Labuan tidak berbukit,
Tempat menjemur buah pala;
Maaf tuan bukan sedikit,
Sebanyak rambut atas kepala.
Laju ajong terkikis-kikis,
Si ambang-ambang si bunga kayu;
Nombor satu mister Inggeris,
Nombor dua cikgu Melayu.
Laju-laju perahu laju,
Singgah semalam laut China;
Tahu tuan saya pun tahu,
Saya miskin jangan dihina.
Lama tidak pergi ke ladang,
Burung turun ke batang padi;
Kuharap umur panjang,
Bila kita dapat berjumpa lagi?
Lipat kain kemas-kemas,
Koyak cukin di hujung paku;
Kalau kaya berlaksa emas,
Kerana miskin tidak laku.
Lipat kain lipat baju,
Cik Esah mengetam padi;
Hutang malu bayar malu,
Jangan susah dalam hati.
Lubuk Danti tepian Danta,
Buaya mudik tenang-tenang;
Kunci hati tutuplah mata,
Supaya badan rasa senang.
Kategori Agama:
Landak makan buah salak,
Kumat lumat dengan bijinya;
Api neraka kalau tak galak,
Umat belum takut dirinya.
Langit biru apa tongkatnya?
Bunga cempaka kembang biru;
Hidup dunia apa hakikatnya?
Pintu neraka sedia menunggu.
Layang-layang terbang melayang,
Marilah hinggap di hujung ranting;
Siapa bilang kamek tak sembahyang,
Di dalam tidur membawa sembahyang.
Layang-layang terbang melayang,
Turun ke tanah memakan padi;
Kalau ada kita sembahyang,
Padang Mahsyar kita berhenti.
Luputlah siang malam berganti,
Cahaya terang gelap menjadi;
Tidak disangka sekali-kali,
Kesemuanya adalah kehendak Ilahi.
Kategori Budi:
Lagi berbuah lagi berduri,
Itulah nama asam paya;
Lagi bertuah lagi berbudi,
Itulah nama orang kaya.
Lagi pauh permatang rendah,
Ambil cengal buat kemudi;
Dari jauh abang datang,
Dengar dinda baik budi.
Lari puyuh jalan kontang,
Tetak dengan batang kemudi;
Darilah jauh abang pun datang,
Meraikan tuan yang baik budi.
Layang-layang terbang melayang,
Putus tali sambung benang;
Siang malam terbayang-bayang,
Budi bahasa terkenang-kenang.
Limau manis batang berduri,
Batang selasih dalam dulang;
Mulut manis kerana budi,
Hati kasih kerana sayang.
Limbai-limbai naik ke lampau,
Anak raja datang bersembah;
Kalau sudah budi terlampau,
Bukannya kurang makin bertambah.
Kategori Jenaka:
Laju-laju perahu laju,
Laju mari sampai Kelebang;
Lipat kain lipat baju,
Saya mahu ikut abang.
Laju-laju perahu laju,
Laju sampai Seri Baya;
Bukalah kain dengan baju,
Jangan lupa nama saya.
Laksamana pergi mendekut,
Dapat seekor punai gading;
Kalau singa makan rumput,
Tentu lembu makan daging.
Limau bertumbuh di tepi tebat,
Tanam halia habis layu;
Harimau mengambur serta melompat,
Habis kera panjat kayu.
Limau lelang bergugus-gugus,
Taruh mari dalam dulang;
Harimau mati dipijak tikus,
Buaya mati disepit udang.
Limau lelang tengah sempadan,
Petik orang bawa ke hulu;
Rimau menderam tengah hutan,
Monyet siamang gemangkan bulu.
Limau purut dipancung putus,
Diputus dengan hujung pedang;
Harimau mati dilanggar tikus,
Buaya mati di tepi gudang.
Kategori Kiasan/Sindiran:
Labuan tangga peranggi,
Putus tembirang dipukul ombak;
Akan naik ke gunung tinggi,
Jatuh pula ke hutan semak.
Laju sampai Kuala Daik,
Hendak dikejar takut dalam;
Sudah jumpa intan yang baik,
Mahu diikat batu nilam.
Laksamana menabur durian,
Buah belimbing terhentak-hentak;
Tuan laksana buah durian,
Di sana gugur sana melantak.
Laksamana pergi berperang,
Pacu kuda dari Patani;
Saya naga bertapa di padang,
Sekalian bisa di tangan kami.
Lang Buana mengait ciku,
Gugur sebiji ke Majapahit;
Hilang warna manikam biru,
Terkena sinar intan yang baik.
Layang emas terbang bertiga,
Mari hinggap di pohon kelapa;
Kapal emas sauh suasa,
Abang nak minta jadi nakhoda.
Layong-layong bunyi rebana,
Gelaga batu mana isinya;
Jika tahu sindir bertanya,
Langit bergantung mana talinya?
Ledang-ledang buah keledang,
Jatuh sebiji di rumpun buluh;
Tuan membarat di pohon rendang,
Hujan dan panas tumpang berteduh.
Lotong-lotong bunyi rebana,
Layang-layang talinya benang;
Kami bertanya pada kakanda,
Langit bergantung mana talinya?
Lumba-lumba bermain gelombang,
Cuaca redup tengah hari;
Cuba-cuba menanam mumbang,
Kalau hidup tuah negeri.
Lumba-lumba main gelombang,
Riak sampai Kuala Linggi;
Cuba-cuba menanam mumbang,
Kalau hidup tuah negeri.
Lurut-lurut padi seberang,
Buah banyak melirit-lirit;
Bergerak surut pasang hilang,
Nampak hitam lumpur di parit.
Kategori Nasihat:
Lang inang padi Daik,
Padi sawah mahu guna;
Kalau mudah-mudahan baik,
Esok boleh buat berguna.
Lang pungguk terbang berbalik,
Hinggap seekor pohon keladi;
Barang buruk jangan dibelek,
Silap mata kena beli.
Layarkan biduk laju-laju,
Berlabuh tentang ulak karang;
Tinggalkan anak tentu-tentu,
Jangan pengejut ayam orang.
Limau manis tiga serangkai,
Taruh mari di kebun Cina;
Mulut manis jangan dipakai,
Banyak orang sudah terkena.
Kategori Peribahasa:
Laksamana Bentan datang menyembah,
Merendah diri walaupun gagah;
Raja adil raja disembah,
Raja zalim raja disanggah.
Laksamana mudik beredap,
Bergalah sahaja perahunya tidak;
Laksana bunga dedap,
Merah sahaja berbaunya tidak.
Laksamana mudik ke bendang,
Seluar merah baru berjahit;
Laksananya buah pedendang,
Luarnya merah dalamnya pahit.
Laksamana mudik ke Terap,
Patah galah di dalam perahu;
Tuan umpama bunga dedap,
Sungguh merah tiada berbau.
Limau purut dipancung putus,
Diputus dengan hujung pedang;
Harimau mati dilanggar tikus,
Buaya mati di tepi gudang.
Lumur minyak di kepala botak,
Lagi baik minyak bijan;
Manakah gading yang tidak retak,
Di manakah bumi tak timpa hujan.
Kategori Perniagaan:
Laksamana menyukat beras,
Sukat mari segantang padi;
Timbang baik kalau jelas,
Baru senang berjual beli.
Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka