Kategori Adat:
Naik bukit terkedok-kedok,
Hendak cari damar batu;
Habis kering bergadai golok,
Hendak sambut anak menantu.
Naik gunung mana arak,
Batu mana tanah air;
Rendah gunung tinggi arak,
Dari awal sampai akhir.
Naik ke bukit bertanya anjung,
Buat tanam pisang baka;
Kandar sirih sembilan junjung,
Nak meminang anak pusaka.
Nak berkebun berkebun sangat,
Buah limau masak layu;
Nak berpantun pantun sangat,
Macam Cina masuk Melayu.
Nak dulang kubagi dulang,
Dulang bekas hantar bertih;
Nak pulang kubagi pulang,
Pulang cik gajah putih.
Nak majun kubagi majun,
Majun sebutir di dalam gelas;
Nak pantun kubagi pantun,
Pantun sebutir tidak berbalas.
Nan tak di landai nan den landai,
Nan tak dilandung pandan muda;
Nan tak orang rasai nan den rasai,
Nan tak rang tanggung den galas pula.
Nasi kunyit tinggi berdiri,
Mari makan di atas meja;
Dari jauh hamba ke mari,
Untuk berjumpa sahabat semata.
Kategori Agama:
Nyiur manis baru gugur,
Dibawa nyonya keluar pagar;
Jasad menangis di pintu kubur,
Menyesal di dunia tidak belajar.
Kategori Budi:
Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli;
Emas perak perhiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.
Kategori Jenaka:
Naik ke bukit di balik bukit,
Tetak kayu di Padang Anak;
Dekat setindik sekanannya batik,
Cari janda belum beranak.
Naik ke bukit membeli lada,
Lada sebiji dibelah tujuh;
Apa disakit berbini tua,
Anak tiri boleh disuruh.
Naik ke bukit terluncang-luncang,
Nak ambil keropok air;
Apa sakit duduk membujang,
Lepas menumbuk mencedok air.
Naik rakit bersila panggung,
Patah galah batang keladi;
Kalau sakit nak minta tolong,
Mentekedarah tidak bergigi.
Nak mandi batas banyak,
Tambah pulak ada buaya;
Nak berbini hutang banyak,
Tambah pula rial belanja.
Nak takuk, takuklah,
Supaya senang hendak meniti;
Nak katuk, katuklah,
Jangan sampai menjadi mati.
Nampak rendang pokok belimbing,
Gugur buah tepi telaga;
Berapa senang berbini sumbing,
Kalau marah ketawa juga.
Nasi lemak gulai udang,
Tiga dengan gulai pari;
Bajunya kot songketnya gadang,
Hilang di mata mana nak cari.
Ngiau-ngiau kucing di rakit,
Nak makan jeruk belimbing;
Mak! Mak! Tunangku sakit,
Nak mengintai di balik dinding.
Nguak-nguak kerbau di padang,
Kerbau seekor kutarik ke huma;
Emak! Emak! Tunangku datang,
Bentang tikar tabur bunga.
Nguap-nguap kerbau di padang,
Mari tambat jalan ke huma;
Emak o mak! Abangku datang,
Apa tidak menabur bunga.
Nyiur lamin di Pantai Lamin,
Jatuh sebutir disambar ribut;
Hitam manis duduk beransin,
Cacat sedikit rambutnya sejemput.
Nyiur manis condong ke Keling,
Sudah ke Keling ke Jawa pula;
Hitam manis duduk mengoleng,
Sudah mengoleng ketawa pula.
Kategori Kiasan/Sindiran:
Naik bukit pergi Asahan,
Bayar niat mudah-mudahan;
Sungguhpun songket kain pilihan,
Tapi tak boleh buat basahan.
Naik ke darat memotong getah,
Ambil sekerat ampaian kain;
Bagaimana tanah nak basah,
Hujan menimpa di tempat lain.
Naik perahu belayar ke seberang,
Menuju belukar menebang kayu;
Bukan tak tahu zaman sekarang,
Gaharu dibakar kemenyan berbau.
Nak luruh rupanya hari,
Tidak pernah gelombang tujuh;
Inilah tua rupanya kami,
Tidak pernah mumbang tumbuh.
Nampak fajar di Selat Sunda,
Waktu pagi ayam berkokok;
Hijau jangan disangka muda,
Sudah lama masak di pokok.
Nampak sebuah kapal perang,
Rakyat banyak bukan sedikit;
Kota Melaka asalnya padang,
Kerana siapa jadi bukit?
Nanas paun tidak berduri,
Manisnya mari umpama gula;
Panas setahun hujan sehari,
Perigi kering dalam semula.
Nanas serumpun tidak berduri,
Buah manis seperti gula;
Panas setahun hujan sehari,
Telaga yang kering penuh semula.
Nanas serumpun tidak berduri,
Rasanya manis seperti gula;
Panas setahun hujan sehari,
Telaga yang kering penuh semula.
Kategori Nasihat:
Naik bukit bertangga batu,
Itu bernama anak Si Abu;
Lama ditunggu dapat satu,
Lebih baik pasang bubu.
Naik bukit sebalik bukit,
Buat tetap pagar anak;
Cari tenggek sapu tangan batik,
Cari janda belum beranak.
Naik ke darat memetik duku,
Berkain songket warna biru;
Dengan sebab tingkah dan laku,
Harga seringgit turun sesuku.
Nampak dari tanah Makkah,
Di sana ramai anak bidadari;
Sabarlah kita sebelum nikah,
Sama-samalah menjaga diri.
Nampak perahu terapung-apung,
Cik Rasib tukang kemudi;
Jangan selalu harapkan untung,
Kalau tak nasib mana nak jadi.
Negeri Perlis bandaraya Kangar,
Pasar jaja ikan pelotan;
Dinda tak nampak tetapi dengar,
Tentu sahaja kerja syaitan.
Nisan batu tambak belian,
Jari jangan diberi luka;
Amanah ibu bapa pesan,
Janji jangan diberi lupa.
Nyiur muda jangan lebat,
Kalau lebat patah mayang;
Orang muda jangan mengebat,
Kalau ngebat ditinggal tunang.
Nyiurlah muda dipolah pengat,
Dimakan orang di pagi raya;
Badanlah muda jangan tak ingat,
Usia belum orang dah binasa.
Kategori Pahlawan:
Nampak beting jauhnya pelik,
Nampak perahu pergi balik;
Sungguh biring jatuh tergolek,
Undur-undur dia terkam balik.
Kategori Peribahasa:
Nasi lemak bergulai udang,
Lemak berbau belum dirasa;
Remuklah hati berputih tulang,
Tidak direla berputih mata.
Nona ada papaya tidak,
Bunga ros duri berkait;
Benar ada percaya tidak,
Telunjuk lurus kelingking berkait.
Nyiur gading baru berbuah,
Pokok senduduk berbunga pagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tentulah tanduk tak guna lagi.
Kategori Perniagaan:
Naik ke darat ke Paya Padang,
Bunga kenidai bunga kenanga;
Jong sarat sudahlah pulang,
Teluk Berantai ada gantinya.
Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka