Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman;
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.
Burung punai terbang sekawan,
Kena seekor ditembak tinggi;
Kita umpama kapan dibadan,
Sama hancur tidak berganti.
Ke darat rumah Tok Hakim,
Hujan panas berderai-derai;
Sudah disiram air talkin,
Baru kasih kita bercerai.
Mayung ibul mayung ilam,
Ketiga dengan mayung sebatu;
Sama timbul sama tenggelam,
Bagai sauh bergantung batu.
Singa raja pelana urai,
Patah galah dalam perahu;
Niat di hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapa tahu.
Batang pulai di dalam hutan,
Batang rumbia dikerat-kerat;
Kasih terlanjur padamu puan,
Dari dunia sampai akhirat.
Rejang ini rejang halipan,
Halipan beranak dalam padi;
Tuan laksana kain kapan,
Buruk tidak dapat diganti.
Buah berangan dari Palembang,
Dijual dengan buah keranji;
Jangan tuan berhati bimbang,
Saya tidak mungkir janji.
Lancang baginda baru didandan,
Bunga selasih kulurut juga;
Biar kekanda rebah dimedan,
Hati yang kasih kuturut juga.
Bulan terang labi bermain,
Anak muda jangan bersuluh;
Kita laksana baju dan kain,
Takkan renggang dari tubuh.