Tanjung Katung jauh ke laut,
Nampak dari Belakang Mati;
Terapung-apung di tengah laut,
Dipukul ombak jatuh ke tepi.
Pak Tani mengasah parang,
Parang disimpan di atas para;
Dagang seorang di negeri orang,
Tiada teman tiada saudara.
Bukan calang sebarang jerat,
Jerat dari pepohon palma;
Anak dagang merempat tempat,
Mencari diri menjual nama.
Apa digulai orang di lading,
Pucuk kacang sela-bersela;
Apakah untung anak dagang,
Hari petang tangga berhela.
Banyak kajang perkara kajang,
Kajang saya mengkuang layu;
Banyak dagang perkara dagang,
Dagang saya terbuang lalu.
Kain songket panjang sembilan,
Panjang serta kepalanya;
Tuan umpama pertama intan,
Saya menumpang akan cahayanya.
Bengis sungguh orang pangkalan,
Lalu-lalang perahu dihalang;
Menangis dagang sepanjang jalan,
Mengenang nasib di negeri orang.
Pungut teritip di tiang batu,
Batu pecah dilanda karang;
Beginilah nasib dagang piatu,
Kain basah kering di pinggang.
Asam pauh dari seberang,
Tumbuhnya dekat tepi tebat;
Dagang jauh di rantau orang,
Sakit siapa akan mengubat?
Dari ladang pergi ke gurun,
Buluh duri melingkar kota;
Hari petang hujan pun turun,
Dagang berurai air mata.
Kajang tuan kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu;
Dagang tuan dagang bertempat,
Dagang hamba terbuang lalu.
Dipetik dari pelbagai sumber dan disusun semula oleh Seri Bahasa