkap;
Rimau garang memang begitu,
Mengaum saja tidak menangkap.
Ada satu anak Brunei,
Cari makan menimba jala;
Jangan ikut arus di sungai,
Takut terkepung pintu kuala.
Ada satu anak Brunei,
Suka bermain baling-baling;
Seekor lang seekor punai,
Cuba buangkan bisa di daging.
Ada satu anak Mengkabau,
Cari makan di kebun Cina;
Sudah runtuh gunung Rembau,
Gunung Ledang ada gantinya.
Ada satu anak orang,
Hari-hari main perahu;
Sungguhpun jalak ayam sabungan,
Kokok jalak serba tahu.
Ada satu anak Semarang,
Pakai cukin kain jarang;
Kalau tidak tunas di batang,
Pokok yang mana boleh dicabang?
Ada satu Cina Kelintong,
Masuk berniaga dalam kampung;
Cuba kulelai cuba kugantung,
Kalau tak patah tentu campung.
Ada satu Mamak Pelikat,
Lima tahun balik negeri;
Bubu kuhimpit lagi kuikat,
Kalau tak kena kupasang lagi.
Ada satu nama si Putung,
Duduk di surau berbaju kurung;
Taruh umpan salah gantung,
Tak kena ikan kena jerung.
Ada satu panglima raja,
Duduk kerusi kepala meja;
Tengah belayar taufan pun tiba,
Sampan kecil mahu buat apa?
Ada satu Putera Alam,
Duduk berkira siang malam;
Sungguh jernih air di kolam,
Tunggul buruk ada di dalam.
Ada satu raja Makasar,
Cukup dengan rakyat menteri;
Jangan dipanah naga yang besar,
Naik ke darat karam sekali.
Ada satu Raja Pahlawan,
Sehari-hari duduk di kota;
Bukanlah bumi dilengkong awan,
Bulan matahari mahu serta.
Ada seorang nama Cik Daud,
Tanam bunga di tepi kolam;
Musim ini musim ribut,
Bolehkah karam di laut dalam?
Air pasang anak-anak,
Sampai pasang hujung sana;
Kerbau jalang baru nak jinak,
Baru merapat kandang lama.
Air pasang mudik ke hulu,
Orang Cina belayar perahu;
Pernahkah dengar dari dahulu,
Tebu pisang gajah tak lalu.
Air tenang nampak termenung,
Hendak berenang terasa takut;
Kalau asal kain ditenun,
Lulus jarum benang mengikut.
Alang-alang betis pelanduk,
Kita matikan tetauk muda;
Pantang helang bersama manuk,
Lama-lama bersama jua.
Ambil bakul isi buah,
Kasi makan orang di Deli;
Sepuluh kali pancing bertuah,
Ikan tidak serahkan diri.
Ambil buluh buat sumpitan,
Hendak menyumpit rumah Cik Bata;
Sungguhpun banyak biring tambatan,
Ayam togel di laman juga.
Ambil jarum cucuk benang,
Jarum ada di dalam cembul;
Air tenang adik mengharung,
Tidak kusangka buaya timbul.
Ambil kain cuba dilipat,
Kain batik bunganya rapat;
Puas dipancing ikan tak dapat,
Cabut joran alih tempat.
Ambil limau di tepi beting,
Beting ada di kebun limau;
Kalau rimau gurunya kucing,
Kenapa kucing takutkan rimau?
Ambil parang galikan tunggul,
Tunggul ada berikat tali;
Matahari masuk bulan pun timbul,
Cahaya bintang tak guna lagi.
Anak anjing dua beradik,
Satu bodoh satu cerdik;
Saya umpama teras yang baik,
Tahan berjemur di panas terik.
Anak Arab lalu sekawan,
Singgah berhenti pohon gaharu;
Jangan harap cahaya bulan,
Bulan tidak terang selalu.
Anak ayam baru berkepak,
Mari patuk burung balam;
Bawa garam cuma secupak,
Takkan masin air di kolam.
Anak Cina belayar kapal,
Pecah cawan terantuk ke kemudi;
Kait bunga galah tak sampai,
Bunga biasa luruh sendiri.
Anak Cina belayar kolek,
Hendak pandai menjaga kemudi;
Kalau semua pilih yang cantik,
Tidaklah laku kain kodi.
Anak Cina berdayung sampan,
Hendak menuju kuala pekan;
Kalau takut tabur umpan,
Mana tahu ikan tak makan.
Anak Cina berjual terung,
Hilang sebiji di tapak tangan;
Sudah lama ayam kukurung,
Cuba-cuba lepas di laman.
Anak Cina dua beradik,
Seorang bodoh seorang cerdik;
Seumpama ayam kudidik,
Cari makan yang baik-baik.
Anak Cina karam di Beting,
Yang seorang pandai berenang;
Bunga banyak boleh disunting,
Bunga tanjung dicari orang.
Anak Cina kebun Cik Ali,
Burung kedidi terbang ke pantai;
Kalau sudah gunung yang tinggi,
Mana boleh dapat dicapai.
Anak Cina masuk berperang,
Bawa senjata dengan rotan;
Sungguh rimau panglima garang,
Pelanduk kecil raja di hutan.
Anak Cina memasang colok,
Pergi ke pasar membeli pari;
Jangan gegar jangan dijolok,
Kerana buah muda lagi.
Anak Cina menanam tebu,
Tanam mari bertapak-tapak;
Sungguh kecil dahan jambu,
Melentur ada patah tidak.
Anak Cina pergi ke hutan,
Ambil terap dengan getahnya;
Tuan umpama permata intan,
Saya nak tumpang kilat cahayanya.
Anak Cina pergi ke hutan,
Pergi ke hutan memburu rusa;
Teras gaharu sangka bukan,
Salah pandang rosak binasa.
Anak Cina sanggul terpacak,
Mati dibunuh Seri Rama;
Adik laksana buah masak,
Bau semerbak ke mana-mana.
Anak dara tersenyum simpul,
Baru selesai bersanding semalam;
Parang saya memangnya tumpul,
Tetak tak luka patah di dalam.
Anak enggang terbang sepuluh,
Hinggap mari dahan berduri;
Sungguh keras buku buluh,
Dimakan bubuk habis sekali.
Anak harimau di dalam dusun,
Rusa tersepit di celah pandan;
Cari bomoh serta dukun,
Bertambah bisa penyakit di badan.
Anak helang dibawa terbang,
Bawa terbang terpingit-pingit;
Kalau abang tahu membilang,
Cubalah bilang bintang di langit.
Anak ikan dimakan ikan,
Ikan bernama si jarang lidi;
Hilang intan berganti intan,
Intan bernama payung negeri.
Anak itik jangan direjam,
Kalau direjam lemaslah dia;
Keris pedang tiada tajam,
Tajamlah lagi mulut manusia.
Anak itik terbang ke hutan,
Disambar buaya patah kakinya;
Bunga cantik jadi suntingan,
Tak sangka begini harum baunya.
Anak kucing dalam raga,
Ibunya pula terlalu garang;
Songket di gedung ada harga,
Jarang-jarang dipakai orang.
Anak kuda makan pagi,
Makan mari daun nangka;
Kalau sudah barang berkunci,
Ibarat buah masak diranggah.
Anak kuda tepi gedung,
Mari makan rumput rampai;
Buah saya buah kedondong,
Sampai lisut tak makan tupai.
Anak kuda tepi perigi,
Masuk di kolam mandikan anak;
Seburuk-buruk parang besi,
Menang juga kayu yang banyak.
Anak laksamana bermain pedang,
Anak Belanda mencukur janggut;
Membuang tuba di tengah padang,
Anak mati di tengah laut.
Anak Melayu belayar pagi,
Nampak angin menentang pelangi;
Bunga layu jangan dikeji,
Sungguh layu baunya wangi.
Anak Melayu sayang Melayu,
Mata melihat hatiku sayu;
Murah harganya sangat terlalu,
Seperti ikan pari dan yu.
Anak perawan manis dan cantik,
Kena pula merah bibirnya;
Matilah kuman kena belantik,
Sekalian alam limpah darahnya.
Anak raja berkirim surat,
Dari timur sampai ke barat;
Senjata lama dah dimakan karat,
Mana tikam susah nak lekat.
Anak Cina anak Yahudi,
Minum arak berpeti-peti;
Sejak bunga dipagar besi,
Kumbang di luar menghempas diri.
Anak raja bermain tombak,
Kain dipakai labuh ke lantai;
Tuah saya sepantun ombak,
Malang di pantai pecah berderai.
Anak raja jalan berpimpin,
Jalan mari tepi pantai;
Sudah sampai buah bermusim,
Paksa kelompang dengan tupai.
Anak raja pergi menyumpit,
Pergi menyumpit pagi hari;
Kalau paya menjadi bukit,
Ditimpa hujan roboh sendiri
Anak raja turun berperang,
Menemui seekor burung terkikir;
Tuan laksana bulan terang,
Cahaya terus di dalam air.
Anak raja turun menjala,
Dapat seekor ikan haruan;
Gunung yang mana jadi paya,
Laut mana jadi daratan?
Anak saudagar pergi berdagang,
Tumpang belayar perahu Melayu;
Kapal belayar muatan kurang,
Kena gelombang tenggelam lalu.
Anak siapa duduk di bangku,
Beli limau taruh di saku;
Singa mengaum di celah batu,
Takut rimau sorokkan kuku.
Anak siapa terbatuk-batuk,
Perut buncit nampak mengantuk;
Kalau pancing ikan betuk,
Kailnya halus baru dipatuk.
Anak siput di atas batang,
Mati disambar ikan yu;
Ribut datang dari belakang,
Kusentap layar bertambah laju.
Anak tiung di kebun Cina,
Hinggap mari di hujung dahan;
Pulau terpasung gunung bertanya,
Adakah ombak atas daratan?
Anak tiung tinggi sekawan,
Anak pelanduk patah kakinya;
Tempat bumbung tersalah rawan,
Hendak dijenguk banyak halangannya.
Anak tontong memanah Semarang,
Buang satu sembilan puluh;
Tuan laksana pokok rausang,
Boleh saya menumpang berteduh.
Anak undan terketik-ketik,
Dikejar ayam patah kaki;
Kami sepantun telur itik,
Kasih ayam maka menjadi.
Anak yu mati terlentang,
Mati ditikam duri semilang;
Pilu hati bukan kepalang,
Gunung tinggi menjadi padang.
Angin ribut barat selatan,
Sayang senduduk kayu kempas;
Pasang jerat keliling hutan,
Sekali lompat habis lepas, jerat/hutan
Apa daya tebing tinggi,
Batang api di Muara Tebas;
Apa daya di tahun ini,
Tanam cili tak pedas.
Apa guna pisau raut,
Raut rotan buat ampaian;
Tidak terkail ikan di laut,
Walau umpan bersalut intan.
Apa guna sambal tumis,
Kalau tak campur asam belimbing;
Apa guna lama menangis,
Tidakkan penuh telaga yang kering.
Apa lauk nasi di rumah,
Ikan bilis beli di pekan;
Tuan umpama senjata yang lemah,
Apa dihiris haram tak makan.
Apa sebab jari di tangan?
Bentangku tuan menjadi sepuluh;
Biji delima mula ditanam,
Peria pahit menjadi tumbuh.
Arus deras Laut Bentan,
Mati menteri ditikam paduka;
Kalau asal permata intan,
Jatuh di gelap cahaya jua.
Asah kapak tajam beliung,
Tebang mari kayu berduri;
Tuanku umpama kemuncak payung,
Patik di bawah berteduh diri.
Asah-asah tajam kalam,
Mari ditulis di kertas Cina;
Sungguhpun tetak patah di dalam,
Syarat ubat carinya kena.
Asam belimbing di dalam belanga,
Dibubuh garam buat jeruk;
Berputik dahulu baru berbunga,
Buahnya jarang dimakan budak.
Asam lebat di tanah Jambi,
Naik ke darat bertanam getah;
Sangat hairan di hati kami,
Hujan lebat haram tak basah.
Asap api membakar embun,
Rendang lada disimpul pulih;
Kalau kaca tangkainya embun,
Pandang ada ambil tak boleh.
Ayam mengeram di dalam sarang,
Terbang ibunya makan padi;
Hutan ditebas jadikan padang,
Kenapa lalang tumbuh lagi?
Ayam siapa nampak rabun,
Taji bisa macam racun;
Sungguh songket bunga bertimbun,
Bukan boleh tahan bertahun.
Kategori Nasihat:
Ada kacang tumbuh di akar,
Akar menyangkut bawah titian;
Carilah akal fikir-fikir,
Jangan menyesal di kemudian.
Ada satu nama Tok Janggut,
Taruh misai serta janggut;
Kalau tak pandai ilmu ribut,
Lebih baik jangan ke laut.
Ajong landai kemudi landai,
Landai mari terhirit duri;
Adik pandai saya pun pandai,
Jangan pula meninggi diri.
Ambil kapak tebang ke kempas,
Batang selasih condong ke lubuk;
Tunang orang janganlah rampas,
Nantilah keris makan rusuk.
Ambil galah panjang sedepa,
Jemur mari kain basahnya;
Jangan salah jangan terlupa,
Kalau rimau nampak belangnya.
Ambil parang cangkulkan tunggul,
Tunggul ada berikat tali;
Rakyat kurang senjata tumpul,
Rakyat di kota separuh mati.
Ambil pedoman di Pulau Pandan,
Kapal datang dari Labuan;
Kalau mengaku ilmu di badan,
Harimau garang dibuat kawan.
Anak ayam di atas pagar,
Turun ke tanah memakan padi;
Kalau hutang wajib dibayar,
Kalau janji wajib ditepati.
Anak beruk di tepi pantai,
Turun ke bendang memakan padi;
Biar buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.
Anak Batak pulang ke Batak,
Sampai ke Batak membelah rotan;
Kalau tak cukup muatan di petak,
Jangan suka melanggar lautan.
Anak dara menumbuk pandan,
Membuat kuih hidangan kenduri;
Ilmu yang baik jadikan teladan,
Segala yang buruk letak ke tepi.
Anak Keling anak Cina,
Ketiga dengan anak Melayu;
Jangan belayar angin tak kena,
Takut karam tenggelam lalu.
Anak kodok tepi perigi,
Buah rambai dalam baldi;
Biar buruk rupa diri,
Asalkan pandai mengambil hati.
Anak merpati terbang sekawan,
Marilah hinggap di balairung seri;
Buahnya letik jangan nan rawan,
Pun damik dalam negeri.
Anak Semabuk pergi ke Kelang,
Berniaga buah serba rasa;
Makin mabuk makin meradang,
Salah runding jadi kecewa.
Anak tenggiri anak selambai,
Ludah-ludah dalam perahu;
Langit tinggi jangan dicapai,
Bumi rendah tengok dahulu.
Anak udang dipukul ribut,
Dari ulu ke Kuala Dua;
Orang seberang jangan direbut,
Ambil pisau dibelah dua.
Angin berdengung Laut Belanda,
Singgah berlabuh hujung Tanjung;
Antara belum porak peranda,
Turun layar baik berlindung.
Angin bertiup bercampur embun,
Ombak memukul dengan taufan;
Apa guna harta bertimbun,
Sudah mati selesai kapan.
Apa benda di tepi hutan,
Entah hantu entah syaitan;
Tak biasa ribut serta taufan,
Jangan berani belayar lautan.
Apa bunyi berderang-derang,
Itulah bunyi kulit kerang;
Ingat bimbang zaman sekarang,
Sedikit yang betul banyak yang kurang.
Apa guna bercerah,
Kalau tidak bercahaya lagi;
Apa guna nyawa berserah,
Kalau tidak belajar lagi.
Apa guna berkain batik,
Kalau corak tidak seragi;
Apa guna berbini cantik,
Kalau tak setuju dalam hati.
Apa guna berpakaian batik,
Kalau bajunya bercorak hitam;
Apa guna berwajah cantik,
Kalau hatinya tidak tenteram.
Apa guna memakai kasut,
Dilangkah akan betis kiri;
Apa guna ilmu dituntut,
Kalau tidak membantu diri.
Apa guna menggali perigi,
Air masin bilakan tawar;
Apa guna bernikah lari,
Nama baik jadi tercemar.
Apa guna meragi kain,
Kalaulah tidak ada bunganya;
Apa guna cari yang lain,
Kalaulah tidak lebih darinya.
Apa guna pandai menali,
Kalau tidak pandai melampun;
Apa guna jadi penari,
Kalau tidak pandai berpantun.
Apa guna pelita minyak,
Sumbu kain berjurai-jurai;
Apalah guna harta yang banyak,
Kalau teringin maksud tak sampai.
Apa guna seguni dedak,
Hendak kuhanyut di rakit buluh;
Tubuh besar berbininya tidak,
Taruh penyakit di dalam tubuh.
Apa guna tanam keranji,
Kalau tidak manis menggula;
Apa guna janji-janji,
Kalau kata tidak dikota.
Apa gunanya kuning langsat,
Walaupun putih terlalu pucat;
Sekali dijeling terloncat-loncat,
Tak usah macam si ikan sepat.
Apa sebab tambur binasa,
Tertikam gunting besi berani;
Kalau takut membuat jasa,
Ambil makan nasi kompani.
Apalah guna membawa lokan,
Kalau ikat tidak bertali;
Apalah guna jauh dipesan,
Masa dekat tidak dipeduli.
Apalah guna rumpun buluh,
Baik ditebang buatkan titi;
Apalah guna duduk mengeluh,
Orang tak ada tak usah dinanti.
Arak tikar kelambu dulu,
Belah pinang dalam lopak;
Sudah gempar berhenti dulu,
Ada senang buat pulak.
Asah sabit kait kelapa,
Anak Cina patah pengandar;
Rugi sedikit tidak mengapa,
Asalkan bencana dapat dihindar.
Asam paya buahnya kisip,
Mari dijual di Batu Pahat;
Badan saya tidak bernasib,
Diberi baik hendaknya jahat.
Ayam todak sendiri batang,
Sorok menyorok depan perahu;
Abang hendak sendiri datang,
Suruh-menyuruh saya tak mahu.
Kategori Pahlawan:
Ada satu anak Limbungan,
Pergi ke pasar membeli kacang;
Memang jalak ayam sabungan,
Biasa mati tengah gelanggang.
Ambil bilah di rumpun jering,
Jering bersanggit di batang pinang;
Kalau jalak lawan biring,
Belum tentu kalah menang.
Ambil kapak belah ke kundur,
Baik terbelah si ibu kaki;
Walau setapak saya tak undur,
Itu adat anak laki-laki.
Ambil perpat buatkan titi,
Ambil kapak belahkan kundur;
Berempat engkau menanti,
Setapak haram aku tak undur.
Anak dekut hutan Merlimau,
Jumpa landak meniti batang;
Kalau takut karam di laut,
Saya tak mahu belayar seorang
Anak dekut hutan Merlimau,
Jumpa landak meniti batang;
Kalau takut makan rimau,
Tidak saya berjalan seorang.
Anak dekut kebun Cik Daud,
Tangkap seekor di celah sarang;
Kalau takut karam di laut,
Saya tak mahu belayar seorang.
Anak haruan lima-lima,
Pilih saja yang mana besar;
Saya bukan ayam betina,
Remak botak pantang berkisar.
Anak kuda mati direjam,
Mati telentang tepi padang;
Memang ada senjata tajam,
Saya tunggu apa yang datang.
Anak lipan sawah padi,
Cari makan tepi pantai;
Senjata simpan dalam peti,
Jumpa musuh baru pakai.
Anak musang jalan meniti,
Titi mari atas pagar;
Tuan helang saya rajawali,
Sama-sama mari menyambar.
Anak yu karang-karang,
Mari karang kepala titi;
Sudah berjumpa lawan yang garang,
Bertentang mata bergoncang hati.
Anik-anik daun kedayan,
Sungguhnya anik pembungkus nasi;
Anik-anik kedayan,
Sungguhnya anik berani mati.
Apa bunga tiada bertangkai,
Tanam budak tepi perigi;
Sama biasa main di pantai,
Haram tak takut berpantang mati.
Apa guna pergi ke bendang,
Kalau tidak bertanam padi;
Apa guna senjata disandang,
Kalau tidak berani mati.
Apalah guna pakai kasut,
Duri apa lekat di kaki;
Apalah guna ilmu dituntut,
Jika tidak berani mati.
Kategori Peribahasa:
Abang sayang disuruh panggilkan,
Suruh nyanyi kena suruh;
Seperti pungguk rindukan bulan,
Disuruh jatuh tak akan jatuh.
Air pasang menanam bayam,
Buyung diisi di dalam loyang;
Jangan diambil resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung.
Ambil bertih dari hulu,
Isi mari di dalam balang;
Bersihkan laman kita dahulu,
Baru bersihkan halaman orang.
Anak babi memakan siput,
Siput bercampur batang keladi;
Kasihkan padi buangkan rumput,
Kasihkan rumput buangkan padi.
Anak buaya pergi bertenung,
Singgah ke lubuk memakan bangkai;
Hendak hati memeluk gunung,
Gunung dipeluk tangan tak sampai.
Anak Cina bermain ceki,
Baju dibuka tinggal seluar;
Kalau sudah bukan rezeki,
Di dalam mulut lari keluar.
Anak Cina telinga bertindik,
Badan kurus panjang lampai;
Hendak melangkah kaki pendek,
Hendak mencapai tangan tak sampai.
Anak dara mengandam dahi,
Rambut ditanam di tepi telaga;
Anjing biasa makan tahi,
Kalau tak makan cium juga.
Anak harimau di Gunung Daik,
Banyak orang berasa gerun;
Batu kecil berguling naik,
Batu besar berguling turun.
Anak haruan mudik berenam,
Lumba-lumba menyusul tebing;
Sama mencecah si hati kuman,
Susah senang sama membimbin.
Anak kunci dikait anak,
Di bawah pokok pohon kelapa;
Kecil jangan disangka anak,
Besar jangan disangka bapa.
Anak lembu ditambat orang,
Makan padi dalam sawah;
Bawa ilmu padi di ladang,
Tambah berisi tunduk ke bawah.
Anak ndong anak ketitir,
Anak merbah terloncat-loncat;
Untung dikendong habis tercicir,
Untung dikejar haram tak dapat.
Anak penghulu pergi ke baruh,
Sampai ke baruh membeli raga;
Kalau di hulu air keruh,
Di hilir pun keruh juga.
Anak punai anak merbah,
Pandai ia membuat sarang;
Anak sungai lagi berubah,
Ini pula hati orang.
Anak rusa mandi di paya,
Lepas mandi makannya rumput;
Tiada orang semacamnya saya,
Makan hati berulam perut.
Anak sepat mudik ke hulu,
Anak haruan putih dadanya;
Siapa cepat dapat dahulu,
Siapa kemudian putih matanya.
Anak sepat sudah melompat,
Ikan limbat melata-lata;
Kalau cepat tentulah dapat,
Kalau terlambat putihlah mata.
Anak tiung anak ketitir,
Anak balau terlompat-lompat;
Barang dikendong habis tercicir,
Barang dikejar haram tak dapat.
Anjing angkat anjing berburu,
Anjing berburu di luar kota;
Lagi tak dapat lagi dituju,
Hendak menyapu arang di muka.
Anjinglah asap asap berbuku,
Anjing menyalak di pintu kota;
Lagi tak dapat lagi berguru,
Hendaklah sapu arang di muka.
Apa benda bunyi riuh,
Rupanya ada orang berperang;
Dia baru mencapai pengayuh,
Kita sudah sampai ke seberang.
Apa busuk di bawah bangku,
Anak ayam mati terlentang;
Siapa duduk dengan Cik Bongsu,
Bagai bulan pagar dek bintang.
Apa disesal kayu berdiri,
Tiada rebah tiada berguna;
Apa disesal semahu diri,
Sial tuah sial hujungnya.
Apa guna buluh betung,
Buluh tidak berguna lagi;
Bunyi guruh berdentum-dentum,
Awan berarak hujan tak jadi.
Apa guna dayung direngkuh,
Perahu payang kayu meranti;
Apalah guna menunggu tumbuh,
Yang hilang belum pun berganti.
Apa guna kepuk di ladang,
Jikalau tidak berisi padi;
Kusangka panas sampai ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.
Apa guna pokok pinang,
Daun hijau kuning padi;
Apa diingat apa dikenang,
Gunung dikejar tidakkan lari.
Apa harap kepada tudung,
Tudung saji terendak Bentan;
Apa diharap kepada untung,
Untung tidak serupa badan.
Apa nak sesal kepada tudung,
Tudung saji terendak Bentan;
Apa diharap kepada untung,
Untung tidak serupa badan.
Asap api bergulung-gulung,
Anak buaya mulut disimpai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.
Asap api bergulung-gulung,
Anak buaya terlampai-lampai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.
Asap tinggi ngulung-ngulung,
Anak buaya menggonggong bangkai;
Harap hati nak memeluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.
Awang Dollah pandai meniti,
Pandai meniti pandan mengkuang;
Kerana tebu semut tak mati,
Kerana semut gula terbuang.
Ayam ditambat juragan Mamat,
Terbang lari waktu fajar;
Biarlah lambat asal selamat,
Tidak lari gunung dikejar.
Kategori Perniagaan:
Ada satu burung tiung,
Turun ke kolam mandikan anak;
Bukankah baik beli borong,
Timbang kati untung tak banyak.
Ada satu panglima Pulai,
Pelihara janggut serta misai;
Begitu banyak kain di kedai,
Berkain kasar dengan cindai.
Ambil akar tanah seberang,
Bawa belayar pergi Sandakan;
Kedai besar barang kurang,
Apa guna berniaga di pekan.
Ambil cincin sarung di jari,
Pakai oleh budak-budak;
Kalau berniaga ringgit sendiri,
Cili garam taukeh juga.
Anak burung dadanya merah,
Besok hari beralih putih;
Beli borong memang murah,
Asam manis apa dipilih.
Anak burung terbang perlahan,
Hinggap mari ranting kayu;
Kalau nak beli buah setandan,
Tentu bercampur masak layu.
Anak Cina lalu berdua,
Lalu di kedai membeli gula;
Kita pandai sama berniaga,
Tengok kulit tahu rupa.
Anak Cina menggali cacing,
Letak mari dalam tempurung;
Kalau tak kenal mata dacing,
Pada ditimbang baik diborong.
Anak endong mandi berjirus,
Sejuk sampai ke tulang sendi;
Biasa kurenung biasa kubungkus,
Berniaga belum pernah rugi?
Anak rusa satu kandang,
Bunyinya sampai mendayu-dayu;
Khabar nakhoda ada dikenang,
Habis membeli sehelai baju.
Anak tupai di atas carang,
Jatuh melompat patah kaki;
Kalau pandai menjaga barang,
Mana boleh jadi rugi.
Apa bekal pergi ke Cempa,
Untuk makan dalam perahu;
Biar mahal barang ditempa,
Jika borong saya tak mahu.
Apa bunga tidak bertangkai,
Itu bernama bunga rampai;
Kalau tak pandai ilmu berkedai,
Habis modal untung tak sampai.
Ayam bertelur dalam semak,
Telur habis makan dek jukung;
Bagaimana badan tak gemuk,
Abang balik membawa untung.
Ayam ini ayam Melaka,
Mari dijual ke Tanjung Pagar;
Kalau tuan ingin berniaga,
Hasil negeri mahulah dibayar.
Ayam ini ayam tambatan,
Mari ditambat pantai Melaka;
Kudengar tuan bergedung intan,
Bolehkah saya tumpang berniaga?
Ayuh encik jari bersusun,
Mengadap raja sehari-hari;
Pandai menjaga buah di kebun,
Mana boleh jadi rugi.
Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka