xtreme fat loss diet download xtreme fat loss diet recipes xtreme fat loss diet results xtreme fat loss diet program xtreme fat loss diet free

Landing Page

Landing Page

Koleksi Pantun Empat Kerat ‘D’

Kategori Adat:

Dapat seekor ikan tenggalan,
Lalu ditaruh di atas peti;
Saudara-mara dapat berkenalan,
Bertambah mesra kasih di hati.

Dari Damak terus ke Bentan,
Pergi berburu balik hari;
Desa semak dahulunya hutan,
Tidak disangka jadi negeri.

Dari dulu pinang seribu,
Baru sekarang pinang sekati;
Dari dulu ditimbang ibu,
Baru sekarang menimbang diri.

Dari dulu pinang seribu,
Hinggap sekarang pinang sebatang;
Dari dulu pengajar ibu,
Hingga sekarang pengajar datang.

Dari Endut pergi Mersing,
Singgah berhenti Pulau Sialu;
Hati risau bertambah runsing,
Kepada siapa hendak mengadu?

Dari Gunung ke Anak Bukit,
Singgah bermalam di Bukit Pinang;
Duduk melenggung hati sakit,
Bila tahun hati nak tenang.

Dari Gunung ke Anak Bukit,
Singgah semalam di Bukit Pinang;
Dahulu hati sakit,
Sekarang hati merasa senang.

Dari Johor ke Majapahit,
Singgah mari di Pulau Bentan;
Sudah mahsyur nama yang baik,
Tambah pula bertuah badan.

Dari Melaka ke Tanjung Tuan,
Singgah bermalam di rumah Cik Siti;
Bila kunampak muka tuan,
Rasa besar di dalam hati.

Dari Melaka pergi ke Pahang,
Singgah ke Johor beli berangan;
Saya mengucap selamat datang,
Jikalau salah dikeji jangan.

Dari Nandung ke Pantai Nandi,
Orang bergajah dua beranak;
Sudah terlangsung kami ke mari,
Apa perintah orang banyak.

Dari Sekara terbang pipit,
Anak ulat atas papan;
Usahkan pinang bergigit,
Pinang bulat pun saya makan.

Dari utara terus ke selatan,
Betik menjadi buah papaya;
Satu mutiara satu intan,
Yang mana baik pilihan saya.

Darilah pauh bandar mendatang,
Tetaklah sampan pancung kemudi;
Darilah jauh tuan datang,
Kerana tuan hadir di sini.

Daun cenalu berbalik-balik,
Gugur ke tanah berderai-derai;
Pengantin baru masuk ke bilik,
Orang ramai mula bersurai.

Daun kerikil daun maman,
Ketiga dengan daun cempa;
Kenapa tuan tegak di laman,
Naik ke rumah tuan kenapa?

Daun pandan mati layu,
Boleh ganti bunga kelapa;
Abang kata yatim piatu,
Boleh cari ibu dan bapa.

Daun terap gugur melayang,
Jatuh ke laut disambar tenggiri;
Tidur sekejap bangun abang,
Bukan rumahtangga sendiri.

Den jajar maka den kisai,
Esok tidak ke ladang lagi;
Diajar badan merasai,
Esok tidak tergamang lagi.

Di dalam semak ada kebun,
Di dalam kebun ada bunga;
Di dalam gelak ada pantun,
Dalam pantun ada makna.

Di Kampung Hulu banyak temu,
Tumbuh bersepah merata-rata;
Adakah tahu nasib temanmu,
Sentiasa berendam airnya mata.

Di tengah padang sambil berlari,
Kita bermain hingga ke petang;
Dengan tidak aku sedari,
Rupa-rupanya dibenci orang.

Di tepi pagar pokok kuini,
Buahnya gugur ke dalam paya;
Kalau kutahu nasib begini,
Apa guna hidup di dunia.

Dua tiga ikan tenggiri,
Mana sama ikan sembilang;
Dua tiga kawan dicari,
Mana sama sahabat tersayang.

Disandarlah batang tabungku,
Batang katir berduri-duri;
Didengar akan bunyi pantunku,
Tidak terfikir badan sendiri.

Dua belas bintang di langit,
Bintang diraja dari Melaka;
Kata tuan pinang bergigit,
Kapur bercampur air mata.

Duduk bermain di tepi kolam,
Ada juga memasang lukah;
Kita bertunang selama enam bulan,
Lepas itu bolehlah menikah.

