1. Abang Angkat
Maksud: Lelaki yang telah di akui sebagai abang, tetapi tidak mempunyai pertalian darah dengan orang yang mengakuinya.
Contoh Ayat: Hamidah mempunyai seorang abang angkat bernama Hamzah.
2. Abang Ipar
Maksud: Suami kepada kakak sendiri; abang kepada isteri atau suami.
Contoh Ayat: Hafiz ialah abang ipar Umar.
3. Abang Kandung
Maksud: Abang yang seibu sebapa.
Contoh Ayat: Liza tinggal bersama abang kandungnya setelah kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia.
4. Abu Angin
Maksud: Telah musnah sama sekali.
ContohAyat: Kota yang melambangkan ketamadunan bangsa itu telah menjadi abu angin kerana diserang oleh tentera Tatar.
5. Abu Jahal
Maksud: Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.
Contoh Ayat: Abu Jahal kampung ini telah diberkas polis awal pagi tadi kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes rompakan.
6. Abu Lahab
Maksud: Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.
7. Abu Nawas
Maksud: Orang yang suka berhelah.
Contoh Ayat: Kami memanggilnya Abu Nawas kerana dia pandai berhelah apabila ditanya tentang sesuatu.
8. Ada Akal
Maksud: Cara menyelesaikan sesuatu masalah.
Contoh Ayat: Syeila ada akal untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh ayahnya.
9. Ada Angin
Maksud: Orang yang berperangai luar biasa pada masa tertentu.
Contoh Ayat: Alin ada angin, ada kalanya dia peramah dan ada kalanya pula dia marah-marah.
10. Ada Bakat
Maksud: Berkebolehan dalam sesuatu lapangan seperti melukis, mengarang dan sebagainya.
Contoh Ayat: Izzah ada bakat menjadi penulis novel.
11. Ada Can
Maksud: Ada peluang.
Contoh Ayat: Nampaknya ada can kita jadi orang kaya kalau perniagaan kita ini berjaya, kata Amin kepada Umair.
12. Ada Gaya
Maksud: Ada ciri-ciri yang memperlihatkan kebolehannya.
Contoh Ayat: Osman ada gaya menjadi pelakon filem kerana dia tinggi dan tampan.
13. Ada Hati
Maksud: Keinginan.
Contoh Ayat: Walaupun berpendapatan kecil Jaya ada hati hendak membuka perniagaannya sendiri suatu hari nanti.
14. Ada Jalan
Maksud: Ada cara untuk menyelesaikan sesuatu perkara.
Contoh Ayat: Hamdan ada jalan untuk membiayai perbelanjaan anaknya di institusi pengajian tinggi iaitu dengan membuat pinjaman di bank.
15. Ada-Ada
Maksud: Ada sesuatu.
Contoh Ayat: Ada-ada sahaja yang diceritakan oleh Abu sekembalinya dia dari bandar.
16. Adat Balai
Maksud: Adat dalam istana raja.
Contoh Ayat: Semasa di dalam istana kamu hendaklah menjaga adat balai.
17. Adik Angkat
Maksud: Seseorang yang telah diakui sebagai adik sendiri tetapi tidak mempunyai pertalian darah.
Contoh Ayat: Jamilah adik angkat saya, ibunya menyerahkan dia kepada keluarga kami untuk dipelihara.
18. Adik Ipar
Maksud: Adik kepada isteri atau suami.
Contoh Ayat: Adik ipar saya seorang doktor.
19. Adik Kandung
Maksud: Adik daripada ibu bapa yang sama; seibu sebapa.
Contoh Ayat: Sulaiman sedang mencari adik kandungnya, Hasnah yang telah terpisah sejak sepuluh tahun lalu.
20. Adu Buku = Beradu Buku
Maksud: Bertinju.
Contoh Ayat: Samad beradu buku dengan Wahid.
21. Adu Domba = Mengadu Domba
Maksud: Melaga-lagakan seseorang atau kumpulan dengan seseorang atau kumpulan yang lain. Contoh Ayat: Pendatang baru di kampung itu suka mengadu domba pemuda di kampung ini dengan pemuda dari kampung seberang.
22. Adu Kening = Beradu Kening
Maksud: Berhadap-hadapan muka.
Contoh Ayat: Walaupun kami duduk beradu kening di majlis itu tetapi kami tidak dapat berbual-bual.
23. Adu Lengan = Beradu Lengan
Maksud: Beradu kekuatan.
Contoh Ayat: Wira dan Jaka beradu lengan di hadapan gadis itu.
24. Adu Nasib = Mengadu Nasib
Maksud: Mencari rezeki.
Contoh Ayat: Kamal datang dari seberang dan cuba mengadu nasib di negara ini kerana di sini banyak peluang pekerjaan.
25. Adu Untung
Maksud: Mencari rezeki.
26. Air Mandi
Maksud: Sudah menjadi kebiasaan.
Contoh Ayat: Bekerja mengangkat bata di bawah panas matahari sudah menjadi air mandi kepada Jeha kerana itulah tugas yang perlu dilakukannya setiap hari.
27. Air Muka
Maksud: a) Wajah b) Maruah
Contoh Ayat:
a) Air muka Munirah menjadi muram apabila ibunya melarang dia bermain-main di padang.
b) "Tidak baik mencemuh dan menjatuhkan air muka orang di khalayak ramai," kata Imad kepada Husin.
28. Air Pasang
Maksud: Paras air laut yang meningkat.
Contoh Ayat: Apabila air pasang, kawasan pantai itu akan ditenggelami air.
29. Air Sembilan
Maksud: Air yang digunakan untuk memandikan mayat.
Contoh Ayat: Air sembilan disediakan sambil menunggu mayat tiba dari hospital.
30. Air Setaman
Maksud: Air yang bercampur bunga-bungaan dan limau untuk dibuat mandi.
Contoh Ayat: Ibu yang mengandung tujuh bulan itu dimandikan dengan air setaman.
31. Air Surut
Maksud: Paras air laut yang turun.
Contoh Ayat: Kami berjalan-jalan di pantai sewaktu air surut.
32. Ajak-Ajak ayam
Maksud: Mempelawa secara tidak bersungguh-sungguh.
Contoh Ayat: Mujur dia tidak mahu mengikut saya kerana saya hanya ajak-ajak ayam.
33. Akal Belut
Maksud: Orang yang pandai tipu muslihat.
Contoh Ayat: Dengan akal belutnya dia dapat membeli tanah di kawasan ini dengan harga yang murah.
34. Akal Kancil
Maksud: Orang yang pandai tipu muslihat.
35. Akal Sejengkal
Maksud: Orang yang berasa dirinya lebih daripada orang lain.
Contoh Ayat: Dalam perbincangan itu dia selalu menggunakan akal sejengkalnya untuk menarik perhatian orang lain.
36. Alas Cakap
Maksud: Kata pendahuluan sebelum persoalan utama diperkatakan.
Contoh Ayat: Alas cakap yang disampaikan oleh pengerusi majlis forum itu menjadi pencetus kepada persoalan yang akan diperkatakan.
37. Alas Kata
Maksud: Kata pendahuluan sebelum persoalan utama diperkatakan.
38. Alas Perut
Maksud: Makan sedikit.
Contoh Ayat: Lina makan sekeping roti sebagai alas perut sebelum ke sekolah.
39. Alih Akal = Beralih Akal
Maksud: Berubah pendapat atau fikiran.
Contoh Ayat: Dia beralih akal dan tidak jadi berpindah ke Sarawak.
40. Alih Angin = Beralih Angin
Maksud: Berpindah tempat tinggal.
Contoh Ayat: Setelah beralih angin ke Sarawak, penyakitnya beransur pulih.
41. Alih Muka = Beralih Muka
Maksud: Menyamar.
Contoh Ayat: Dia beralih muka ketika menghadiri majlis itu supaya tidak dikenali.
42. Alim Kucing
Maksud: Pura-pura baik.
Contoh Ayat: Si Dayan alim kucing di hadapan orang kampung sedangkan dialah yang menjadi dalang dalam kes-kes kecurian di kampungnya.
43. Aliran Masa
Maksud: Perubahan masa.
Contoh Ayat: Kita hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat sesuai dengan aliran masa kini.
44. Aliran Masyarakat
Maksud: Kehendak masyarakat.
Contoh Ayat: Aliran masyarakat masa kini lebih mencabar dan rumit.
45. Ambil Abu
Maksud: Maksud yang tidak kesampaian.
Contoh Ayat: Persidangan itu tidak berhasil, masing-masing pulang ambil abu sahaja.
46. Ambil Ada
Maksud: Berpuas hati dengan apa yang ada.
Contoh Ayat: Buat rujukan lanjut tentang projek kamu itu di perpustakaan, jangan ambil ada sahaja, kata Cikgu Ahmad kepada murid-muridnya.
47. Ambil Angin
Maksud: Bersiar-siar mengambil udara bersih.
Contoh Ayat: Keluarga Arsyad ambil angin di tepi pantai pada setiap petang.
48. Ambil Bahagian
Maksud: Menyertai.
Contoh Ayat: Asnida ambil bahagian dalam pertandingan pidato peringkat daerah.
49. Ambil Berat
Maksud: Beri perhatian.
Contoh Ayat: Ibu dan ayah sangat ambil berat terhadap prestasi pelajaran kami.
50. Ambil Haluan = Mengambil Haluan
Maksud: Membuat keputusan dalam sesuatu perkara.
Contoh Ayat: Berhati-hati ketika ambil haluan supaya rancangan kita nanti akan memberikan hasil yang lumayan.
51. Ambil Hati
Maksud: Berasa tersinggung.
Contoh Ayat: Jangan ambil hati akan kata-katanya kerana dia menasihati untuk kebaikan.
52. Ambil Ibarat
Maksud: Menjadikan sesuatu sebagai teladan.
Contoh Ayat: Kita patut ambil ibarat daripada kejadian yang berlaku pada tahun lepas.
53. Ambil Ingatan
Maksud: Dimasukkan ke dalam ingatan; memberi perhatian.
Contoh Ayat: Para pelajar perlu ambil ingatan akan nasihat guru besar dalam perhimpunan pagi tadi.
54. Ambil Muka = Mengambil Muka
Maksud: Membuat sesuatu supaya disukai.
Contoh Ayat: Syarif pandai ambil muka apabila berada bersama-sama kaum keluarganya, sebab itulah dia disukai.
55. Ambil Sumpah = Mengambil Sumpah
Maksud: Disuruh bersumpah; melakukan sumpah.
Contoh Ayat: Azhar ambil sumpah bahawa dia menyaksikan kejadian itu.
56. Ambil Tahu = Mengambil Tahu
Maksud: Memberi perhatian tentang sesuatu perkara.
Contoh Ayat: Dia sentiasa ambil tahu tentang aktiviti surau di kawasannya.
57. Anak Adam
Maksud: Umat manusia.
Contoh Ayat: Penyakit AIDS akan memusnahkan semua anak Adam jika langkah-langkah pencegahannya tidak diambil.
58. Anak Air
Maksud: Sungai kecil.
Contoh Ayat: Di dalam kebun ayah saya ada sebatang anak air yang digunakan untuk mengairi tanaman.
59. Anak Angkat
Maksud: Anak orang yang dipelihara seperti anak sendiri.
Contoh Ayat: Raju merupakan anak angkat kepada Encik Muthu dan Puan Selvi.
60. Anak Baju
Maksud: Baju dalam.
Contoh Ayat: Ibu sering menasihati saya supaya sentiasa memakai anak baju.
61. Anak Buah
Maksud: a)Anak saudara. b) Pekerja di bawah jagaan kita.
Contoh Ayat: a) Halim memikul tanggungjawab menjaga anak buahnya semasa kakaknya pergi menunaikan haji ke Makkah.
Contoh Ayat: b) Kerja-kerja itu telah disiapkan oleh anak buah saya siang tadi.
62. Anak bukit
Maksud: Bukit kecil.
Contoh Ayat: Rumah Asma terletak berhampiran anak bukit itu.
63. Anak Didik
Maksud: Orang di bawah jagaan kita.
Contoh Ayat: Guru besar sedang memberikan taklimat kepada anak didiknya.
64. Anak Emas
Maksud: Orang yang sangat disayangi.
Contoh Ayat: Encik Karupan menjadi anak emas syarikat itu kerana kejujuran dan kesetiaannya.
65. Anak Gahara
Maksud: Anak raja yang berbondakan keturunan bangsawan.
Contoh Ayat: Tengku Ahmad ialah anak gahara Sultan Sulaiman dengan Tengku Puteri Halijah.
66. Anak Haram
Maksud: Anak yang lahir di luar perkahwinan yang sah dari segi hukum agama.
Contoh Ayat: Nadia melahirkan anak haram hasil hubungan sulitnya dengan Karim.
67. Anak Jantan
Maksud: Lelaki yang berani.
Contoh Ayat: Anwar memang anak jantan kerana sanggup berjuang menegakkan kebenaran demi maruah keluarganya.
68. Anak Kandung
Maksud: Anak sendiri.
Contoh Ayat: Zainab merupakan anak kandung Pak Ali dengan isteri pertamanya.
69. Anak Kapal
Maksud: Orang yang bekerja dalam sesebuah kapal.
Contoh Ayat: Ketika bekerja sebagai anak kapal, saya berpeluang menjejakkan kaki di benua Eropah.
70. Anak Negeri
Maksud: Penduduk di sesebuah negeri.
Contoh Ayat: Anak negeri Selangor digalakkan menceburkan diri dalam perusahaan desa.
71. Anak Perahu
Maksud: Orang yang bekerja dalam sesebuah kapal.
72. Anak Piatu
Maksud: Anak yang telah kematian ayah dan ibu.
Contoh Ayat: Setelah menjadi anak piatu Husin terpaksa tinggal di Asrama Bakti.
73. Anak Pungut
Maksud: Anak orang yang dipelihara seperti anak sendiri.
74. Anak Tunggal
Maksud: Anak yang tidak mempunyai adik beradik lain.
Contoh Ayat: Esah merupakan anak tunggal dan menjadi kesayangan ibu bapanya.
75. Anak Tut
Maksud: Anak orang yang dipelihara seperti anak sendiri.
76. Angkat Alis = Mengangkat Alis
Maksud: Kehairanan.
Contoh Ayat: Era mengangkat alis apabila melihat hadiah misteri yang dimenanginya.
77. Angkat Bahu
Maksud: Tidak tahu atau tidak bertanggungjawab.
Contoh Ayat: Mei Lan hanya angkat bahu apabila ditanya tentang kucing yang mati itu.
78. Angkat Diri
Maksud: Sombong.
Contoh Ayat: Jangan suka angkat diri, nanti orang lain tidak mahu berkawan dengan kamu, kata Cikgu Karim kepada Khalid.
79. Angkat Kaki
Maksud: Pergi meninggalkan.
Contoh Ayat: Syamsul angkat kaki apabila Ali mengusiknya.
80. Angkat Kening
Maksud: Kehairanan.
81. Angkat Mata
Maksud: Menentang sesuatu tindakan.
Contoh Ayat: Zaleha tidak berani angkat mata ketika dileter ibunya.
82. Angkat Muka
Maksud: Dimanja-manjakan.
Contoh Ayat: Apabila ibunya pulang, barulah dia berani angkat muka.
83. Angkat Nama
Maksud: Terkenal.
Contoh Ayat: Awie sudah angkat nama dalam bidang nyanyian.
84.Angkat Senjata
Maksud: Berperang.
Contoh Ayat: Apabila tiba masanya kerajaan Daha pun angkat senjata menyerang musuh.
85. Angkat Suara
Maksud: Meninggikan suara.
Contoh Ayat: Hormatilah orang tua-tua, jangan angkat suara apabila bercakap dengan mereka.
86. Angkat Sumpah
Maksud: Disuruh bersumpah; melakukan sumpah.
87. Anjing Hitam
Maksud: Orang jahat yang selalu menunjuk-nunjukkan keburukannya.
Contoh Ayat: Seng Hai telah lama menjadi anjing hitam yang sering memeras ugut masyarakat pelombong di situ.
88. Anjing Kurap
Maksud: Orang yang dipandang hina kerana kemiskinannya.
Contoh Ayat: Hidup Rama seperti anjing kurap yang melarat ke sana ke mari.
89. Api Peperangan
Maksud: Perselisihan antara negara yang biasanya boleh memulakan peperangan.
Contoh Ayat: Pulau yang menjadi rebutan kedua-dua buah negara itu boleh menyebabkan tercetusnya api peperangan.
90. Api Percintaan
Maksud: Perasaan cinta yang meluap-luap.
Contoh Ayat: Api percintaan sedang membara dijiwa Syakila dan Farid.
91. Arang Di Dahi
Maksud: Mendapat malu.
Contoh Ayat: Terhapuslah arang di dahi Encik Roslan setelah pihak mahkamah membuktikan dia tidak bersalah.
92. Arang Di Kening
Maksud: Mendapat malu.
93. Maksud: Arang di muka
Mendapat malu.
94. Asam Garam
Maksud: Pengalaman.
Contoh Ayat: Terlalu banyak asam garam kehidupan yang telah dilalui oleh Pak Dollah.
95. Atas Angin
Maksud: Negeri-negeri di Timur Tengah dan Eropah.
Contoh Ayat: Pada musim cuti ini, kami sekeluarga bercadang untuk melawat negara-negara atas angin.
96. Atas Nama
Maksud: Menjadi wakil seseorang atau pertubuhan.
Contoh Ayat: Saya menghadiri mesyuarat ini atas nama Tuk Penghulu Kampung Jenerak.
97. Atas Pagar:
Maksud: Tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Contoh Ayat: Dalam pertandingan ini, saya hanya penonton atas pagar kerana meminati kedua-dua pasukan itu.
98. Ayam Jalak:
Maksud: Orang yang berani.
Contoh Ayat: Sudin digelar ayam jalak Kampung Pegaga kerana telah berjaya menangkap buaya yang telah membaham dua orang penduduk kampung tersebut.
99. Ayam Tambatan:
Maksud: Orang yang banyak pengalaman dan menjadi harapan (biasanya dalam pasukan permainan).
Contoh Ayat: Abdullah menjadi ayam tambatan pasukan bola sepak negeri Johor kerana kehandalannya menjaringkan gol.