xtreme fat loss diet download xtreme fat loss diet recipes xtreme fat loss diet results xtreme fat loss diet program xtreme fat loss diet free

Landing Page

Landing Page

Koleksi Pantun Empat Kerat ‘I’


Kategori Adat:

Ibu kapur di lembah paya,
Tebang balam di cuaca redup;
Sirih sekapur persembahan saya,
Minta disimpan seumur hidup.

Ikan julung dalam telaga,
Makan kail umpan terlekat;
Tiada beruntung badan celaka,
Buat baik menjadi jahat.

Ikan keli mati di laut,
Banyak lemak berlinang-linang;
Tangan kiri menyapu habuk,
Tangan kanan mengunjuk pinang.

Ikan puput di tengah muara,
Si jarang gigi timbul berkawan;
Malang hidup tiada saudara,
Kalau sudi terimalah tuan.

Ikan putih terenang-renang,
Anak sepat dari muara;
Sungguh sedih bila dikenang,
Sahabat setia buat angkara.

Ikan sembilang di dalam raga,
Ditiup dengan sampah jerami;
Naik membilang anak tangga,
Turun selangkah jejak bumi.

Ikan sepat ikan muara,
Anak itik di pinggir kali;
Meminta maaf pada saudara,
Kesilapan besar sama sekali.

Ikan tenggiri ikan di laut,
Pecah lemak berlinang-linang;
Tangan kiri mengirai rambut,
Tangan kanan menumbuk pinang.

Ikan togok laut tumpuk,
Air deras udang tak masuk;
Hari malam mataku mengantuk,
Ambil api di puntung rokok.

Kategori Budi:

Inang-inang padi Pak Daik,
Padi tak sama rupa bunganya;
Sungguh kukenang budi yang baik,
Tidak kulupa selama-lamanya.

Ini rasa asam kelubi,
Jatuh di laut timbul tenggelam;
Ini rasa mengenang budi,
Rumah pun jauh hari pun malam.

Kategori Jenaka:

Ikan gelama dimasak tumis,
Mari dimakan berdua-dua;
Kucing tertawa ayam menangis,
Sebab bercinta si bujang tua.

Ikan puyu lemak,
Masak kuah lada;
Intan rangkul emak,
Buah hati emak juga.

Inderagiri Kota Belanda,
Orang Acheh menanam buluh;
Memang untung berkahwin janda,
Anak besar boleh disuruh.

Itik putih di Padang Basai,
Luruh bulu baru bertelur;
Adik Putih ini tak ketahuan pasai,
Senyum dulu baru tegur.

Itik tuk tanjung,
Ambil benang buat koyak;
Adik putih ngelek buyung,
Kacip pinang abang sepiak.

Itik tuk ti itik tuk tanjung,
Buah nanas santan tempoyak;
Adik putih mengelek buyung,
Kacip pinang bagi sepiak.

Itik-itik apa tak mandi,
Kalau mandi kepak tak basah;
Cik abang apa tak mari,
Kalau mari saya tak marah.

Kategori Nasihat:

Ikan belanak dalam tapisan,
Orang membubu di Kuala Dungun;
Ayuhai anak ingat pesanan,
Kalau jatuh cepatlah bangun.

Ikan cudak tenggiri batang,
Suluh-menyuluh di haluan perahu;
Kalau hendak sendiri datang,
Suruh-menyuruh kami tak tahu.

Ikan duri dalam air,
Ikan belukang atas batu;
Emas sekodi intan setahil,
Cari tukang ikatkan satu.

Ikan haruan di dalam lubuk,
Helang pekaka hinggap di dahan;
Sarang tebuan jangan dijolok,
Lebam muka celaka badan.

Ikan haruan dipanggang tenggiri,
Mari masuk ke dalam perahu;
Jangan tuan menghina diri sendiri,
Sama saja badan berbau.

Ikan mati kerana tuba,
Tuba dibuat di dalam hutan;
Yang malang jangan dicuba,
Hidup kelak binasa badan.

Ikat pagar orang berempat,
Ikan sepat dalam padi;
Kehendak belajar kalau dapat,
Alangkah suka dalam hati.

Ikan petutu ikan pelata,
Ikan puyu di sawah padi;
Kalau sudah bertutuk dia punya harta,
Tolonglah timbang agar memuaskan hati.

Ikan todak tenggiri batang,
Suluh menyuluh di dalam perahu;
Tuan hendak sendiri datang,
Suruh menyuruh saya tak mahu.

Indung kunyit pemanggang ayam,
Ketupat nasi berisi inti;
Dunia senget alam tenggelam,
Belum dapat jangan berhenti.

Kategori Pahlawan:

Ikan bawal berenang petang,
Beli ikan di tepi dewan;
Hendak kucuba di medan perang,
Segala musuh hendak ditawan.

Kategori Peribahasa:

Ikan gelama ikan duri,
Tiga dengan ikan sembilang;
Saya umpama rumput di bumi,
Pagi dan petang dipijak orang.

Ikan sepat mudik ke hulu,
Anak haruan putih dada;
Siapa cepat dapat dahulu,
Siapa kemudian putih mata.

Ikan sepat mudik ke hulu,
Ikan haruan putih dadanya;
Siapa cepat dapat dahulu,
Siapa kemudian putih matanya.

Ikan talang ikan terubuk,
Udang galah udang kepai;
Malang sungguh nasib Pak Kaduk,
Ayam menang kampung tergadai.

Ikan tenggiri ikan temenung,
Lautnya konon sepanjang pantai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.



Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Share :

Facebook Twitter Google+