Abang sayang disuruh panggilkan,
Suruh nyanyi kena suruh;
Seperti pungguk rindukan bulan,
Disuruh jatuh tak akan jatuh.
Air pasang menanam bayam,
Buyung diisi di dalam loyang;
Jangan diambil resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung.
Ambil bertih dari hulu,
Isi mari di dalam balang;
Bersihkan laman kita dahulu,
Baru bersihkan halaman orang.
Anak babi memakan siput,
Siput bercampur batang keladi;
Kasihkan padi buangkan rumput,
Kasihkan rumput buangkan padi.
Anak buaya pergi bertenung,
Singgah ke lubuk memakan bangkai;
Hendak hati memeluk gunung,
Gunung dipeluk tangan tak sampai.
Anak Cina bermain ceki,
Baju dibuka tinggal seluar;
Kalau sudah bukan rezeki,
Di dalam mulut lari keluar.
Anak Cina telinga bertindik,
Badan kurus panjang lampai;
Hendak melangkah kaki pendek,
Hendak mencapai tangan tak sampai.
Anak dara mengandam dahi,
Rambut ditanam di tepi telaga;
Anjing biasa makan tahi,
Kalau tak makan cium juga.
Anak harimau di Gunung Daik,
Banyak orang berasa gerun;
Batu kecil berguling naik,
Batu besar berguling turun.
Anak haruan mudik berenam,
Lumba-lumba menyusul tebing;
Sama mencecah si hati kuman,
Susah senang sama membimbing
Anak kunci dikait anak,
Di bawah pokok pohon kelapa;
Kecil jangan disangka anak,
Besar jangan disangka bapa.
Anak lembu ditambat orang,
Makan padi dalam sawah;
Bawa ilmu padi di ladang,
Tambah berisi tunduk ke bawah.
Anak ndong anak ketitir,
Anak merbah terloncat-loncat;
Untung dikendong habis tercicir,
Untung dikejar haram tak dapat.
Anak penghulu pergi ke baruh,
Sampai ke baruh membeli raga;
Kalau di hulu air keruh,
Di hilir pun keruh juga.
Anak punai anak merbah,
Pandai ia membuat sarang;
Anak sungai lagi berubah,
Ini pula hati orang.
Anak rusa mandi di paya,
Lepas mandi makannya rumput;
Tiada orang semacamnya saya,
Makan hati berulam perut.
Anak sepat mudik ke hulu,
Anak haruan putih dadanya;
Siapa cepat dapat dahulu,
Siapa kemudian putih matanya.
Anak sepat sudah melompat,
Ikan limbat melata-lata;
Kalau cepat tentulah dapat,
Kalau terlambat putihlah mata.
Anak tiung anak ketitir,
Anak balau terlompat-lompat;
Barang dikendong habis tercicir,
Barang dikejar haram tak dapat.
Anjing angkat anjing berburu,
Anjing berburu di luar kota;
Lagi tak dapat lagi dituju,
Hendak menyapu arang di muka.
Anjinglah asap asap berbuku,
Anjing menyalak di pintu kota;
Lagi tak dapat lagi berguru,
Hendaklah sapu arang di muka.
Apa benda bunyi riuh,
Rupanya ada orang berperang;
Dia baru mencapai pengayuh,
Kita sudah sampai ke seberang.
Apa busuk di bawah bangku,
Anak ayam mati terlentang;
Siapa duduk dengan Cik Bongsu,
Bagai bulan pagar dek bintang.
Apa disesal kayu berdiri,
Tiada rebah tiada berguna;
Apa disesal semahu diri,
Sial tuah sial hujungnya.
Apa guna buluh betung,
Buluh tidak berguna lagi;
Bunyi guruh berdentum-dentum,
Awan berarak hujan tak jadi.
Apa guna dayung direngkuh,
Perahu payang kayu meranti;
Apalah guna menunggu tumbuh,
Yang hilang belum pun berganti.
Apa guna kepuk di ladang,
Jikalau tidak berisi padi;
Kusangka panas sampai ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.
Apa guna pokok pinang,
Daun hijau kuning padi;
Apa diingat apa dikenang,
Gunung dikejar tidakkan lari.
Apa harap kepada tudung,
Tudung saji terendak Bentan;
Apa diharap kepada untung,
Untung tidak serupa badan.
Apa nak sesal kepada tudung,
Tudung saji terendak Bentan;
Apa diharap kepada untung,
Untung tidak serupa badan.
Asap api bergulung-gulung,
Anak buaya mulut disimpai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.
Asap api bergulung-gulung,
Anak buaya terlampai-lampai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.
Asap tinggi ngulung-ngulung,
Anak buaya menggonggong bangkai;
Harap hati nak memeluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.
Awang Dollah pandai meniti,
Pandai meniti pandan mengkuang;
Kerana tebu semut tak mati,
Kerana semut gula terbuang.
Ayam ditambat juragan Mamat,
Terbang lari waktu fajar;
Biarlah lambat asal selamat,
Tidak lari gunung dikejar.
Balik sana muda derdap,
Perahu ada galah tiada;
Laksana bunga dedap,
Merah ada baunya tiada.
Basuh periuk jemur ditungging,
Nampak hitam seperti arang;
Ikut hakim memiat daging,
Sakit di awak sakit di orang.
Batang kelapa dipotong-potong,
Tiap satu tidak disukat;
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.
Bawa balik daun beringin,
Mari diletak di atas tangga;
Sudah nasib begini badan,
Sudah jatuh ditimpa tangga.
Belum dimakan jangan dijamah,
Di atas meja hidangan juadah;
Beralih kain di balik rumah,
Beralih cakap di balik lidah.
Berapa tinggi Bukit Semambu?
Buah manggis bertimang dua;
Kami bertiga umpama tebu,
Habis manis hampas dibuang.
Berempat tegak di tepian,
Cukup berlima maka mandi;
Usah mengumpat di bahagian,
Suratan sudah dimenterai.
Berteriak burung di rimba,
Parak bertagur di hujung kayuan;
Anjang perak layar kesumba,
Seperti pungguk merindu bulan.
Buah bacang jatuh ke paya,
Pokok pauh bernama mangga;
Apalah malang nasib saya,
Sudah jatuh ditimpa tangga.
Buah berembang buah bidara,
Masak seuntai dua untai;
Anak bersubang disangka dara,
Macam mumbang ditebuk tupai.
Buah berembang di atas para,
Anak kumbang terlampai-lampai;
Memakai subang kusangka dara,
Rupanya memang ditebuk tupai.
Buah labu si buah labu,
Banyak tumbuh di dalambatang;
Mulut manis seperti madu,
Tidaklah tahu lidah bercabang.
Buah langsat di Kota Medan,
Dibawa orang dari Belawan;
Kalau sesat di hujung jalan,
Surut ke pangkal jalan.
Buah langsat kuning mencelah,
Sayang senduduk berbunga pagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
Buah nanas di dalam ladang,
Diladang oleh Cik Siti;
Kusangka panas sampai ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.
Buah pupur di tebing tinggi,
Buah kandis masak putih;
Kalau nak ukur sama tinggi,
Kalau nak banding sama putih.
Budak-budak kupas bawang,
Taruh mari di dalam mangkuk;
Jangan bawa resmi keluang,
Tak boleh tengok buah di pokok.
Bukan saja condong ke dulang,
Saya tak mahu condong ke desa;
Biar saya berputih tulang,
Saya tak mahu berputih mata.
Bukit Gebuk Gunung Cik Jenal,
Nampak dari Pulau Nerang;
Adik duduk abang tak kenal,
Sikap pulih ayam mengerang.
Bunga Bakawali di Teluk Cengal,
Buat ubat seribu guna;
Kilat di air sudah kukenal,
Yang mana satu jantan betina.
Bunga keduduk bunga kenanga,
Berbau harum sampai ke jalan;
Hamba duduk sambil bertanya,
Ibarat pungguk merindukan bulan.
Bunga melati di tengah padang,
Mari dikutip anak Cina;
Harimau mati meninggal belang,
Manusia mati meninggalkan nama.
Burung disebut si burung merak,
Menjadi ratu istana rimba;
Untung sabut timbul nampak,
Untung batu tenggelam hamba.
Burung jelatik burung jeladan,
Burung tekukur terbang meninggi;
Sudahlah paut samalah padan,
Marilah ukur samalah tinggi.
Burung jelatik burung jeladan,
Ketiga dengan burung tempua;
Sama cantik sama padan,
Ibarat pinang dibelah dua.
Burung nuri si burung tiung,
Turun makan di tepi pantai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.
Cari rebung tanah seberang,
Letak mari di atas tikar;
Kalau menyambung hendaklah panjang,
Kalau menebar hendaklah lebar.
Cedok air dengan baldi,
Cedok nasi dengan senduk;
Baik dibawa resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.
Cendana sarang tempurung,
Encik Tambun menggulai siput;
Nyawa merat seperti burung,
Laksana embun di hujung rumput.
Cendawan tumbuh di batang,
Diambil orang setiap hari; pengantin/bulan
Bagai bulan dipagar bintang,
Pengantin duduk suami isteri.
Cik Amat orang Segamat,
Buluh tolam dibuat bangsi; lambat/ selamat
Biar lambat asal selamat,
Kalau termalam apa nak dinanti.
Cik Kadir menetak senduduk,
Senduduk tumbuh tepi telaga;
Kalau takdir tak dapat tanduk,
Namun telinga kupulas juga.
Cik Yam duduk di pintu,
Sambil menjahit baju kurung;
Sahabat diam memang begitu,
Macam gunting makan di hujung.
Cukup panjang tali timba,
Susah diukur susah didepa;
Ulat bergulung di hutan rimba,
Rezeki nak putus dari saya.
Daging punai dalam dulang,
Kasi makan Datuk Temenggung;
Jangan bawa resmi udang,
Ekor berdetik tahi dijunjung.
Dari Siam pergi Kelantan,
Dari Kelantan ke negeri China;
Sesal dahulu jadi pendapatan,
Sesal kemudian tiada guna.
Datuk Kelana pergi menangguk,
Tersangkut tangguk di sauh kapal;
Saya umpama orang mengantuk,
Apatah lagi disorong bantal.
Daun sirih jangan dikait,
Kalaulah kait mematah layu;
Telunjuk lurus kelingking berkait,
Itu pepatah orang Melayu.
Dayang Juita berjalan kaki,
Rumah buruk tangga sembilan;
Menyuruh gila apakan jadi,
Seperti pungguk rindukan bulan.
Dayang Juita menanam padi,
Rumah buruk tangga sembilan;
Air mata jatuh ke pipi,
Macam pungguk rindukan bulan.
Dipetik nanas dengan pedang,
Dimakan orang Kuala Teri;
Kusangka panas hingga ke petang,
Rupalah hujan di tengah hari.
Dua tiga bernama perigi,
Batu berlonggok di tepi jalan;
Tuan di sana saya di sini,
Bagai pungguk rindukan bulan.
Encik Embong pergi ke Jeddah,
Terus bertahun hingga raya;
Teluk tanjung lagikan berubah,
Inikan pula hati manusia.
Encik Hitam orang Bangkahulu,
Datang ke sini menjaja kain;
Hitam rambut sama berbulu,
Tetapi hati lain-lain.
Gendang bertabuh tigalah bangsal,
Jamu-berjamu semangkuk jeluk;
Nak menambat kasih yang tunggal,
Macam ikan balik ke lubuk.
Guna apa senduduk sebatang,
Di tepi jalan dahannya melintang;
Saya duduk tuan datang,
Bagaikan bulan dipagari bintang.
Guna apa senduduk sebatang,
Di tepi jalan dahannya melintang;
Saya duduk tuan datang,
Bagaikan bulan dipagari bintang.
Gelungsur tebing tinggi,
Cerahnya belukar;
Kalau ukur sama tinggi,
Kalau sudah sama besar.
Gunung Daik bercabang tiga,
Nampak dari Kuala Deli;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.
Hari panas mencucuk benang,
Benang menjahit baju kebaya;
Air jernih lubuknya tenang,
Jangan disangka tiada buaya.
Hari raya sembahyang raya,
Raja berangkat dari istana;
Dari daya dan upaya,
Tiada rotan akar berguna.
Hari-hari mengetah tekukur,
Tekukur banyak di pinggir desa;
Kukur apa pada kukur,
Nyiur jugalah yang akan binasa.
Helang pungguk helang berikan,
Tidur siang berjaga malam;
Sungguh unjuk tidak berikan,
Pepat di luar rencong di dalam.
Helang pungguk helang perikan,
Tidur siang jaga malam;
Jari telunjuk diberikan,
Pepat di luar rencong di dalam.
Hempas-hempas jambat pulih,
Ikat gagak dimakan api;
Hitam lepas putih tak boleh,
Buang tangga berhayun kaki.
Hormat dulu diri sendiri,
Itulah tanda orang yang mulia;
Jangan dikejar gunung yang berlari,
Hilang kabus nampaklah dia.
Ikan gelama ikan duri,
Tiga dengan ikan sembilang;
Saya umpama rumput di bumi,
Pagi dan petang dipijak orang
Ikan sepat mudik ke hulu,
Anak haruan putih dada;
Siapa cepat dapat dahulu,
Siapa kemudian putih mata.
Ikan sepat mudik ke hulu,
Ikan haruan putih dadanya;
Siapa cepat dapat dahulu,
Siapa kemudian putih matanya.
Ikan talang ikan terubuk,
Udang galah udang kepai;
Malang sungguh nasib Pak Kaduk,
Ayam menang kampung tergadai.
Ikan tenggiri ikan temenung,
Lautnya konon sepanjang pantai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.
Jangan diusik kerbau jalang,
Jika digesel rebah juga;
Kalau nasib memang malang,
Sudah jatuh ditimpa tangga.
Jelatik burung jeladan,
Anak tekukur terbang tinggi;
Sudah cantik sama padan,
Lagi diukur sama tinggi.
Jelatik burung jeladan,
Burung terkukur terbang tinggi;
Sama patut samanya padan,
Mari diukur samanya tinggi.
Jerat semata di hujung tanjung,
Terkena landak jantan betina;
Panjang dikerat pendek disambung,
Untuk kita bekerjasama.
Johor Bahru Tanjung Puteri,
Angin berhembus di Barat Daya;
Jangan dikejar gunung berlari,
Hilang kabus nampaklah dia.
Kain buruk sangkut di kandang,
Bawa pula basah ke paya;
Saya buruk jangan dipandang,
Bagai anjing buruk kepala.
Kalau beli bunga selengkar,
Tanya dulu berapa harganya;
Ibarat telur penuh sesangkar,
Pecah sebiji pecah semua.
Kalau kalah main terup,
Makan buah mengupas kulit;
Berkuah sama menghirup,
Bersambal sama mencolek.
Kalau memikat burung bayan,
Jangan pula dijual beli;
Biar jadi telinga tempayan,
Jangan jadi telinga kuali.
Kalau mencari buah asam,
Biar lebih kurang jangan;
Alang-alang menjolok pekasam,
Biar sampai ke pangkal lengan.
Kain batik baju pun batik,
Batik datang dari Jawa;
Adik cantik abang pun cantik,
Macam pinang dibelah dua.
Kain batik pakai terbalik,
Pakai budak raja Padang;
Sudah ludah jangan dibalik,
Tidak manis dipandang orang.
Kapal berlabuh nampaknya sayup,
Sauh dibongkar layar berkembang;
Kalau tak sabit angin bertiup,
Masakan kelak pohon bergoyang.
Ke darat menukarkan lantin,
Patahlah disulat lagi;
Tulah keparat orang Semadin,
Sudah diludah dijilat lagi.
Kupu-kupu di batang kopi,
Patah dahan kulit terkopak;
Saya umpama rumput di bumi,
Rendah dari rumput yang banyak.
Kusangka nanas atas permatang,
Rupanya durian tajam duri;
Disangka panas hingga ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.
Kusangka nanas dari permatang,
Rupanya pandan tiada berduri;
Kusangka panas hingga ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.
Laksamana Bentan datang menyembah,
Merendah diri walaupun gagah;
Raja adil raja disembah,
Raja zalim raja disanggah.
Laksamana mudik beredap,
Bergalah sahaja perahunya tidak;
Laksana bunga dedap,
Merah sahaja berbaunya tidak.
Laksamana mudik ke bendang,
Seluar merah baru berjahit;
Laksananya buah pedendang,
Luarnya merah dalamnya pahit.
Laksamana mudik ke Terap,
Patah galah di dalam perahu;
Tuan umpama bunga dedap,
Sungguh merah tiada berbau.
Limau purut dipancung putus,
Diputus dengan hujung pedang;
Harimau mati dilanggar tikus,
Buaya mati di tepi gudang.
Lumur minyak di kepala botak,
Lagi baik minyak bijan;
Manakah gading yang tidak retak,
Di manakah bumi tak timpa hujan.
Makan cempedak bekal cempedak,
Pergi ke laut mengail udang;
Bertokok tidak meluakkan tidak,
Saya melukut di tepi gantang.
Makan sirih dalam cerana,
Daun sirih sudah layu;
Ke hulu bersama ke hilir bersama,
Macamlah isi dengan kuku.
Maulana Si Maulani,
Kucing bubuk makan di pinggan;
Mahu di sana mahu di sini,
Seperti pungguk rindukan bulan.
Membeli tali pasar Senyawan,
Singgah di surau tangga berlian;
Merosak hati menggugur iman,
Seperti pungguk rindukan bulan.
Nasi lemak bergulai udang,
Lemak berbau belum dirasa;
Remuklah hati berputih tulang,
Tidak direla berputih mata.
Nona ada papaya tidak,
Bunga ros duri berkait;
Benar ada percaya tidak,
Telunjuk lurus kelingking berkait.
Nyiur gading baru berbuah,
Pokok senduduk berbunga pagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tentulah tanduk tak guna lagi.
Orang Acheh memacu kuda,
Kuda dipacu laju sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.
Orang barat bermain pedang,
Mana nak sama batang cangkul;
Mana berat mata memandang,
Berat lagi bahu memikul.
Orang Daik bertanam bayam,
Baik lagi bertanam pegaga;
Carik-carik bulu ayam,
Lama-lama bercantum juga.
Orang Daik menumis lada,
Lada ditumis dalam kuali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jauh sekali.
Orang darat menunggang kuda,
Kuda ditunggang laju sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.
Orang darat suka bertandang,
Sambil bertandang membawa cangkul;
Berapa berat mata memandang,
Berat lagi bahu memikul.
Orang Dayang memakai cincin,
Singgah sebentar di Beras Basah;
Alang-alang berkahwin biarlah licin,
Alang-alang mandi biarlah basah.
Orang desa mengorek liang,
Dalamnya itu tiada beranggar;
Besar pasak dari tiang,
Besar sendal dari gelegar.
Orang Keling sembahyang kusami,
Bawa dian sepuntung seorang;
Ibarat ambo rumput di bumi,
Pagi petang dipijak orang.
Orang Lengging membuat rakit,
Rakit dibuat kayu nyatuh;
Biarlah anjing menyalak bukit,
Bukit tetap tidakkan runtuh.
Orang mengail di Alor Mat Pulih,
Habis raga dimakan api;
Sana duk harap sini tak boleh,
Buang tangga berayun kaki.
Orang mengail di Kuala Bentan,
Umpama dilumur dengan lumut;
Menggunting dalam lipatan,
Itulah musuh dalam selimut.
Orang mengail ikan gelama,
Turun ribut datanglah takut;
Air surut kapal hilir sama,
Air pasang ia tersangkut.
Orang petani membuat dangau,
Dibiar kosong tidak bekerja;
Berapa tinggi terbang bangau,
Akhirnya di belakang kerbau juga.
Orang singgah Kuala Daik,
Beli durian dalam perahu;
Jikalau sudah emas yang baik,
Tak payah diuji orang pun tahu.
Pagi-pagi naik ke darat,
Kerana hendak membasuh kain;
Buruk besi kerana karat,
Hina manusia kerana miskin.
Pantai Lukut luas terbentang,
Teluknya penuh berbatu karang;
Ibarat melukut di tepi gantang,
Masuk tak penuh keluar tak kurang.
Patah cengal Nabi Daud,
Patah mati ditimpa pedang;
Kalau tidak angin bertiup,
Masakan pokok boleh bergoncang.
Pecah takar berganti takar,
Tempat minum si burung nuri;
Bisa ular tidakkan tawar,
Walau menyorok di akar berduri.
Perahu belayar menyusur arus,
Patah kemudi susur di pantai;
Baik cari cindai yang halus,
Alah beli menang dipakai.
Pergi ke dusun berhari-harian,
Tanah baru hendak dibuka;
Macam timun dengan durian,
Menggelek luka digelek pun luka.
Pergi kehulu buah rambutan,
Sayang durian tiada berbunga;
Sesal dahulu pendapatan,
Sesal kemudian tiada berguna.
Pergi ke hutan pasang pelantik,
Jaga denai tempat lalu;
Tuah ayam tengok sisik,
Tuah orang mana tahu.
Pergi ke pasar membeli bayam,
Bayam ada bercampur kangkung;
Jangan diturut resmi ayam,
Belum bertelur riuh sekampung.
Pergi ke sana bulan mengambang,
Menangkap ikan dalam telaga;
Lemak telur berlinang-linang,
Sisik terlekat pada dada.
Pepulih dalamlah telaga,
Rumput lalang rata merata;
Sungguh malang nasib hamba,
Emas digenggam nak jadi tembaga.
Pergi kerja berulang-alik,
Singgah di masjid lalu sembahyang;
Yang bulat datang menggolek,
Yang pipih datang melayang.
Petang hari menahan bubu,
Bubu ditahan olak mengkalang;
Diri umpama semacam tebu,
Habis manis sepah dibuang.
Petang-petang mengutip kangkung,
Sudah dipetik dibawa pulang;
Sungguh udang tahi dijunjung,
Besar nama dari belukang.
Pisang emas jangan ditebang,
Batang lain banyak lagi;
Hujan emas negeri orang,
Tidak sama negeri sendiri.
Pohon senduduk pohon serai,
Pohon senduduk buat pedati;
Dengar kokok berderai-derai,
Melihat ekor bergelumang tahi.
Pohon temak akar pun temak,
Gugur di kuala bunga sekuntum;
Diluah bapa ditelan emak,
Sampai bila hendak dikulum?
Pokok berembang pokok bidara,
Tumbang berpaut di dahan bakau;
Kalau tuah memang ada,
Jatuh ke laut menjadi pulau.
Pokok duku di hujung jalan,
Patah ditimpa si dahan sena;
Sesal dahulu memang pendapatan,
Sesal kemudian haram tak guna.
Pokok perah ditebang jangan,
Biarkan tumbuh bersama lalang;
Kalau sudah malang badan,
Rezeki secubit disambar helang.
Putih rupanya bunga kecubung,
Anak buaya mati di pantai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.
Rebus ubi tanam di kampung,
Sawah ladang tidak berpadi;
Putus tali boleh disambung,
Patah arang kerat sekali.
Rumah baru sudahlah siap,
Tapi dapurnya amat sempit;
Kuat burung kerana sayap,
Kuat ketam kerana sepit.
Rumah buruk pintu sembilan,
Nanti roboh tidakkan roboh;
Laksana pungguk rindukan bulan,
Nanti jatuh tidakkan jatuh.
Rumah patung Kuala Linggi,
Pohon sena di tepi air;
Sudah terlangsung saya ke mari,
Bagai minyak bercampur air.
Sampan kotak mudik ke Pangkor,
Singgah pula Pulau Sembilan;
Macam diletak macam diatur,
Macam cincin permata silan.
Satu dua tiga empat,
Lima enam tujuh setengah;
Macam mana pandai tupai melompat,
Adakalanya jatuh ke tanah.
Satu dua tiga empat,
Lima enam tujuh setengah;
Pandai-pandai tupai melompat,
Lama-lama jatuh ke tanah.
Satu dua tiga empat,
Lima enam tujuh setengah;
Sungguhpun pandai tupai melompat,
Ada masa jatuh ke tanah.
Satu dua tiga empat,
Lima setengah tidak gunanya;
Belas memandang tupai melompat,
Ada masa jatuh ke tanah juga.
Sayang Metedong Gunung Metali,
Beruang Abu terbang sekawan;
Betul-betul memegang janji,
Laksana paku lantak ke papan.
Sayang jelatik burung jeladan,
Sayang tekukur terbang tinggi;
Sama cantik sama padan,
Jikalau diukur sama tinggi.
Sayang pindah naik rakit,
Rakit berikat tali bemban;
Sedangkan lidah lagikan tergigit,
Inikan pula sahabat sekawan.
Sekapur sirih datang bertandang,
Di dalam puan tersusun rapi;
Tangan dihulur mata memandang,
Sebagai cincin lekat di jari.
Si pungguk helang karikan,
Tidur siang berjaga malam;
Sungguh dia unjuk berikan,
Pepat di luar rencong di dalam.
Simpan sepatu jangan dibalut,
Simpan sahaja di dalam peti;
Bertanam tebu di bibir mulut,
Bertanam halia di dalam hati.
Singapura dilanggar todak,
Mari bertikam di batang pisang;
Orang tua mengasih budak,
Bagai bulan dipagar bintang.
Singapura dilanggar todak,
Mari kubu batang pisang;
Orang tua mengambil budak,
Macam bulan dengan bintang.
Singapura dilanggar todak,
Orang berkubu batang pisang;
Orang tua melawan budak,
Ibarat aur ditarik songsang.
Terang hari disinar fajar,
Terang fajar sampai ke senja;
Takkan lari gunung dikejar,
Hilang kabus nampaklah dia.
Terung catur tepi sempadan,
Tanam gelugur di tebing tinggi;
Sudah patut sudah padan,
Sudah ukur sama tinggi.
Tidak dapat dikenang-kenang,
Kalau dikenang mabuk kepayang;
Jangan disangka airnya tenang,
Tempat di situ buaya berenang.
Tinggi bukit gunung Mak Buah,
Anak pelanduk berlari-lari;
Kalau dah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
Tiup api bersama kunang,
Hendak membakar ikan terubuk;
Suka hati orang bertunang,
Bagai ikan pulang ke lubuk.
Tuan berjalan ke darat-darat,
Mari berjumpa Abang Ismail;
Bukan burung dapat dijerat,
Bukan ikan mati di kail.
Turun hujan rintik-rintik,
Tumbuh cendawan gelang kaki;
Kami sepantun telur itik,
Kasih ayam baharu jadi.