Lurus jalan ke Paya Kumboh,
Anak Padang mandi-manda;
Bagaimana hati tidak rusuh,
Terpaksa tinggalkan ayahanda bonda.
Cik Mahat menahan bubu,
Bubu dijemur di tengah halaman;
Tingallah ayah tinggallah ibu,
Anakanda merantau timba pengalaman.
Ribu-ribu jalan ke Kandis,
Landak membawa geliganya;
Bondaku tinggal jangan menangis,
Anakanda pergi membawa nasibnya.
Selasih di tebing tinggi,
Kalau tinggi berdaun jangan;
Anakanda pergi bonda tangisi,
Alamat dagang mati beragan.
Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh ke lubuk Inderagiri;
Kalau berdagang ke tempat orang,
Baik-baik membawa diri.
Baju baru dalam almari,
Baju dijahit tukang pilihan;
Kalaulah pandai membawa diri,
Ke mana pergi orang kasihan.
Duduk berjuntai di atas batu,
Sambil mengetuk si akar tuba;
Berdagang tempat belum tentu,
Macam menempah maut kan tiba.
Berbuah pokok setambun tulang,
Jangan dibuat ramuan santau;
Jikalau untung anakanda pulang,
Jikalau rugi hilang di rantau.
Belayar dilaut menaiki kapal,
Kapal berlabuh di Teluk Sawar;
Bukannya banyak membawa modal,
Harapkan untung bila menawar.
Telur cicak dalam dulang,
Entah bertulang entahkan tidak;
Sudah sampai negeri orang,
Entah pulang entahkan tidak.
Rumpun pandan bercambah tunas,
Berdaun lebat diragut kasar;
Berbumbung hujan berlantai panas,
Menjaja nasib di kota besar.
Lebah terbakar terbang sekawan,
Hinggap di celah kayu berduri;
Alangkah cabar rupanya tuan,
Dagangan indah tidak terbeli.
Sayang Singkarak kotanya tinggi,
Asam pauh dari seberang;
Awan berarak hamba tangisi,
Dagang jauh di rantau orang.
Ambilkan saya sebilah pisau,
Buat meraut bingkai lelayang;
Hidup anakanda jauh merantau,
Wajah bonda selalu terbayang.
Bersiar-siar di tepi telaga,
Untuk berlibur hati yang lara;
Kepada bonda yang jauh di mata,
Hati anakanda rindu tak terkira.
Tudung saji hanyut terapung,
Disulam mari dengan benang;
Hajat hati nak pulang kampong,
Lautan lebar tidak terenang.
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi;
Tahun mana bulan mana,
Dapat kita berjumpa lagi?
Dipetik dari pelbagai sumber dan disusun semula oleh Seri Bahasa