Duduk di pintu memandang bulan,
Hari tak ribut awan melindung;
Kalau begitu nasibmu tuan,
Bertuahlah perut ibu mengandung.

Kategori Agama:

Dari Acheh pergi ke Madinah,
Sehari semalam tengah laut;
Nangis adik Siti Fatimah,
Dengar suara Nabi Daud.

Dari hulu turun ke pekan,
Sampannya rosak di tengah hari;
Kalau selalu ingatkan Tuhan,
Apa dipinta pasti diberi.

Dari teluk pergi ke pekan,
Singgah bermalam di Batu Lima;
Sekalian makhluk Tuhan jadikan,
Kaya miskin dipandang sama.

Dayang mengurai semalam mandi,
Tupai terjatuh tengah halaman;
Perangai iblis jangan hampiri,
Kerana iblis menggugur iman.

Delima batu dipenggal-penggal,
Bawa galah ke tanah merah;
Lima waktu kalau ditinggal,
Allah taala memang marah.

Dewa-dewa melihat sakti,
Diam dalam gua batu;
Jangan encik susah hati,
Susah ada Tuhan membantu.

Disimpan gula dengan sirih,
Datang ia dari tanah;
Sudah ada Nabi Idris,
Ada pula Nabi Noh.

Dua puluh enam jerat kutahan,
Kena seekor rusa jantan;
Sudah patut terima balasan,
Kerana kita derhaka Tuhan.

Dua puluh lima nabi terbilang,
Nabi Muhammad rasul pilihan;
Mati dahulu atau kemudian,
Itu semua kerja Tuhan.

Dua puluh tujuh bilangan bulan,
Tujuh likur bulan puasa;
Sudah patut dibalas Tuhan,
Kerana kita orang derhaka.

Kategori Budi:

Dari Gersik ke Surabaya,
Beli terendak dari Bali;
Sungguh cantik lagi sebaya,
Budi tidak berjual beli.

Dari jauh bermalam datang,
Tetak sangkar pancung kemudi;
Darilah jauh kamilah datang,
Mendengar tuan baik budi.

Dari pauh permatang layang,
Singgah berapat papan kemudi;
Dari jauh abang datang,
Mengenang adik baik budi.

Dari Pauh sematang rendah,
Anak Cina bawa kemudi;
Lagi jauh abang datang,
Mendengar adik baik budi.

Datang sudah kapal suluk,
Singgah merapat Sandakan;
Berapa tinggi bunga dijolok,
Baik budi mendapatkan.

Daun terap di ataslah bukit,
Kapallah menyamun dualah batang;
Jadi kenangan bukanlah sedikit,
Darilah dulu sampai sekarang.

Dirikan pondok bertanam nanas,
Biar saya berburu rusa;
Biar orang melonggok emas,
Saya niaga budi bahasa.

Kategori Jenaka:

Dagangan datang dari Melaka,
Timbang mari dacing tembaga;
Cakap sombong saya tak suka,
Lantai nibung makan kepala.

Dari cempedak baik nangka,
Nangka panjang tangkainya;
Dari budak baik orang tua,
Orang tua panjang akalnya.

Dari cempedak baiklah nangka,
Nangka juga panjang tangkainya;
Dari budak baiklah janda,
Janda juga banyak akalnya.

Dari Pak terus ke Medan,
Membawa kerepek emping padi;
Sungguh celaka nasib badan,
Inai tempek nikah tak jadi.

Daripada cempedak baiklah nangka,
Kerana nangka si panjang tangkai;
Pada budak baiklah janda,
Kerana janda si panjang akal.

Dentam-dentum atas permatang,
Orang mengemping padi muda;
Abang! Abang! Tunangku datang,
Payungnya kuning tekat pelada.

Di tepi sungai ramai pemuda,
Menangguk ikan di air keruh;
Apa salah berbini janda,
Anak tiri boleh disuruh.

Dulang ini dulang tembaga,
Dibeli ada dipakai tidak;
Malam ini malam celaka,
Berjanji ada datang tidak.

Kategori Kiasan/Sindiran:

Dari awal sampai ke akhir,
Limau lelang saya kupaskan;
Singa bersoal garoda berfikir,
Rimau garang saya lepaskan.

Dari Daik pergi Kelantan,
Kencang angin barat selatan;
Sungguh baik teras di hutan,
Lama disimpan tumbuh cendawan.

Dari Deli pergi Palembang,
Singgah bermalam dalam pekan;
Berapa tinggi kumbang terbang,
Di tangkai jua mencari makan.

Dari Gersik ke Surabaya,
Singgah memetik kuntum delima;
Sungguh malang nasib saya,
Sudah berputik balik berbunga.

Dari hulu ke Tanjung Mulih,
Singgah beli buah berangan;
Saya teras gasing dipilih,
Mana boleh pecah di laman.

Dari Kesang pergi ke Kelang,
Sampai waktu tanah seberang;
Musang dan rimau sama belang,
Yang mana satu tengok garang?

Dari Makasar pergi Palembang,
Lalu di Embun Majapahit;
Sungguh kasar kain jarang,
Kalau ditenun jadi baik.

Dari mana pungguk menali,
Benang setongkol dibahagi lima;
Lama sudah kami menanti,
Padang belukar menjadi rimba.

Dari sana hendak ke sini,
Sampai ke sini melipat kain;
Telah masak macang kuini,
Kulit sama rasanya lain.

Dari seberang naik rakit,
Sampai ke darat mencuci tangan;
Selagi ada ladang di bukit,
Susah nak tumbuh tanam-tanaman.

Datang cikgu menanam kacang,
Ditanam oleh anak sekolah;
Hendak menembak burung terbang,
Burung terbang terlampau payah.

Datuk Naning raja Melayu,
Layar perahu patah kemudinya;
Dahan berganding di pohon kayu,
Saya tahu di mana condongnya.

Datuk Pangeran masuk ke Jambi,
Naik ke darat memotong getah;
Sangat hairan di hati kami,
Hujan lebat tanah tak basah.

Datuk Perdana mengupas upih,
Limau manis dalam cerana;
Saya laksana kertas putih,
Boleh ditulis sebarang warna.

Daun bayam alaskan senduduk,
Nasi terjerang ceduk ke pinggan;
Sepantun ayam tidak berinduk,
Tampi orang baharu makan.

Daun nanas daun nangka,
Takkan boleh dilipat-lipat;
Tuan emas saya tembaga,
Takkan boleh dikerat-kerat.

Dayang Aspah anak Nualam,
Mengembang ku bunga kembang tuli;
Ada panasnya bertengah malam,
Turun embun bertengah hari.

Di mana deru di situ ribut,
Ribut diiring angin utara;
Garam saya air di laut,
Tak masin banyak sikit pun ada.

Dua belas pantun berkarang,
Pantun Melayu anak Semarang;
Kami laksana kain yang jarang,
Dijual tidak dibeli orang.

Dua negeri sedang berperang,
Belum tentu saya berjaya;
Berapalah tajam pisau dan parang,
Tajamlah lagi mulut manusia.

Duduk berniaga dalam pekan,
Pakai seluar warna biru;
Jangan jadi bunga di hutan,
Nampak merah cium tak bau.

Duduk di tanah Kelebang,
Curi daging makanan Cik Tahir;
Berapa deras dipukul gelombang,
Belum mabuk ikan di air.

Duduk-duduk di tepi pantai,
Ambil joran pancing selampai;
Kumbang bersengat kalau sampai,
Memang layu bunga di tangkai.

Dukung anak dari Melaka,
Disambar jin di tepi kolam;
Intan terletak gunung permata,
Cahaya melimpah serata alam.

Kategori Nasihat:

Dang empat berjalan-jalan,
Jalan-jalan ke rumah;
Air mataku tumpah di jalan,
Mengenang badanku terlalu murah.

Dari Daik ke Inderagiri,
Dari Jeddah ke negeri China;
Baik-baik jaga diri,
Kita sudah selalu terkena.

Dari Daik pergi ke Deli,
Singgah berlabuh Lautan China;
Sudah kubelek baru kubeli,
Mana boleh jadi terkena.

Dari hulu sampai ke hilir,
Pokok kiambang tumbuh melata;
Cubalah ingat cubalah fikir,
Siapalah dia di depan kita.

Dari Jejawi ke Kubang Gajah,
Jangan simpang ke Mata Air;
Mungkir janji bukan mudah,
Bagai pemotong belum dibayar.

Dari Kangar pergi ke Kuala,
Baru mari Simpang Empat;
Ilmu orang dahulukala,
Tak ada nak beli payah nak dapat.

Dari Kelebang pergi ke Daik,
Dari Daik terus ke Melaka;
Kalau abang berhati baik,
Sanak saudara semua suka.

Dari mana mula dikejar,
Rusa lari tepi perigi;
Guru mana tuan belajar,
Cuba hadap sekali lagi.

Dari Melaka ke Singapura,
Kelip-kelip api di kota;
Jangan suka menanam bisa,
Kerap-kerap rosak binasa.

Dari satu sampai seribu,
Budak-budak belajar membilang;
Turun ribut petir pun tumpu,
Tentu jua nyawa kau hilang.

Dari seberang pergi ke Deli,
Bawa utusan dari sana;
Gelombang besar jangan peduli,
Jaga olak dari mana.

Dari Seremban ke Kuala Pilah,
Singgah sekejap membeli roti;
Kalau ada silap dan salah,
Janganlah simpan di dalam hati.

Dari Wat ke Kampung Petai,
Singgah semalam di Kampung Abi;
Perkara yang buat jangan disesal,
Ikutlah untung apa nak jadi.

Daun pandan bunga melati,
Rendam di air waktu pagi;
Baik cari bidan yang reti,
Anakku lahir tak lepas lagi.

Daun terup sisip di dinding,
Sanalah sini hujung gagangnya;
Jangan diharap sepet menyinding,
Sanalah sini tuju tantangnya.

Dayang-dayang mandi menyimbur,
Mandi menyimbur cucuran atap;
Ayuhai Cik Dayang jangan takbur,
Sedangkan burung dapat kutangkap.

Dayang-dayang mandi menyimbur,
Mandi menyimbur di pohon kandis;
Ayuhai Cik Dayang jangan takbur,
Sedangkan burung tunduk menangis.

Dayang-dayang mandi menyimbur,
Mandi menyimbur di pohon getah;
Ayuhai Cik Dayang jangan takbur,
Sedangkan burung dapat kugetah.

Dua belas dayung berkunci,
Dayung pergi tanah seberang;
Sedikit hati abang tak benci,
Jangan didengar fitnah orang.

Duduk berniaga di Kampung Cina,
Buat sempadan Datuk Penghulu;
Jangan harap pada bunga,
Bunga tidak kembang selalu.

Duduk-duduk atas jambatan,
Budak-budak membelah rotan;
Baik dibuang segala muatan,
Datang barat campur selatan.

Kategori Pahlawan:

Dari Perlis pergi ke Sabah,
Datang ke Sabah berjalan kaki;
Biar mati bertumpah darah,
Namun kuundur tidak sekali.

Di tepi lorong duduk mengadap,
Nanti lalu anak Cik Ali;
Kalau biring keratkan sayap,
Memang tak boleh lawan lagi.

Dua tiga kusepak raga,
Datang sepak kusepak juga;
Dua tiga keris di dada,
Datang lekuk kulekuk juga.

Kategori Peribahasa:

Daging punai dalam dulang,
Kasi makan Datuk Temenggung;
Jangan bawa resmi udang,
Ekor berdetik tahi dijunjung.

Dari Siam pergi Kelantan,
Dari Kelantan ke negeri China;
Sesal dahulu jadi pendapatan,
Sesal kemudian tiada guna.

Datuk Kelana pergi menangguk,
Tersangkut tangguk di sauh kapal;
Saya umpama orang mengantuk,
Apatah lagi disorong bantal.

Daun sirih jangan dikait,
Kalaulah kait mematah layu;
Telunjuk lurus kelingking berkait,
Itu pepatah orang Melayu.

Dayang Juita berjalan kaki,
Rumah buruk tangga sembilan;
Menyuruh gila apakan jadi,
Seperti pungguk rindukan bulan.

Dayang Juita menanam padi,
Rumah buruk tangga sembilan;
Air mata jatuh ke pipi,
Macam pungguk rindukan bulan.

Dipetik nanas dengan pedang,
Dimakan orang Kuala Teri;
Kusangka panas hingga ke petang,
Rupalah hujan di tengah hari.

Dua tiga bernama perigi,
Batu berlonggok di tepi jalan;
Tuan di sana saya di sini,
Bagai pungguk rindukan bulan.

Kategori Perniagaan:

Dari Deli pergi ke Medan,
Singgah di kedai hujan menitik;
Kalau nak beli buah setandan,
Tentu bercampur besar kecik.

Dari jauh bermalam datang,
Hendak menuju pergi Kemboja;
Jika sudah terkata langsung,
Mahal dan murah ikut harga.

Dari mula Melayu tak jaga,
Pasal belajar ilmu meniaga;
Kalau tahu rugi laba,
Berat ringan kita boleh jangka.

Dinding kebun tepi perigi,
Kepung dengan atap nipah;
Basah kering dibuat mandi,
Tentang harga belum berubah.



Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Share :

Facebook Twitter Google+