Cabuklah cabuk bertali umbai,
Bekasnya umbai bertali purun;
Adik ditabuk sedang melambai,
Kalau sudi ke mari turun.
Cabut ciku tanam halia,
Cabutlah serai di umbut manis;
Masuk tidur ingatkan dia,
Tunduk ke tikar duduk menangis.
Cacak kelong Bagan Tujuh,
Jerjaknya sampai ke tepi;
Kalau tuan berani sungguh,
Saya ikut sampai ke mati.
Cak royak makan sirih,
Sirih ada dalam padi;
Rupa elok tak payah pilih,
Ikut suka dalam hati.
Cak tulis Kuala Bintang,
Pecung yu lubang juga;
Kalau tak boleh hingga petang,
Orang tidak kenangkan kita.
Cakuk manis dua setangkai,
Olehku membeli di kedai Cina;
Mulutmu manis sedang kaupakai,
Banyaklah orang sudah terkena.
Campak batu timbul kelapa,
Anak orang di Pasir Mayang;
Campak satu tidak mengapa,
Banyak orang kasih sayang.
Canang dipukul bertali-tali,
Rakyat datang menaiki lancang;
Kalau abang meminta sendiri,
Adakah adik sukakan abang.
Cantik sungguh buah kepayang,
Masak sebiji di hujung dahan;
Ditelan pahit diluah sayang,
Sakit sungguh tanggungan badan.
Cekur manis cemperai hidup,
Hendak rama di punca kain;
Kami tak tangis bercerai hidup,
Sama-sama mencari lain.
Cekur manis cemperai hidup,
Lada muda di punca kain;
Saya tak tangis bercerai hidup,
Badanku muda mencari lain.
Cekur manis separuh hidup,
Masaklah kari berganti-ganti;
Jangan ditangis cerai hidup,
Lepas seorang berdua ganti.
Cempedak nangka di hutan,
Tidak berbau dengan selasih;
Saya budak anak pungutan,
Tahu juga orang tak kasih.
Cepu-cepu Pangkalan Cina,
Cepu kecik beragi-ragi;
Kalau dulu abang yang punya,
Ini sekarang lain berganti.
Cerah-cerah bintang seribu,
Tidaklah sama bintang tembaga;
Banyak-banyak orang di situ,
Ada seorang cahaya mata.
Cermin damit kami mulanya,
Ditangkap ketam patah kaki;
Mulanya kamilah yang punya,
Sudah sekarang lain ganti.
Cik Ahmad menikam gamat,
Bunga melur kembang sekali;
Biarlah lambat asalkan selamat,
Di dalam telur boleh kunanti.
Cik Aishah kerani gudang,
Satu minggu sekali datang;
Badan kecil leher jenjang,
Sangat rindu kalau tak pandang.
Cik Aishah rambut kerinting,
Memakai baju kain baldu;
Hati susah bertambah runsing,
Kepada siapa hendak mengadu?
Cik Akob mengayak besi,
Mari tuba di Pulau Lalang;
Pujuklah dia hingga mati,
Main muda alang kepalang.
Cik Ali belayar ke Bangka,
Tupai nandung makan padi;
Siang malam tidak kusangka,
Sudah terkandung di dalam hati.
Cik Ali main guli,
Main guli masuk lubang;
Apa peduli cincin di jari,
Cincin di jari diberi abang.
Cik Ali memakai terendak,
Terendak dipakai di tengah hari;
Kalau hati sudah berkehendak,
Tidak dapat ditukar ganti.
Cik Ali menjual kayu,
Orang di bukit menjual lada;
Kalau teringat zaman dahulu,
Rasa menitik air mata.
Cik Ani menahan pukat,
Dapat ikan berkati-kati;
Kalau hati sudah terpikat,
Tak dapat lagi ditukar ganti.
Cik Bedah orang Patani,
Ikan toman dalam nipah;
Tak sudah duduk begini,
Panggilkan imam kita menikah.
Cik Buang pergi ke kedai,
Belikan saya sebatanglah tiang;
Jangan kata saya tak pandai,
Mata tak tentu mata keranjang.
Cik Dayang berkain batik,
Memakai tudung sutera Cina;
Semakin kupandang bertambah cantik,
Makan tak kenyang tidur tak lena.
Cik Dayang menggulung benang,
Budak-budak bermain guli;
Hamba seorang duduk mengenang,
Orang dikenang bukan peduli.
Cik Desa pergi ke laut,
Hendak mencari ikan parang;
Sakit hati rasa nak ikut,
Takut kena tunang orang.
Cik Dollah mudik bergalah,
Hendak mencari si batang gaharu;
Duduk salah berdiri pun salah,
Nasi kutelan rasa hempedu.
Cik Esah berambut kerinting,
Comor minyak menjadi buih;
Hati perut saya runsing,
Harapkan sembuh payah nak pulih.
Cik Esah menanam tebu,
Tebu ditanam tidak bersuli;
Tidak usah badan bertemu,
Asal dapat mendengar bunyi.
Cik Esah pergi ke pekan,
Menyunting bunga beribu-ribu;
Ada rasa saya makan,
Tidak kuasa menanggung rindu.
Cik Gamat menikam gamat,
Bunga melur kembang sekaki;
Biar lambat asal selamat,
Dalam telur boleh kunanti.
Cik Genap memakan lada,
Lada ada di kebun orang;
Menghadap panau di dada,
Panau di pipi naga berjuang.
Cik Kasa mandi di pekan,
Burung kerijip berbunga menalu;
Minta racun saya nak telan,
Saya tak cekap menanggung malu.
Cik Kob membakar arang,
Nampak laut Sungai Duri;
Apa merajuk kepada orang,
Pergi ke laut membuang diri.
Cik Lah orang Melaka,
Jual talam dengannya cuka;
Tujuh bilah lembing di dada,
Hitam manis kupegang juga.
Cik Mat anak Wak Satong,
Pandai melirik di kaki dulang;
Lautan dalam boleh diharung,
Inikan pula di tangan orang.
Cik Putih menanam cempedak,
Lebat daun bunga tiada;
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun dikenang jua.
Cik Saad membeli pinang,
Pinang dibeli Kampung Sena;
Puan ingat saya kenang,
Baru boleh kawan lama.
Cik Siti buat penganan,
Penganan dibuat untuk kenduri;
Bilalah hati sudah berkenan,
Orang lain tak usah peduli.
Cik Siti menyulam bunga,
Kain baldu disulam kelingkan;
Sudah didapati tidak berguna,
Kenapa tak mahu tuan lepaskan.
Cik Siti pergi ke hulu,
Sampai di hulu mencuci kain;
Cari ganti sabar dahulu,
Ini belum mahu pada yang lain.
Cik tuan memotong baju,
Temak denak tengah jerami;
Jika tuan cakap begitu,
Sangat benak hati kami.
Cik tuan pergi ke hulu,
Bawa balik batil tembaga;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantilah saya di pintu syurga.
Cik tuan pergi ke laut,
Bawalah balik ketam betina;
Kalau cik tuan menjadi rambut,
Bolehlah saya menjadi bunga.
Cik Yam turun ke barat,
Sampai ke barat terkena duri;
Ibarat royan biarlah ada tempat,
Insaflah sedikit diri abang sendiri.
Cincang kulat atas batang,
Pucuk cepa sayur manis;
Datang surat abang datang,
Belum baca tunduk menangis.
Cincang rabung saya kunyiti,
Anak sembilang mati di tangan;
Intan segunung saya tangisi,
Hilang di mata di hati jangan.
Cincang-cincang buah kuini,
Hendak makan dengan gula;
Leher jenjang si putih kuning,
Duduk seorang atau berdua?
Cincin ada di jari manis,
Cincin di jari si anak raja;
Dengar ke mulut sangatlah manis,
Nak hidup bersama nak mati berdua.
Cincin patah cincin permata,
Sayang gandaran putus talinya;
Makin lawa makin tercinta,
Dengar-dengaran bunyi-bunyinya.
Cincin perak cincin suasa,
Mari dipakai sebelah kanan;
Biar rosak sama binasa,
Kasih tiada lepas di tangan.
Cincin perak di jari manis,
Tiada contoh mata dua;
Jangan teriak jangan menangis,
Tiada jodoh kita berdua.
Cu Pandan anak bumbunya,
Hendak menyerang pergi Melaka;
Sebentuk cincin permata bunga,
Untuk sebagai cahaya mata.
Cuaca panas helang berbunyi,
Ayam dikurung dalam reban;
Hilang emas boleh dicari,
Hilang kasih gunung teregan.
Cuba-cuba ditimang-timang,
Batu delima dari seberang;
Kalau tak banyak bunga yang kembang,
Kumbang yang mana mahu terbang.
Cuba-cuba menanam sirih,
Cekor ada tumbuh sendiri;
Cuba-cuba bertambat kasih,
Kalau ada tunjukkan diri.
Cuba-cuba menanam sirih,
Takut nak ada tumbuh sulurnya;
Cuba-cuba merebut kasih,
Takut nak ada unjuk hulurnya.
Cukup berani anak singa,
Cari makan di tengah laman;
Niat hati mahu pakai bunga,
Cuba-cuba masuk di taman.
Daging ada berbatang tiga,
Orang berjemur di batang padi;
Saya hendak kasih bertiga,
Rasa kiamat di dalam hati.
Dalam padi ada kaca,
Nampak putih bunga keduduk;
Nak buat apa bersanggul caca,
Indah lagi bersanggul duduk.
Dang ding dang cabai Melaka,
Kulit kaki tumpang tenggiri;
Sakit hati berpandang mata,
Sekadar menyakit hati sendiri.
Dang Ratni berkain merah,
Kain bertenun dari Palembang;
Tiada saya menaruh intan yang indah,
Bunga melur baru nak kembang.
Dapur kayu dapur belulang,
Nampak saja berkilat-kilat;
Cakap tuan tak usah berulang,
Adik pandai menangkap kilat.
Dari Acheh belayar ke Kedah,
Beli kurau dengan senangin;
Orang berkasih bukan mudah,
Umpama wau mencari angin.
Dari Acheh bersapu tangan,
Gajuk tiang mana nak cabut;
Jikalau kasih menghantar teman,
Jikalau sayang berbilang rambut.
Dari Acheh ke Kinabatangan,
Dari Siam berdandan kuku;
Kalau kasih berbantal lengan,
Jikalau sudi ganti namaku.
Dari Acheh ke Kinabatangan,
Dari Johor berdagang sabut;
Penyakit datang dari tuan,
Tuanlah juak menjadi ubat.
Dari Acheh perang Belanda,
Belanda banyak beribu-ribu;
Cerailah kasih kepada kanda,
Dindalah jangan mata bankudu.
Dari air sampai ke darat,
Pohon meranti si pohon nangka;
Kalau kukenang sampai akhirat,
Aku nantimu di pintu syurga.
Dari Arab ke negeri China,
Sampai ke China bertukar nama;
Harap tuan saya terima,
Sudahkah periksa keadaan bunga.
Dari Bau jalan ke Miri,
Sambil menumpang kereta api;
Mana saya tahu main tak jadi,
Sebaik hidup baik mati.
Dari Beaufort pergi Jesselton,
Tempat injin berlari-lari;
Jika terluput permata intan,
Di manakah tempat kami mencari?
Dari Beaufort pergilah Lumadan,
Selalu ingin berlari-lari;
Kalau terluput nyawalah di badan,
Barulah boleh adik mengganti.
Dari dahulu cermin cina,
Sudah sekarang patah gantinya;
Dari dahulu kami yang punya,
Sudah sekarang tuan yang punya.
Dari dahulu cermin cina,
Sampai sekarang patah kakinya;
Dari dahulu tuan punya,
Sampai sekarang lain gantinya.
Dari dahulu Jawa Semarang,
Ungai-ungai di atas bukit;
Macam dahulu juga sekarang,
Tidak berbeza barang sedikit.
Dari dulu cermin cina,
Kini sekarang patah kakinya;
Dari dulu abang punya,
Kini sekarang ada gantinya.
Dari Gersik ke Surabaya,
Anak badak mati berendam;
Ambil keris tikamlah saya,
Tidak kuasa menanggung dendam.
Dari jauh nampak ku menjala,
Habis hutan dimakan api;
Adinda tuan mula kugila,
Siang ku terbayang malam ku termimpi.
Dari Jawa saya layarkan,
Raja Brunei belayar jauh;
Rindu di hati tidak tertahan,
Seperti menadah minyak penuh.
Dari Jeram menuju ke Bentan,
Singgah bermalam di Tanjung Jati;
Orang karam di tengah lautan,
Hamba karam di hati sendiri.
Dari Kedah ke Tanah Liang,
Tinggi pasir Kuala Patani;
Pintu terdedah sampai siang,
Apa taksir pada kami.
Dari Kedah orang berdagang,
Rasa nak nangguk rasanya tidak;
Pintu terdedah sampai ke siang,
Rasa nak masuk rasanya tidak.
Dari Kelebang ikan gelama,
Dalam peti beras dikisau;
Abang pergi terlampau lama,
Hati saya bertambah risau.
Dari mana bunyi gendang,
Balik sana kampung raja;
Dari mana bunga kembang,
Ramai orang balik saja.
Dari mana datang berakit?
Bawa berdua akan belayarnya;
Dari tuan datang penyakit,
Tuanlah juga akan ubatnya.
Dari mana datang siput,
Siput datang dari seberang;
Macam mana saya nak ikut,
Tangan sebelah dipegang orang.
Dari mana datangnya putih,
Dari ABC mula belajar;
Bagaimana kalau berkasih,
Cincin di jari sama bertukar.
Dari mana hendak ke mana,
Dari Jepun ke bandar Cina;
Wahai tuan tumpang bertanya,
Burung terbang terlampau lama.
Dari mana hendak ke mana,
Dari rumput mendatang padi;
Tuanlah mana saya pun mana,
Dendam tak luput di dalam hati.
Dari mana hendak ke mana,
Dari rumput mendatang padi;
Dari mana tidaklah ke mana,
Dendam tak luput di dalam hati.
Dari mana hendak ke mana,
Dari Jepun ke bandar Cina;
Bulanlah mana tahun pun mana,
Dendam tak luput di dalam jiwa.
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi;
Bulan mana tahun yang mana,
Tidak luput di dalam hati.
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi;
Cantik tidak setara mana,
Kasih tersangkut di dalam hati.
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput darilah padi;
Bulan mana tahun mana,
Rindu tak luput dalam hati.
Dari mana kelapa puan,
Dari puan kelapa Bali;
Saya harap dengan mu tuan,
Tidaklah tuan siapa lagi?
Dari mana punai melayang,
Dari sawah ke batang padi;
Dari mana mula sayang,
Dari mata sampai ke hati.
Dari mana tajam puteri,
Dari pokok ke tepi;
Dari mana abangku cium tadi,
Dari hidung sampai ke pipi.
Dari mana tidaklah ke mana,
Dari rumput berdaun padi;
Bulan mana tahun pun mana,
Dendamlah luput di dalam hati.
Dari muara mudik ke hulu,
Sambil menyanyi mendayung sampan;
Belum bersuara tersenyum dulu,
Menambah seri wajah rupawan.
Dari Nanung ke Pasir Deli,
Sayang seladang ditikam duri;
Bagailah mana hendak dicari,
Adinda jua gilaku mati.
Dari Pahang ke Kuala Lipis,
Angin bertiup sebelah utara;
Bila berdepan memanglah manis,
Bila belakang lain bicara.
Dari Pahang ke Kuala Lipis,
Hajat hendak terus ke utara;
Masa bertentang mulutnya manis,
Bila belakang lain bicara.
Dari Parit ke Tanjung Piandang,
Singgah sekejap membeli roti;
Bila sudah wajah terpandang,
Tetap tersimpan di lubuk hati.
Dari Pasak ke Pulau Pinang,
Singgah sekejap di Teluk Lipat;
Jika teragak hendak meminang,
Usah diharap hendak dapat.
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi;
Bulan mana tahun mana,
Kasih kupeluk masih di hati.
Dari Perlis pergi ke Kedah,
Hendak membeli buah papaya;
Jikalau kekasih berpaling tadah,
Hendak berbalik tidak upaya.
Dari Pingah ke Bangkahulu,
Banyak membawa pucuk cemperai;
Kalau ingat cerita dulu,
Air mata gugur berderai.
Dari seberang ke seberang pula,
Hanyut pandan dari kuala;
Dari seorang seorang pula,
Dandan juga pusing kepala.
Dari seberang pergi ke seberang,
Dari upih mayang tersangkut;
Hilang seorang ganti seorang,
Dapat puteri panjang rambut.
Dari Semantan pergi ke Lundu,
Datang ke Lundu berjalan kaki;
Apa kena hatiku pilu,
Mengenang tuan jauh pergi.
Dari Silak ke Tanjung Tabung,
Air hitam berulang mandi;
Panjang dikerat pendek disambung,
Si hitam manis tinggal ke mati.
Dari Tanjung ke Pulau Manis,
Dua tiga ke Pulau Payang;
Hidung mancung mulutnya manis,
Di situ tempat hatiku sayang.
Dari Teluk ke Pantai Lepas,
Raja Mersing bertenun kain;
Sudah dipeluk jangan dilepas,
Biar tanggal bunga di kain.
Dari teluk ke Tanjung Tamping,
Anak Riau memanjat pagar;
Sudah terpeluk pinggang yang ramping,
Hari siang haram tak sedar.
Darilah batang mulai bunga,
Dari bunga mula daun;
Dari datang mula kerana,
Rindu berkurung seribu tahun.
Darilah mana kajangku tiris,
Dari pucuk sampailah ke rebung;
Darilah mana kupandang manis,
Darilah rusuk sampailah ke punggung.
Darilah Raib berperahu ke hutan,
Lumba pertama si nombor satu;
Apa ditangis apa disukakan,
Hilanglah lama berganti baru.
Datang hujan di Gunung Melipu,
Dapat sampai di tengah halaman;
Hendak mati di hujung kuku,
Minta kubur di tapak tangan.
Datanglah sudah kapal Surati,
Pasang bendera setengah tiang;
Datanglah sudah si jantung hati,
Bulanlah terang disangka siang.
Datuk Bentara mudik ke hulu,
Hajat membina sebuah kota;
Biar mara datang bertalu,
Namun cinta kugagah juga.
Daun baru layu digenggam,
Si baju kuning makan sedikit;
Ini baru nasi jerang,
Makan sedikit terasa pahit.
Daun entemu terlampai-lampai,
Ditiup angin hala ke darat;
Malam Sabtu hajat tak sampai,
Ikut rasa hati melarat.
Daun birah selebar alam,
Tanam timun dalam jerelung;
Sudah pecah serata alam,
Segala semut sejenak jerung.
Daun mempelas berbalik-balik,
Orang berdagang di pintu kota;
Tidaklah belas melihat adik,
Duduklah berendam si air mata.
Daun mengkudu buah kandis,
Buah datang dari Daik;
Makan madu rasanya manis,
Hidup bermadu rasanya pahit.
Daun palas makan di api,
Asap sampai ke Seberang Raja;
Rawan belas di dalam hati,
Di hati kami haram tak lupa.
Daun pandan panjang sedepa,
Dibawa orang meredah lumpur;
Siang dan malam saya tak lupa,
Lupalah lupa di dalam tidur.
Daun selasih daun semulih,
Pohon pinang jambatan mandi;
Mari kita bertambat kasih,
Kasih kupinang mengikat janji.
Daun selasih menimba ruang,
Anak sia mati ditambat;
Sudah berkasih ditinggal buang,
Di dalam hatiku bertambat rimbat.
Daun selasih si daun bayam,
Bunga teratai di tengah laman;
Rasa sedih tidur seorang,
Peluk ke bantal buatlah teman.
Daun serbat di dalam padi,
Daun selasih daun semulih;
Tidak galak di dalam hati,
Mari kita bertambat kasih.
Daun sirih dari Langkat,
Lalu dibawa ke Inderagiri;
Sudah kasih tidak sepakat,
Biar hamba mengundur diri.
Daun terap atas bukit,
Buat tudung buah pala;
Harap saya bukan sedikit,
Sama banyak rambut di kepala.
Daun terap di atas bukit,
Tempat menggantung buah pala;
Harapnya kami bukan sedikit,
Sebanyak rambut atas kepala.
Daun terap gugur melayang,
Kayu ara di Kampung Bukit;
Harapnya abang ibu melayang,
Harapnya adik tidak sedikit.
Dayak Hulu berjual sirih,
Sirih dijual sebalung suang;
Lagi dahulu tuan memilih,
Sekarang ini duduk seorang.
Dayang Anuman minta dibunuh,
Dibungkus dengan peraca palang;
Kalau tidak berhati sungguh,
Jangan merebut kekasih orang.
Dayang berkayuh ke Sungai Lampai,
Rasaku kepenatan ke jari-jari;
Jika niat tidak sampai,
Sia-sia sahaja datang ke mari.
Dayang Esah menghilang pauh,
Hilang pauh di Batu Rakit;
Hati susah berjalanlah jauh,
Dibawa diam jadi penyakit.
Dayang ke kota berulam pauh,
Sampan Mak Munah saya layarkan;
Tidak peduli dikata jauh,
Kalau setanah saya jalankan.
Dayang Lamit bertudung merah,
Dibeli di kedai Jawa;
Panjang damit bajunya merah,
Di sana tempat terbuang nyawa.
Dayang Lampai membanting gabus,
Air di laut tenang-tenangan;
Jika sampai alangkah bagus,
Tidak menjadi kenang-kenangan.
Dayang menyuci kain putih,
Setengah cuci sabun pun hilang;
Tuan berbudi saya pun kasih,
Setengah kasih direbut orang.
Dayang molek menggoreng telur,
Sudah digoreng dalam kuali;
Jika malu jangan undur,
Saya tidak mungkir janji.
Dayang sedang menjemur padi,
Siang dijemur malam dibuat;
Bagaimana adik menghibur hati,
Siang dihibur malam teringat.
Dayang-dayang sedang menari,
Sekalian kadam petik kecapi;
Doa adik lebihlah lagi,
Saya ajak abang sendiri.
Dekat dengan burung cenderawasih,
Bunga melur setangkai diri;
Lama sudah bercerai kasih,
Tujuh malam ingatku lagi.
Dedap mana saya nak tutuh,
Dedap dekat limau manis;
Budak mana saya nak suruh,
Budak bercincin di jari manis
Demang-demuk kapal di Tanjung,
Nampak dari Pulau Jerjak;
Remuk-redam badan menanggung,
Hendak menangis bukannya budak.
Di atas para buah pauh,
Burung plastik buah Melaka;
Tuan jauh saya pun jauh,
Di dalam mimpi kita berjumpa.
Di atas tebing airnya pasang,
Sakit terlanggar padang berduri;
Sudah teringat memandang abang,
Rasa membunuh badan sendiri.
Di batang buruk sarang tekukur,
Tempat bersarang semut api;
Saya di sini rindu tak tidur,
Kerana tuan saya ingati.
Di dalam belukar timbul ketam,
Timbul sang helang di Tanjung Jati;
Tidak lupa abang siang malam,
Airlah mata jatuh ke pipi.
Di dalam mangkuk tuang serbat,
Bubuh di atas dulang suasa;
Beberapa dukun datang mengubat,
Mustahil kan hilang penyakit cinta.
Di mana bintang di mana bulan,
Sama sahaja terang keduanya;
Di mananya tunang di mana bukan,
Sama sahaja lenggang keduanya.
Di mana didikku tadi,
Padi tumpah bawah tangga;
Di mana dia adikku tadi,
Hati susah kerana dia.
Di mana kepayang yang gugur,
Dengar akan bunyi labuknya;
Di mana si dayangku tidur,
Dengar akan bunyi jua batuknya.
Di sana ramai anak baiduri,
Duduk bermain di tepi kolam;
Sama-sama berjaga diri,
Kita bertunang selama enam bulan.
Di sini gunung di sana gunung,
Sama dengan Gunung Sebandi;
Di sini bingung di sana bingung,
Sama dengan penerang hati.
Di sini rumput di sana rumput,
Rumput bernama pudak Melaka;
Di sini luput di sana luput,
Baru bernama badan celaka.
Di waktu panas ketika rembang,
Hujan ribut awan dan mega;
Penglipur lara penawar bimbang,
Ingatan abang tidak dua tiga.
Di zaman dahulu bergalah perahu,
Di zaman sekarang bermotor sangkut;
Dari dahulu adik dah tahu,
Kenapa sekarang adik nak ikut.
Di zaman sekarang bermotor sangkut,
Singgah sebentar rumah pak imam;
Sebab adik tak mahu ikut,
Dunia ini dunia pinjaman.
Dibawa angin ke barat daya,
Jatuh ia ke atas titi;
Kalau tuan ceritakan saya,
Boleh saya pergi nanti.
Dibuang akan ke tengah laut,
Dipungut oleh raja Maiskol;
Halus pinggangnya bagai diraut,
Rambutnya panjang hujung bersimpul.
Dibungkus jangan peraca palang,
Mari ditaruh di atas peti;
Jangan merebut kekasih orang,
Kalau tiada tempat di hati.
Dua belas dayung ke Jambi,
Putik nanas di dalam kebun;
Adik tak belas memandang kami,
Siang berpanas malam berembun.
Dua bertanduk bertiang tiga,
Dari masuk berkunci tiada;
Bulan masuk matahari gila,
Abang diharap dipandang tiada.
Dua Cina dua Melayu,
Dua Keling menjual kain;
Kerana apa bunga layu,
Embun menitik di tempat lain.
Dua kali jagung berbuah,
Melilit mari batang padi;
Tidak kutakut terkena marah,
Syukur kudapat si jantung hati.
Dua kali ke Pulau Pinang,
Air laut pasang tenangan;
Dua kali abang terkenang,
Air mata jatuh berlinangan.
Dua kali ke Pulau Pinang,
Putus sampan tali melambuk;
Dua kali hati terkenang,
Pati santan diminum mabuk.
Dua kali ke Pulau Pinang,
Putus tali sampan mengangguk;
Dua kali saya terkenang,
Air diminum terasa mabuk.
Dua kali landak memanah,
Terkena pula buah durian;
Dua kali turun ke tanah,
Bertemu mulut kita janjian.
Dua puluh lapan kuda berlari,
Kuda menarik kereta pedati;
Adik-adik jangan lari,
Kita biar bersama mati.
Dua puluh ramai soldadu,
Soldadu balik dari berperang;
Abang tidak mati dahulu,
Kalau mati bertindih tulang.
Dua puluh satu bilang Melayu,
Satu likur bilang Jawa;
Sama-sama menanggung malu,
Kalau mati kita berdua.
Dua puluh tiga terendak Cina,
Habis sebutir makan api;
Biar kita mati bersama,
Baru puas di dalam hati.
Dua tiga genggongku patah,
Hendak menggenggong batang padi;
Dua tiga gunung kulangkah,
Hendak jumpa bagai di hati.
Dua tiga genggong patah,
Tak sama batang padi;
Dua tiga gunung kulangkah,
Tak sama adikku tadi.
Dua tiga genggongku patah,
Tak sama sebatang padi;
Dua tiga gunung kulangkah,
Tidak sama abangku tadi.
Dua tiga kapal di teluk,
Manakan sama kapal perang;
Dua tiga bantal kupeluk,
Manakan sama tuan seorang.
Dua tiga ke ladang mencari,
Orang berjudi di dalam puan;
Dua tiga boleh kucari,
Tidak sama semacam tuan.
Dua tiga kelapa bali,
Papan di Jawa saya tarikkan;
Dua tiga boleh dicari,
Tidak sama semacam tuan.
Dua tiga kucing berlari,
Tidak sama kucing belang;
Sudah lama adik mencari,
Tidak sama abang seorang.
Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang;
Dualah tiga boleh kucari,
Mana nak sama tuan seorang.
Dua tiga layar berpupu,
Cari layar rata negeri;
Dua tiga bulan tidak bertemu,
Minum air terasa duri.
Dua tiga pergi bermain,
Perutlah lapar tunggu di titi;
Kalaulah abang cari yang lain,
Mohon adik mengundur diri.
Duduk di batang mandi di pancur,
Pucuk bayam sayang sesikat;
Rindu siang boleh dihibur,
Rindu malam saya teringat.
Duduk di dapur membakar inggu,
Hendak mengubat sawan budak;
Sawah berlumpur lagi kutunggu,
Inikan pula padi dah masak.
Duduk di tepi pantai,
Tengok orang pancing selampai;
Jika tidak bunga di tangkai,
Banyak kumbang hidup tak sampai.
Duduk galah berdiri galah,
Galah memusing haluan perahu;
Duduk salah berdiri salah,
Hatiku runsing orang tak tahu.
Duduk galah berdiri galah,
Galah memusing haluan perahu;
Duduk salah berdiri salah,
Hatiku runsing abang tak tahu.
Duduk merenung di tepi tangga,
Hendak mencari si daun capa;
Biar jauh dipandang mata,
Namun di hati haram tak lupa.
Duduk tak duduk gali lubang,
Asal gali lubang juga;
Duduk tak duduk kenangkan orang,
Orang tidak kenangkan kita.
Duduk termenung di tepi muara,
Ditiup angin daun bergoncang;
Bila terkenang pada dara,
Berdebar hati bertambah sayang.
Duduk-duduk menggali lubang,
Dalam lubang pasang pelita;
Duduk-duduk kenangkan orang,
Orang tidak kenangkan kita.
Duku dekat pohon melati,
Banyaknya di bawah bunga bertabur;
Hatiku lekat mungkin ke mati,
Rasa jiwa seumpama lebur.
Duri dibuang sakit pun hilang,
Duri dibuang di dalam raga;
Adik hendak mengikut abang,
Boleh adik bersuka ria.
Dipetik Dari Buku Kuri Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka