Kategori Adat:
Orang berbendang kita berbendang,
Tapi tak boleh bekerja awal;
Kerbau sekandang boleh dikandang,
Manusia seorang tiada terkawal.
Orang berkampung dari hulu,
Tanam kelapa rata-rata;
Senang susah tanggung dahulu,
Pada siapa hendak dikata.
Orang berkayuh dalam perahu,
Kerana hendak mudik ke hulu;
Minta selamat pengantin baru,
Dari anak hingga ke cucu.
Orang berkebun saya berkebun,
Dalam kebun bertanam bunga;
Orang berpantun saya berpantun,
Dalam pantun ada makna.
Orang berperang jatuh tersungkur,
Buat kubu sebelah kiri;
Adat di hutan harimau mengambur,
Adat lalang makan api.
Orang berumur kamek jeramek,
Saja dinding beri belanja;
Apa dicemas kepada kamek,
Hidup miskin kurang berharta.
Orang bujang memakai kain,
Sudah berkain berbaju tidur;
Bukan kami pandai bermain,
Sebab bermain malulah undur.
Orang Cina dari Kuantan,
Nak belayar pergi ke Arab;
Abang sungguh pandai berpantun,
Semua pantun dapat dijawab.
Orang Cina pergi ke China,
Datang ke China berdagang babi;
Tuan punya saya pun punya,
Sekerat seorang kita berbahagi.
Orang datang berduyun kereta,
Hendak makan jamuan raja;
Boleh berjumpa ayah dan bonda,
Di situ boleh abang berkira.
Orang hulu pulang ke hulu,
Sampai ke hulu menyangkul busut;
Bila terkenang zaman dahulu,
Hati yang baik menjadi kusut.
Orang ke hulu pasang perangkap,
Anak kayu habis ditebang;
Orang tertipu dalam gelap,
Saya tertipu dalam bimbang.
Orang Keling berkedai rempah,
Asam paya melawan cuka;
Sudah nasib tuan menempah,
Barang dicari kerap berjumpa.
Orang Padang berukir-ukir,
Membuat ukiran di kayu jati;
Terpandang tuan sedang berfikir,
Saya merasa sakit hati.
Orang sembahyang lima waktu,
Dalam sujud bunyi beduknya;
Laut darat dunia satu,
Langit juga akan tutupnya.
Kategori Agama:
Orang berniaga semalam-malaman,
Apa jualan pulut berinti;
Hidup di dunia buat amalan,
Untuk bekalan akhirat nanti.
Orang bersalam di dalam perahu,
Makan ubi dengan kurma;
Orang Islam hendaklah tahu,
Bilangan nabi dua puluh lima.
Orang Deli balik ke Deli,
Bawa duit beribu dinar;
Allah di langit menjadi saksi,
Saya berdiri tempat yang benar.
Orang menjamu bulan terang,
Hari Ahad tanah seberang;
Tuntut ilmu jangan kurang,
Ke liang lahad tergolek seorang.
Kategori Budi:
Ombak di laut meniti buih,
Ombak datang dari seberang;
Antara budi dengan kasih,
Mana satu dikenang orang?
Orang Acheh menanam padi,
Padi tumbuh nampak jarang;
Antara kasih dengan budi,
Budi juga dikenang orang.
Orang belayar di atas layar,
Orang berjudi di atas rimbat;
Hutang rial boleh dibayar,
Hutang budi bertambah rimbat.
Orang Daik memasak periuk,
Bawa pergi tanah seberang;
Budi baik kelaku elok,
Ke mana jatuh disayang orang.
Orang Daik pulang ke Daik,
Ambung-ambung bertali benang;
Kalau ada budi baik,
Sampai mati boleh dikenang.
Orang hulu menebang jati,
Orang darat menetak palas;
Kalau nak tahu budi sejati,
Tidak berhajat minta dibalas.
Orang menggali ubi,
Ubi digali lagi muda;
Penat saya menabur budi,
Belum juga mendapat jasa.
Kategori Jenaka:
Orang bandar bersanggul dua,
Orang barat bersanggul lintang;
Alangkah baik berbini tua,
Perut kenyang pengajaran datang.
Orang Batak pulang ke Batak,
Sampai ke Batak menggulai babi;
Nasi masak gulai pun masak,
Imam sampai nikah tak jadi.
Orang Jawa mengail todak,
Dapat seekor dibawa pulang;
Bumi tertawa langit tergelak,
Tengok bulan di pagar bintang.
Orang Kesang pergi Merlimau,
Dengar suara ayam berkokok;
Cik tuan musang saya rimau,
Kalau kukejar panjat pokok.
Orang mengail Lubuk Bulang,
Taruk umpan kulit limau;
Baik juga semangat tak hilang,
Anak kucing kusangka rimau.
Orang mengail tepi beting,
Putus joran tinggal pancing;
Adakah kain nak lawan gunting?
Adakah tikus nak lawan kucing?
Orang menjala ikan belanak,
Dapat seekor puntang-panting;
Kalau kahwin janda beranak,
Habis kepala kena kencing.
Kategori Kiasan/Sindiran:
Orang Arab pulang ke Jeddah,
Datang ke Jeddah menanam sagu;
Harap kami bukan mudah,
Laksana tebu menjadi kayu.
Orang bebal suka merengus,
Dia bercakap tidak berfaedah;
Belum pandai membuang hingus,
Sudah hendak bertikam lidah.
Orang belayar ke Majapahit,
Singgah bermalam ke Kampung Melayu;
Kalau sudah benang tak baik,
Campur sedikit rosak selalu.
Orang Bentan membawa parang,
Kerana hendak ke Pulau Perca;
Sedangkan intan dibuang orang,
Inikan pula permata kaca.
Orang berjalan pagi hari,
Anak raja mati tertikam;
Bawa andang suluh negeri,
Di mana ada intan manikam.
Orang bermain di atas panggung,
Banyak orang datang mengintai;
Alang tinggi kelapa tergantung,
Ada masa dikorek tupai.
Orang berpantun di Kampung Hulu,
Sambil mencabut ulam bermi;
Tujuh tahun musim berlalu,
Baru tersedar rumput di bumi.
Orang berseru di tengah medan,
Pegang senjata minta lawan;
Singa bertempik tengah hutan,
Garoda lari sampai ke awan.
Orang Boyan balik ke Boyan,
Bawa duit satu ringgit;
Niat hati nak getah bayan,
Orang ceti menyembah berhala,
Di dalam kuil tiada yang lain;
Kutu mati di atas kepala,
Tuma mati di tepi kain.
Tergetahlah mari burung serindit.
Orang duduk tepi pantai,
Naik ke darat menanam padi;
Sungguh lebat bunga di tangkai,
Kenapa putik tidakmenjadi.
Orang Gayung pulang ke Gayung,
Datang ke Gayung negeri China;
Tuan ini ibarat payung,
Hujan dan panas sangat berguna.
Orang kaya beremas sutera,
Lipatan kusut dari Siam;
Baik percaya angin utara,
Ribut sampai dalam diam.
Orang Kedah timbang neraca,
Seperti dacing negeri Kelantan;
Kalau sudah nasib kaca,
Terikat di cincin dikata intan.
Orang laut mengambil kerang,
Orang kompeni memegang senapang;
Sekali gelap sekali terang,
Bintang tabur hari nak siang.
Orang Melayu mandi betangar,
Betangar mari kain kesumba;
Hutan kayu dapat digegar,
Ikan di sungai mati dituba.
Orang membeli kain batik,
Sudah habis tidak bertokok;
Dari bertunas sudah dipetik,
Lama-lama tidak bertokok.
Orang memburu pagi hari,
Anak rusa lari bertindak;
Sungguh bulan payung negeri,
Sehari ada sehari tidak.
Orang memburu seberang sana,
Dapat seekor landak betina;
Senjata buruk besi dah lama,
Mana tikam susah nak kena.
Orang meminang puteri tujuh,
Ambil air cucikan kaki;
Benih muda kalau bertumbuh,
Pucuknya hijau cabangnya mati.
Orang menajur di tepi sungai,
Sungai ada tepi padang;
Laksana intan baru dicanai,
Kejam celik mata memandang.
Orang menembak sampai ke awan,
Kain kuning dibuat baju;
Dilambung ombak sampai ke awan,
Lancang kuning bertambah maju.
Orang mengail tepi pantai,
Dapat seekor ikan todak;
Sungguh halus sutera cindai,
Kalau buruk terbuang juga.
Orang mengail tepi teluk,
Dapat seekor ikan tenggiri;
Jangan gegar jangan dijolok,
Biar masak gugur sendiri.
Orang menjahit benang sutera,
Putus benang habis tercampak;
Biar ribut angin utara,
Asal lautan jangan berombak.
Orang menjala di tepi pantai,
Dengar suara ayam berkokok;
Kalau pandai menjaga tupai,
Bilakah rosak buah di pokok.
Orang menjala tepi kolam,
Dapat ikan sebesar jari;
Bukan salah kain disulam,
Kerana benang warnanya mati.
Orang menyabung di balik buluh,
Ayam jalak sisik berduri;
Intan di gedung emas sepuluh,
Jatuh terpijak habis sekali.
Orang menyabung di balik teluk,
Kena tikam habis berlubang;
Ayam terkepung di pagar buruk,
Terkam musang lalu terbang.
Orang Pelikat bermain dayung,
Anak raja turun menjala;
Tujuh tingkat intan di gunung,
Cahaya melimpah atas udara.
Orang sasau buat kerja,
Hisap rokok asap berkepul;
Kalau pisau kurang baja,
Makin diasah makin tumpul.
Orang tua pandai menilik,
Singgah bermalam di Kampung Cina;
Kalau asal buah yang baik,
Mengkal masak manis rasanya.
Kategori Nasihat:
Orang berjamu lauknya kari,
Nasi ditanak di pangkal sena;
Orang berilmu bijak bistari,
Bukanlah layak orang yang hina.
Orang bersisik adik beradik,
Turun menjala Sungai Asahan;
Kalau pandai kita memetik,
Mana buah rosak sedahan.
Orang bertolak di Tanjung Rhu,
Sarat memuat buah perpat;
Hendaklah banyak mengadap guru,
Supaya terang jalan makrifat.
Orang buat tikar pandan berduri,
Jangan buat pandan mengkuang;
Kita hidup sedarkan diri,
Jangan hidup dibenci orang.
Orang Cina dari Seberang,
Bawa jual ikan tenggiri;
Mengata orang jangan sebarang,
Tak pernah cermin diri sendiri.
Orang Daik belayar ke hulu,
Singgah di darat Kuala Seberang;
Apalah baik orang di hulu,
Apalah jahat saya sekarang.
Orang Daik bergelar tabib,
Mengubat jari terkena parang;
Baik-baik menyerahkan nasib,
Janganlah jadi hamba orang.
Orang Daik mencari remis,
Membawa bubu bersama tangguk;
Disangka baik mulut yang manis,
Rupanya tipu dalam pujuk.
Orang Daik pergi menuba,
Dapat seekor ikan haruan;
Perkara tak baik jangan dicuba,
Takut kelak merana badan.
Orang hulu memalu nobat,
Nobat dipalu kayu berangan;
Fikir dahulu sebelum buat,
Kalau dibuat menyesal jangan.
Orang Jawa mencari benang,
Mencari benang di atas bukit;
Orang jauh jangan dikenang,
Lama-lama jadi penyakit.
Orang Jeddah menjala ikan,
Sudah dijala jual di pekan;
Bukankah sudah saya katakan,
Kepayang mabuk jangan dimakan.
Orang Keling sembahyang sami,
Dia sembahyang pagi petang;
Ingat rumput di bumi,
Dipijak orang pagi petang.
Orang Melayu dua serupa,
Turun sekawan waktu pagi;
Dari seorang baik berdua,
Boleh juga bersuka hati.
Orang mengail di Teluk Bulang,
Apalah umpannya si kulit duku;
Jangan bermain kekasih orang,
Nyawa tersangkut di hujung kuku.
Orang mengail ikan sepat,
Dapat seekor ikan cencaru;
Sudahkah habis tenung makrifat,
Maka tuan bercakap begitu.
Orang mengail laut Melaka,
Dapat seekor ikan tenggiri;
Janganlah suka bermain mata,
Buat menyakit hati sendiri.
Orang mengail umpan keridik,
Habis umpan berganti daun;
Orang bermain sesama cerdik,
Habis bulan berganti tahun.
Orang menjaring kilat menyolak,
Dapat seekor ikan puput;
Orang biring saya jalak,
Tuan saya jangan diikut.
Orang Padang lalu berempat,
Kok koyak tepi kainnya;
Nan hilang tidakkan dapat,
Cari nan lain kan gantinya.
Kategori Pahlawan:
Orang bertekak di Tanjung Jati,
Hendak balik tiada perahu;
Musuh ditembak kalau tak mati,
Apa guna banyak peluru.
Kategori Peribahasa:
Orang Acheh memacu kuda,
Kuda dipacu laju sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.
Orang barat bermain pedang,
Mana nak sama batang cangkul;
Mana berat mata memandang,
Berat lagi bahu memikul.
Orang Daik bertanam bayam,
Baik lagi bertanam pegaga;
Carik-carik bulu ayam,
Lama-lama bercantum juga.
Orang Daik menumis lada,
Lada ditumis dalam kuali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jauh sekali.
Orang darat menunggang kuda,
Kuda ditunggang laju sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.
Orang darat suka bertandang,
Sambil bertandang membawa cangkul;
Berapa berat mata memandang,
Berat lagi bahu memikul.
Orang Dayang memakai cincin,
Singgah sebentar di Beras Basah;
Alang-alang berkahwin biarlah licin,
Alang-alang mandi biarlah basah.
Orang desa mengorek liang,
Dalamnya itu tiada beranggar;
Besar pasak dari tiang,
Besar sendal dari gelegar.
Orang Keling sembahyang kusami,
Bawa dian sepuntung seorang;
Ibarat ambo rumput di bumi,
Pagi petang dipijak orang.
Orang Lengging membuat rakit,
Rakit dibuat kayu nyatuh;
Biarlah anjing menyalak bukit,
Bukit tetap tidakkan runtuh.
Orang mengail di Alor Mat Pulih,
Habis raga dimakan api;
Sana duk harap sini tak boleh,
Buang tangga berayun kaki.
Orang mengail di Kuala Bentan,
Umpama dilumur dengan lumut;
Menggunting dalam lipatan,
Itulah musuh dalam selimut.
Orang mengail ikan gelama,
Turun ribut datanglah takut;
Air surut kapal hilir sama,
Air pasang ia tersangkut.
Orang petani membuat dangau,
Dibiar kosong tidak bekerja;
Berapa tinggi terbang bangau,
Akhirnya di belakang kerbau juga.
Orang singgah Kuala Daik,
Beli durian dalam perahu;
Jikalau sudah emas yang baik,
Tak payah diuji orang pun tahu.
Kategori Perniagaan:
Orang mengail Sungai Kukup,
Pakai terendak dengan tudungnya;
Tuan beli timbang tak cukup,
Orang berniaga apa untungnya.
Orang Seberang gali cacing,
Cacing ada di kebun Cina;
Beli timbang kutengok dacing,
Beli borong kerap terkena.
Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka