Kategori Adat:
Kacang Cina dalam kota,
Rampai-rampai di Tanjung Puri;
Hidup di dunia bersuka ria,
Seronok-seronok sementara nak mati.
Kacang kelisa tumbuh di dusun,
Tumbuh sepohon di tiang layang;
Kami menyambut bersusun-susun,
Kerana meraikan pengantin datang.
Kacip baling ke bulan,
Bintang tidak meninggi hari;
Saya ke mari menghadap tuan,
Tuan nak tolak ke mana lagi.
Kail hitam panjang sembilan,
Tiba di pasar tidak membeli;
Kirim salam pada tuk besan,
Saya menghantar tidak seperti.
Kain baru kain cukin,
Bawa mari kesat dulang;
Sudah buruk lagi miskin,
Mana nak guna kepada orang.
Kain buruk dalam besen,
Buat membungkus kulit belulang;
Saya buruk lagi miskin,
Manalah hendak dipeduli orang.
Kain cukin basahan mandi,
Jemur mari di hujung galah;
Ditamatkan pantun kebajikan budi,
Memohon ampun barang yang salah.
Kain cukin kain sutera,
Buat pengesat kaki dulang;
Sudah miskin bertambah hina,
Buat apa kepada orang.
Kain dibeli lalu diikat,
Beli di bandar Kuala Lumpur;
Inilah juga tanda muafakat,
Saya membawa sirih sekapur.
Kain kudi di atas atap,
Belum patah jarum hilang;
Kalau sudi abang bersantap,
Kalau tak sudi janganlah buang.
Kain lama ditukar baru,
Menanti kain dari kedai;
Permainan kamek diulang baru,
Sementara menanti orang yang pandai.
Kalau abang menebang ara,
Hendaklah tebang dengan kapak;
Kalau abang hendak berkira,
Pergi berjumpa ibu dan bapak.
Kalau ada jarum patah,
Jangan simpan dalam peti;
Kalau ada silap salah,
Jangan simpan dalam hati.
Kalau ada padi di ladang,
Boleh abang menumpang mandi;
Kalau ada umur panjang,
Tahun hadapan berjumpa lagi.
Kalau Cik Jah ke rumah Cik Maimun,
Singgah ke kedai membeli bunga;
Mati gajah tulangnya menimbun,
Mati hamba nak tinggalkan nama.
Kalau jeruju bandar Siam,
Siang-sianglah kok padi;
Kalau beralih tempat diam,
Ulang-ulang mandi kini.
Kalau memanah burung helang,
Bolehkah tidak dia mengena;
Kalau kakanda datang meminang,
Adakah adinda sudi menerima.
Kalau menangkap ikan kurau,
Rentang jaring hingga ke seberang;
Adat hidup sahabat bergurau,
Sudah mati terbaring seorang.
Kalau mengutip bunga di taman,
Bunga melur ada duri;
Siapa dia orang di laman,
Silalah naik kalau sudi.
Kalau naik tangga sendiri,
Jangan pula takut terjongkit;
Dipandang orang berlari-lari,
Dipandang sendiri terjingkit-jingkit.
Kalau pecah piring ini,
Saya tidak berkirim lagi;
Kalau sudah nyanyi ini,
Saya tidak menyanyi lagi.
Kalau sudah tetak nipah,
Mari kita mengambil rumbia;
Kalau sudah kujumpa ayah,
Barulah padan seia sekata.
Kalau tiada kayu gaharu
Hampas tebu jadi berbau;
Sudahlah adat kita Melayu,
Tak boleh dekat belum bersatu.
Kalau tidak bunga di Tanjung,
Bila beringin ke Tasik Kembang;
Kalau tidak intan dijunjung,
Saya tidak ingin kepada orang.
Kalau tidak Sarawak sempit,
Di situ juga jalan kuda;
Maaf saya suaraku sakit,
Ke situ juga melihat harta.
Kalau tuan ke Tanjung Batu,
Singgah beli sebatang galah;
Kalau tuan kata begitu,
Saya berani mengaku salah.
Kalau tuan makan jagung,
Jagung dimakan burung merpati;
Kita ini sama berpantun,
Pantun kita mohon berhenti.
Kalau tuan membelah jati,
Belah jangan terlampau panjang;
Jangan tuan berkecil hati,
Saya memohon izin pulang.
Kalau tuan membeli nangka,
Getah jangan tuan salaikan;
Pantun ini pantun seloka,
Mana salah harap maafkan.
Kalau tuan memerah susu,
Susu ditaruh di dalam talam;
Saya tidak lupa ibu,
Ibu menjaga siang dan malam.
Kalau tuan mengasah kapak,
Asah mari sepagi hari;
Saya bawa sirih setepak,
Untuk saya ganti diri.
Kalau tuan naik perahu,
Anaklah Cina melipat kain;
Kalaulah tuan ingin nak tahu,
Kitalah bukan orang lain.
Kalau tuan pergi ke hulu,
Ambilkan saya buah saga;
Jangan tuan buat tak tahu,
Lepas menuai kahwinlah kita.
Kalau tuan pergi ke hulu,
Petikkan saya bunga sena;
Kalau tuan pergi dahulu,
Jangan saya dipandang hina.
Kalau tuan pergi ke Rasib,
Saya mengirim beli padi;
Sudah kubuat pada nasib,
Nasib saya apa nak jadi.
Kalau tuan pergi ke selat,
Sarat dengan membawa bunga;
Sedangkan orang dagang lat,
Inikan pula keluarga sama.
Kalaulah sudah pergi ke paya,
Marilah kita pergi ke hulu;
Kalau sudah seia sekata,
Marilah kita berjumpa ibu.
Kambing saya kambing Cik Baham,
Dia makan bawah rumah;
Budak ini sangat pemaham,
Mana sirih tak boleh dikunyah.
Kami malas berhuma panjang,
Turun permatang naik permatang;
Kami malas hidup bujang,
Sirih datang pinang pun datang.
Kami malas menyabung kacung,
Kacung ada di atas pagar;
Kami malas menyambung pantun,
Pantun kami baru belajar.
Kampung Jambak menyisir rimba,
Di balik kampung Mandaling;
Sedang dusanak lagi tak hiba,
Konon kok orang berkeliling.
Kanang-kanang berisi manik,
Manik bersunting si bunga padi;
Tuan datang silakan naik,
Sedia air pembasuh kaki.
Kapal berlabuh di Kuala Sepetang,
Membawa dagang ke luar negeri;
Kerana hari telah petang,
Mohon izin mengundur diri.
Kapal puan berisi manik,
Jambu air tepi perigi;
Tuan datang silalah naik,
Ambil air pembasuh kaki.
Kawah kuali minta tudungi,
Hendak berisi haruman padi;
Kalau sekali kami ampuni,
Jangan saja sekali lagi.
Kayu api dibelah-belah,
Dibelah orang dengan parang;
Hidup di dunia serba salah,
Datang ke sini dikata orang.
Kayu cendana titian beruk,
Orang menebang kayu beraksa;
Hamba ini orang buruk,
Tambah hina tidak berbangsa.
Kayu senduk kayu jati,
Mari letak atas permatang;
Nasi sejuk sudah basi,
Nantikan tuan lambat datang.
Kayu sepang mudik ke hulu,
Masak minyak dalam belanga;
Wahai cik abang tunggu dahulu,
Emak balik baru nak tanya.
Ke hutan mencari cempedak,
Cari mari kebun Cik Siti;
Sehari makan sehari tidak,
Asal hidup jangan mati.
Ke Sungai Dungun memetik perah,
Kutip perah di Bukit Seberang;
Adik melenggang bukanlah marah,
Kerana mengenang nasib badan.
Kecil-kecil kacang kelisa,
Pandai melilit di pagar orang;
Tengok kecil mulutnya bisa,
Pandai menyakit hati orang.
Kelap-kelip kunang-kunang di rimba,
Tempat di pohon gedung;
Silap sedikit marahkan hamba,
Di manalah tempat diri berlindung.
Keledek merah pucuk meranti,
Masak lemak tengah hari;
Sanak marah saudara benci,
Biarlah hamba membawa diri.
Kemili sejunjung naik,
Ambil bemban pahat putarkan;
Ayuhai diri apa tak naik,
Tikar sudah dibentangkan.
Kemuning dibuatkan bendul,
Semakin ditarah semakin baru;
Nasi kuning berpagar telur,
Itulah makanan pengantin baru.
Kerana terhempas padanya tanah,
Lalu terhempas padanya pagar;
Tuan dijemput naik ke rumah,
Serta pula duduknya ke tikar.
Kerbau balar makan jerami,
Anak telkin di atas tembok;
Apa jua miskin kami,
Lagi miskin tidak berbapak.
Kerbau mana tambat di tubir,
Kerbau hitam melenggang tanduk;
Anak dara di balik tabir,
Anak teruna dibawa masuk.
Kerbau saya kerbau jantan,
Dia makan padang senduduk;
Kapur saya kapur intan,
Jangan dicedok dengan telunjuk.
Kereta api tak ada serombong,
Kapal pergi ke Batu Pahat;
Sekali-kali saya tak sombong,
Tapilah tuan tak tahu adat.
Keris saya keris sempena,
Pakaian anak raja Kelantan;
Sirih saya datang bertanya,
Ada tidak menaruh intan.
Kerbau saya kerbau jantan,
Jangan ditambat di pohon keduduk;
Kapur saya kapur berjintan,
Jangan diculik dengan telunjuk.
Ketam padi jerami tinggi,
Ketam pula balik pulau;
Kalau tiada kami di sini,
Siapa pula teman bergurau.
Kok den tapa burung den tapa,
Terbang anaknya si kenari;
Kok marah ibunya bapa,
Kampung kok banyak tempat berlari.
Kokok ayam sahut-menyahut,
Kokok mari di malam hari;
Anak laut pulang ke laut,
Tempat bermain setiap hari.
Kumbang berdengung memakan kelicap,
Mari diikat benang setuli;
Orang Dungun sungguhlah bijak,
Pandai sungguh mengambil hati.
Kusangka aur di tanah seberang,
Rupanya tebu tumbuh di busut;
Disangka jujur hati orang,
Rupanya muslihat mencapai maksud.
Kategori Agama:
Kain baldu dibuat tilam,
Dara berdandan pengantin baru;
Rosak madu kerana jadam,
Rosak iman kerana nafsu.
Kain pelikat di dalam peti,
Satu Jumaat sekali buka;
Sudah terikat dalam hati,
Satu rakaat tidak lupa.
Kalau ada gajah berjuang,
Jemurlah beras di atas para;
Kalau ada Allah menolong,
Siang malam barat utara.
Kalau ada kepuk di ladang,
Boleh juga tumpang mandi;
Diberi Allah umur panjang
Boleh kita jumpa lagi.
Kalau menebang kayu jati
Papan di Jawa mari dibelah;
Bukan boleh sekehendak hati,
Semuanya di bawah perintah Allah.
Kalau perahu puan tenggelam,
Anak buaya pandai berenang;
Kalau dah tahu cara Islam,
Bolehlah abang tolong ajarkan.
Kalau tuan mandi di hulu,
Hanyutkan saya tempurung dasar;
Kalau tuan mati dahulu,
Tunggu saya di padang Mahsyar.
Kalau tuan memetik rambai,
Rambai ada di hujung dahan;
Sungguh berpantun kita beramai,
Berserah kita kepada Tuhan.
Kapal layar bertiang tiga,
Tiang keempat batang galah;
Ikhtiar ilmu bahagian kita,
Hasil pendapatan di tangan Allah.
Katak betung berbunyi malam.
Tala-menala bunyi dahulu;
Tuhan belum menjadikan alam,
Kita sudah berjanji dahulu.
Kayu pagar berikat tali,
Diikat-ikat bawa ke tanjung;
Kalau benar berkali-kali,
Akhirat jangan tanggung-menanggung.
Kelapa muda muda juga,
Kelapa tua dibuat inti;
Suka suka juga,
Sembahyang kita jangan dihenti.
Kirim surat orang seberang,
Surat ini bunga perada;
Saya pesan pada abang,
Amal ibadat jangan dilupa.
Kategori Budi:
Kain batik sama sujinya,
Dalam sumbu tali belati;
Orang baik budi bahasanya,
Diingat juga sampai mati.
Kain berlipat dalam istana,
Pakaian puteri raja kayangan;
Sepatah nasihat ilmu yang berguna,
Secubit budi jadi kenangan.
Kain perai baju pun perai,
Letak mari atas peti;
Hancur badan tulang berkecai,
Budi adik dibawa mati.
Kain songket berkodi-kodi,
Tersusun indah di atas peti;
Biarpun sedikit bernama budi,
Guna menempah jasa bakti.
Kait kelapa kukur kelapa,
Kupas ubi buat pengat;
Hendak kulupa tak terlupa,
Kerana budi sudah terpahat.
Kalau abang pergi ke Daik,
Ikan gelama masak kelapa;
Kalau abang berhati baik,
Sampai bila adik tak lupa.
Kalau ada menanam tebu,
Boleh dijual di pasar desa;
Kalau kita jadi tetamu,
Biar pandai berbudi bahasa.
Kalau ada peria pahit,
Belanga baru jerang udang;
Kalau ada budi baik,
Jadi abu dikenang orang.
Kalau bukan kerana kunci,
Di mana peti mahu dibuka;
Jika bukan kerana budi,
Di mana kami hatilah suka.
Kalau hendak memikat kedidi,
Anak beruk mari dikandang;
Kalau ikhlas hendak berbudi,
Helah jangan ke lain menyimpang.
Kalau hendak menjemur padi,
Jemur mari tengah halaman;
Cuba-cuba menabur budi,
Kalau baik dibuat jaman.
Kalau kutahu padi sumbang,
Biarlah sawah tumbuh keladi;
Kalau kutahu budi nak terbang,
Haram tidak berbudi lagi.
Kalau kutanam kutanam juga,
Dari air sampai ke darat;
Kalau kukenang kukenang juga,
Dari dunia sampai ke akhirat.
Kalau pasang air di laut,
Sampan kolek tarik ke tanjung;
Hati mengenang mulut menyebut,
Budi adik rasa nak junjung.
Kalau tidak kerana kunci,
Tidak terbuka pintu almari;
Kalau tidak kerana budi,
Manakan kami datang ke mari.
Kalau tidak tertanam padi,
Tidaklah saya bertanam bunga;
Kalau tidak kerana budi,
Tidaklah badan jadi merana.
Kalau tuan bawa kemudi,
Kemudi dibawa di tepi pantai;
Kalau kenang kurang budi,
Sirih layu lekat di tangkai.
Kalau tuan bawa perahu,
Muatan isi buah berangan;
Hendak berbudi biar selalu,
Supaya boleh buat kenangan.
Kalau tuan menanam ubi,
Mari tanam Kampung Seberang;
Baik-baik mencampak budi,
Emas juga dipandang orang.
Kalau udang dibuat gulai,
Daging rusa dimasak kari;
Kalau wang jadi pemakai,
Budi bahasa pengiring diri.
Kalaulah pergi ke pekan Nyalas,
Masuk ke balai membeli gelang;
Kalau budi minta dibalas,
Itulah budi tidak dikenang.
Kapal belayar sarat muatan,
Nelayan di laut sedang memukat;
Biar jauh seberang lautan,
Kerana budi terasa dekat.
Kecil-kecil tuanya lidi,
Hendak berkayuh pasir seberang;
Kecil-kecil pandai berbudi,
Hendak sekupang tiada di tangan.
Kemas rumah di waktu senja,
Anak buaya naik mencuri;
Emas intan ada harga,
Budi bahasa sukar dicari.
Kencang-kencang angin timur,
Belayar tanah seberang;
Panjang-panjang engkau umur,
Akan pembalas budi Si Dayang.
Keritih tiram tergantung,
Limau manis banyak bijinya;
Pilih-pilih muda sekampung,
Hitam manis baik budinya.
Kategori Jenaka:
Kacang melilit di tanah rata,
Ambil dimasak bersama timun;
Dia masam sebelum ditegur,
Bila ditegur dia tersenyum.
Kain putih panjang sembilan,
Panjang sepuluh berkelim rambu;
Adik putih tidur semalam,
Lekat peluh hodohnya bau.
Kalau abang membeli jarum,
Boleh adik membeli tali;
Kalau abang minta nak cium,
Upah cium tendang sekali.
Kalau ada kereta api,
Pergi ke Panggor membeli benang;
Sudah suka hati,
Perut kosong menjadi kenyang.
Kalau bertenun secara kembang,
Limau kerbau masak merekah;
Kalau bersenyum ketawa dek orang,
Ambil tuk lebai baca nikah.
Kalau bertenun secara kembang,
Limau kerbau masak merekah;
Kalau bersenyum ketawa dek orang,
Ambil tuk lebai baca nikah.
Kalau cik tuan selasih dani,
Ayam kokok Tanjung Jati;
Kalau cik tuan kasihkan kami,
Hulurkan rokok dengan api.
Kalau hendak menangkap labi,
Lehernya itu jangan dijerut;
Ulat yang menelan babi,
Cacing pula bengkak perut.
Kalau kita sampai ke hulu,
Mari kita menetak nipah;
Apa guna jumpa ibu,
Yang kadi inilah ayah.
Kalau nak pancing ikan sembilang,
Di air keruh tepi karang;
Jalak berkokok tak putus selang,
Biring yang mana tak nak radang.
Kalau tahu lemaknya lada,
Ambil minyak linang-linangkan;
Kalau nak tahu lemaknya janda,
Ambil anak timang-timangkan.
Kalau tak tahu jangan digagah,
Lidah tak nyaman perut pun tak sebu;
Hilir malam mudik tak singgah,
Buah nipah disangka labu.
Kalau tuan pakai sepatu,
Agar-agar naik ke kuala;
Kalau tuan cakap begitu,
Kayu pagar naik kepala.
Kalau tuan pergi ke rakit,
Bunga raya dalam celepa;
Kalau tak ada ringgit di kocek,
Taruh boyan tak jadi apa.
Kapal baluk bertiang tiga,
Dibawa masuk ke Pontianak;
Bulan mabuk matahari gila,
Apa fikiran orang yang banyak.
Kapal kecil roda lambung,
Naik ke darat pasang teropong;
Orang muda kacak melambung,
Songkok senget saku kosong.
Kayu ara dua secabang,
Mati secabang dimakan api;
Anak dara dua sekupang,
Janda empat segantang padi.
Ke bandar Melaka ke rumah Cik Alang,
Hendak bersafar ke Tanjung Keling;
Kalau semua orang berambut panjang,
Apatah hal nasib si tukang gunting?
Ke bilik ke dapur,
Gulai ayam pedas;
Itik yang bertelur,
Ayam yang menetas.
Ke laut mari mengail duri,
Terasa pula badan nak demam;
Putih kuning mengajak lari,
Saya tak tahu rumah imam.
Kecil-kecil buah cemponek,
Kasi makan anak Cik Batak;
Sudah berpesan datuk nenek,
Ayam garang kepala botak.
Kecil-kecil pengayuh lidi,
Mari sampai hutan seberang;
Kecil-kecil hendak berbini,
Apa belanja kulit kerang.
Kecil-kecil pengayuh lidi,
Mari sampai ke hutan seberang;
Kecillah kecil hendak berlaki,
Apa belanja sekulit kerang.
Kekalkan Mak Busu bertanam miak,
Bertanam miak di muka pintu;
Kekalkan Mak Busu banyak anak,
Minta seorang buat biniku.
Kekati atas peti,
Anak tekukur bawah batang;
Dari pagi saya nanti,
Hari petang baru datang.
Kepiting di negeri Jawa,
Buluh bersegi di atas atap;
Ikan kering habis tertawa,
Anak tupai baca kitab.
Ketok-ketok harimau garang,
Keling pandai cakap Jawa;
Harimau batuk buaya mengerang,
Kucing di rumah sakit kepala.
Kocak-kocak terbuka jala,
Ikan mengena haluan perahu;
Esok-esok bertanya janda,
Asal senyum tandanya mahu.
Kukur nyiur perah santan,
Anak kijang di Bukit Lagi;
Kalau nak tengok hati jantan,
Cuba bujang sekali lagi.
Kulit kerang asalnya kapur,
Anak Batak pandai menari;
Letak apa belanga ke dapur,
Kalau masak angkat ke mari.
Kulit ular dikata tebal,
Tebal lagi kulit sawa;
Kalau pujuk makin menyebal,
Kalau dimarah baru tertawa.
Kategori Kiasan/Sindiran:
Kain baju sutera gumbang,
Letak berlipat di atas peti;
Lain dituju lain yang tumbang,
Tidaklah dapat hajat di hati.
Kain baldu dari Makasar,
Halusnya tiada dapat ditenun;
Laut madu sungai bersakar,
Dahaganya tiada dapat diminum.
Kain batik baru dijemur,
Jemur mari tengah kolam;
Sungguh cantik bintang timur,
Bintang tak boleh terangkan alam.
Kain Bugis kain Palembang,
Pakai anak Raja Semarang;
Mas merah asalnya kurang,
Emas bersepuh di kayu arang.
Kain ini kain Bentan,
Kalau dibasuh jangan dibanting;
Bukan salah dari jahitan,
Salah pula orang menggunting.
Kalau berperang di dalam kubu,
Tombak lembing buat perisai;
Kalau hilang ayah ibuku,
Seperti karang bunga berderai.
Kalau buat atap jerami,
Jangan lupa atap ijuk;
Kalau langit nak timpa bumi,
Bolehkah ditahan dengan telunjuk?
Kalau nak pikat burung jelatik,
Tabur beras dengan padi;
Kalau nak harap corak yang cantik,
Tentu tak laku kain berkodi.
Kalau tak betul jadi saksi,
Ambil kayu direjam-rejam;
Sebaik-baik pun baja besi,
Ada batu baru tajam.
Kalau tidak batang diminta,
Tanam selasih di bawah paya;
Beremak ada berbapa tiada,
Esok sampai di tangan buaya.
Kalau tuan membuat sangkar,
Pasangnya rapat-rapat;
Lemah liat kayu akar,
Dilentur boleh dipatah tak dapat.
Kalau tuan mendaki bukit,
Bukit didaki terlalu tinggi;
Sungguh cantik bulan terbit,
Ada bintang baru berseri.
Kalau tuan pandai menginang,
Inang saya beras kunyit;
Kalau tuan pandai membilang,
Bilanglah saya bintang di langit.
Kalau tuan pergi ke Jambi,
Lipat kajang kemas-kemas;
Kalau tuan hendakkan kami,
Carikan kijang bertanduk emas.
Kalau tuan pergi ke Jeddah,
Pergi dengan anak permaisuri;
Kalau teringin hendak makan buah,
Buah masak di ranting tinggi.
Kalau tuan pergi ke ladang,
Ambil saya sebatang buluh;
Tuan umpama pohon rendang,
Hujan panas tumpang berteduh.
Kalau tuan pergi ke Pancur,
Singgah berlabuh Pulau Jawa;
Sauh besi lagikan hancur,
Inikan pula kayu di paya.
Kalau tuan pergi ke paya,
Pucuk ramunia dalam jantung;
Kalau bertembung kelapa muda,
Alamat dunia hendak digulung.
Kalau tuan pergi ke tanjung,
Kirim saya bunga dahlia;
Ibarat api dalam tanglong,
Angin yang mana padamkan dia?
Kalau tuan pergi seberang,
Semai padi tumbuh lalang;
Saya umpama beras segantang,
Mahu lebih tak mahu kurang.
Kapal besar dua pemeluk,
Ditebang berdiri duduk;
Kalau tidak panjang penjolok,
Manakan dapat bunga yang elok.
Kapal datang dari seberang,
Naik ke darat membeli kapak;
Sudah nasib badan seorang,
Beras segantang tinggal secupak.
Kapal kecil kemudi kayu,
Hendak belayar tanah seberang;
Kain sekodi pilih sekayu,
Boleh dapat cindai terbilang.
Kayu mati patah tergalang,
Anak helang tersangkut betisnya;
Harimau mati tinggalkan belang,
Dari belang datang bengisnya.
Ke darat menebang juak tukas,
Tukas kutebang tepi jeraya;
Laksana dakwat dengan kertas,
Samalah hancur sama binasa.
Ke hutan mencari rotan,
Cari makan tepi paya;
Bukan saya sayangkan umpan,
Takut ikan tipu saya.
Kebun kecil pokok berjenis,
Pagar dengan buluh berdaun;
Kecil-kecil kayu tempinis,
Terasnya tahan berpuluh tahun.
Kelapa menjadi santan,
Asal santan menjadi minyak;
Jika ada buah termakan,
Burung liar menjadi jinak.
Kelat mata malam berjaga,
Baharu nak tidur kelambu baru;
Berbau harum bunga cempaka,
Belum kusolek sudah berbau.
Kelip-kelip api di kantor,
Sedia naik pukul sembilan;
Bagai diletak bagai diatur,
Macam cincin permata nilam.
Kembang cendawan di tengah padang,
Tempat Cik Siti memacu kuda;
Pada bulan baik bintang,
Sungguhpun kecil selalu ada.
Kencang-kencang angin di atas,
Hendak putus tali kecapi;
Jongnya perak layarnya kertas,
Hendak melanggar lautan api.
Kencang-kencang angin ke Timur,
Hendak belayar ke Benua Jawa;
Dipanjangkan Allah apa ke umur,
Hendak membeli gambar bernyawa.
Kereta api kereta sorong,
Kereta biasa berjalan malam;
Tuan besi saya piabung,
Sama timbul sama tenggelam.
Keris panjang mata tirus,
Ulu keris nampak bersilang;
Serta pasang dengan arus,
Bergerak surut pasangnya hilang.
Ketuk gendang tiup serunai,
Raja berarak dari seberang;
Putih mata burung punai,
Ara masak ditunggu helang.
Kuda hitam sila hitam,
Pakai anak Inderagiri;
Tuan umpama intan manikam,
Cahaya melimpah dalam negeri.
Kuda hitam silanya hitam,
Pacu anak Raja Deli;
Tuan umpama intan manikam,
Cahaya naik berseri-seri.
Kuda ini kuda biasa,
Kuda biasa berjalan malam;
Budak ini budak biasa,
Buah mabuk hendak dimakan.
Kuda ini kuda buatan,
Mari tambat Johor Lama;
Rumah buruk pengikat rotan,
Kalau baik kutunggu lama.
Kuda jahat selalu meragam,
Makin diajar bertambah pandai;
Bulan terbit terangkan alam,
Bintang timur terangkan pantai.
Kulitlah ketam dipanggang lotong,
Panggang di dapur tinggal tulang;
Nasibku badan tidak beruntung,
Ayam ditambat disambar helang.
Kupas kelapa isi diparut,
Kelapa dibeli kedai Cina;
Kalau tidak emas disalut,
Intan tak boleh angkat nama.
Kurang bulat sembayan sakar,
Akan membubur si kacang gadung;
Tanah bersukat jangan diekar,
Kalau diekar siapa yang tanggung?
Kura-kura labi-labi,
Anak buaya mati berenang;
Pura-pura baru menjadi,
Kain sutera bercampur benang.
Kusangka kapal di tengah laut,
Rupanya terlanggar karang yang ganas;
Kusangka kukuh embun di rumput,
Rupanya hilang ditimpa panas.
Kututuh mari sebatang pisang,
Habis menimba selara padi;
Kutembak dengan peluru petunang,
Naga tak kena ular tak mati.
Kategori Nasihat:
Kain culas di atas peti,
Ditekat jangan diberi jangan;
Sudah ikhlas dalam hati,
Diumpat jangan dipuji jangan.
Kain empat lipat empat,
Lipat mari di atas geta;
Cari hak lain payah nak dapat,
Baiklah balik janda sedia.
Kain ini carik di tengah,
Mari dijahit budak hulu;
Tengah berkasih datang fitnah,
Baik kita berhenti dahulu.
Kain lepas putus benang,
Kain datang Benua Keling;
Sudah lepas jangan dikenang,
Sama-sama mencari lain.
Kain lipat di dalam bilik,
Lipat jangan segi pun jangan;
Kalau lepas sayalah balik,
Umpat jangan caci pun jangan.
Kain putih panjang sehasta,
Tinggal sejengkal tudungkan puan;
Abang pergi pilihlah rata,
Jangan menyesal hari kemudian.
Kain selendang kesumba murup,
Mari diikat rotan saga;
Hati bimbang jangan diturut,
Biar ditantang jangan diag
Kain sutera tenunan Cik Esah,
Pakai pula budak seberang;
Dari berdua baik tak usah,
Biarlah tentu saya seorang.
Kait-kait ara muda,
Timun mikai dalam padi;
Baik-baik bermain muda,
Jangan menyesal dalam hati.
Kalau abang pandai merebat,
Tolong rebat pokok keranji;
Kalaulah abang pandai mengubat,
Tolonglah cari ubat tak mati.
Kalau ada ikan pari,
Senang saya masak tumis;
Apa cakap tuan tadi,
Cakap lepas jangan menangis.
Kalau belah jangan panjang,
Itu dah memang adat jati;
Saya izinkan puan pulang,
Tapi jangan lupa janji.
Kalau beli buah berangan,
Jangan lupa buah kana;
Orang kaya jangan diangan,
Orang miskin jangan dihina.
Kalau berbiduk usah berdayung,
Kalau berdayung bilakan tiba;
Kalau duduk jangan bermenung,
Kalau bermenung tiba hiba.
Kalau berjalan terasa lambat,
Kalau berlari terasa cepat;
Jangan kita suka mengumpat,
Rugi di dunia di akhirat tak dapat.
Kalau Cik Siti bergulai udang,
Campakkan garam dua jemput;
Adik bengkeng jangan nak dipandang,
Nama abang jangan disebut.
Kalau duduk di atas kerusi,
Sambil duduk berehat-rehat;
Jangan dibawa perangai besi,
Makin lama makin berkarat.
Kalau hendak hilir berakit,
Jangan lupa singgah di Lor;
Jangan cuba cari penyakit,
Jangan gerak rimau yang tidur.
Kalau ke bukit sama mendaki,
Kalau ke laut sama berenang;
Kalau kita bersatu hati,
Kerja yang berat menjadi senang.
Kalau kulurut padi di Daik,
Pancang pulau jatuh terhempas;
Kalau kuturut perangai tak baik,
Pasang tak penuh surut tak timpas.
Kalau nak lurut padi muda,
Kenalah rendam bagi rapuh;
Kalau nak turut hati muda,
Kena pegang bagi kukuh.
Kalau pergi ke Tanjung Pinang,
Jangan lupa membeli raga;
Jangan difikir jangan dikenang,
Kaya miskin sama sahaja.
Kalau sudah tenggiri datang,
Hulur kembang di luar perahu;
Kalau hendak sendiri datang,
Cari ganti tempat yang tahu.
Kalau tidak lembu Pak Jamal,
Masakan badan hancur dan lumat;
Kalaupun tidak ilmu dan amal,
Bilakan badan boleh selamat?
Kalau tidak teras bintang,
Suluh menyuluh luar perahu;
Kalau hendak sendiri datang,
Suruh menyuruh kita tak tahu.
Kalau tuan berjalan kaki,
Jika penat naik kereta;
Jangan sekali menurutkan hati,
Seumur hati duduk bercinta.
Kalau tuan hendak berkebun,
Air ngat dalam cawan;
Kalau tuan pandai berpantun,
Jangan bagi hangat hati kawan.
Kalau tuan ke Tanjung Buluh,
Beli manisan bulan puasa;
Kalau nak tambat biar teguh,
Saya nak ambil beradap mata.
Kalau tuan makan papaya,
Taruh mari atas peti;
Apa nak buat tipu daya,
Sama kita satu hati.
Kalau tuan mandi telaga,
Timba air dalamlah pasu;
Pandailah sungguh adik meneka,
Yang paling tinggi ialah nafsu.
Kalau tuan membawa lidi,
Lidi dibawa negeri China;
Susah tuan beranak tiri,
Hendak sabar bersama-sama.
Kalau tuan menanam betik,
Siram dengan air sejuk;
Jangan hiba bunga yang cantik,
Nanti tuan turut telunjuk.
Kalau tuan menebang jati,
Biar serpih tumbangnya jangan;
Kalau tuan mencari ganti,
Biar lebih kurang jangan.
Kalau tuan meragi kain,
Biar nipis jangan jarang;
Kalau tuan mencari lain,
Biar lebih daripada terkurang.
Kalau tuan merebatlah tepas,
Kerana durian berbunga lagi;
Janganlah tuan cakap terlepas,
Hari kemudian berguna lagi.
Kalau tuan merendam telur,
Jangan terlupa telur yang masin;
Kalau tuan sudah masyhur,
Jangan lupa keluarga yang miskin.
Kalau tuan pandai menyurat,
Suratkan saya di kertas merah;
Kalau tuan pandai mengubat,
Ubatkan saya hati yang marah.
Kalau tuan pergi ke Daik,
Belikan saya sebilah parang;
Kalau tuan hati yang baik,
Semua orang suka berkawan.
Kalau tuan pergi ke Kancung,
Ambilkan saya papan biola;
Makan minum boleh ditanggung,
Sakit pening siapa nak bela.
Kalau tuan tebang jati,
Biar serpih condong ke paya;
Kalau tuan mencari ganti,
Biar lebih dari saya.
Kalau ubi hendak dijual,
Jual sekali pegaga di sawah;
Berdetak di hati terbit kesal,
Manalah terduga akannya padah.
Kata cik puan merbah terbang,
Kerana durian berbunga lagi;
Jangan tuan cakap terbuang,
Takut dia berguna lagi.
Kayu ara buat apung,
Tetak duri tanah bukit;
Kalau abang jauh kampung,
Mari sini awal sikit.
Kayu ara di hujung balai,
Dituruni bulan puasa;
Adinda tuan janganlah lalai,
Sudah tua badan binasa.
Kayu pulai kayu kelapa,
Tinggal keduduk kait-kait;
Saya tinggal tidak mengapa,
Awak duduk baik-baik.
Kedemat burung kedamat,
Hendak berkawan burung geroda;
Kalau badan hendak selamat,
Baik berguru ayah dan bonda.
Kelam-kabut Kuala Usai,
Hujan tidak berhenti lagi;
Angin ribut gelombang usai,
Baik belayar lawan tepi.
Kelapa muda rumah Megat,
Mari makan bulan puasa;
Badan muda biarlah ingat,
Sementara belum rosak binasa.
Kencang utara daratan Siam,
Bunyi beduk dari hulu;
Datang sengsara duduk diam,
Asalkan tertutup sekalian malu.
Kencang-kencang angin selatan,
Keras sampai tepi kota;
Biar miskin tidak makan,
Asal terpasang api pelita.
Keris kecil menikam ular,
Keris besar menikam singa;
Dari kecil tak hendak belajar,
Sudah besar tertanya-tanya.
Koyak pinang jangan dikupas,
Kalau dikupas menjadi semilu;
Orang bertunang jangan dilepas,
Kalau lepas mendapat malu.
Kucing kurus menghembus api,
Sudah hembus padam menyala;
Kurus kering kerana susah hati,
Kerana telinga tak mendengar kata.
Kategori Pahlawan:
Kalau tak beli jangan dibelek,
Kata orang bijak cerdik;
Kalau dah undur terkam balik,
Itu tanda umur nak pendek.
Kapal belayar dari Melati,
Hendak membawa barang tembaga;
Kalau belayar lautan api,
Memang berani berbuang nyawa.
Kata tuan gula kundur,
Tumpah tanah di atas papan;
Lepas lari jangan undur,
Tumpah darah di hadapan.
Kenapa pecah piringku itu,
Pecah ditatang di tapak tangan;
Jalak biring jadikan satu,
Tedung ada tunggu di laman.
Ke seberang kami dahulukan,
Melihat jejati olongan kami;
Berperang kami dahulukan,
Mana yang mati tanggungan kami.
Keris sempena Ganja Iras,
Bisanya empat puluh hari;
Ke mana panglima muda berhias,
Menegak adil membela diri.
Kategori Peribahasa:
Kain buruk sangkut di kandang,
Bawa pula basah ke paya;
Saya buruk jangan dipandang,
Bagai anjing buruk kepala.
Kalau beli bunga selengkar,
Tanya dulu berapa harganya;
Ibarat telur penuh sesangkar,
Pecah sebiji pecah semua.
Kalau memikat burung bayan,
Jangan pula dijual beli;
Biar jadi telinga tempayan,
Jangan jadi telinga kuali.
Kalau mencari buah asam,
Biar lebih kurang jangan;
Alang-alang menjolok pekasam,
Biar sampai ke pangkal lengan.
Kain batik baju pun batik,
Batik datang dari Jawa;
Adik cantik abang pun cantik,
Macam pinang dibelah dua.
Kain batik pakai terbalik,
Pakai budak raja Padang;
Sudah ludah jangan dibalik,
Tidak manis dipandang orang.
Kapal berlabuh nampaknya sayup,
Sauh dibongkar layar berkembang;
Kalau tak sabit angin bertiup,
Masakan kelak pohon bergoyang.
Ke darat menukarkan lantin,
Patahlah disulat lagi;
Tulah keparat orang Semadin,
Sudah diludah dijilat lagi.
Kupu-kupu di batang kopi,
Patah dahan kulit terkopak;
Saya umpama rumput di bumi,
Rendah dari rumput yang banyak.
Kusangka nanas atas permatang,
Rupanya durian tajam duri;
Disangka panas hingga ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.
Kusangka nanas dari permatang,
Rupanya pandan tiada berduri;
Kusangka panas hingga ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.
Kategori Perniagaan:
Kalau tuan pergi ke darat,
Jalan mari hujung tanjung;
Simpan ringgit nanti berkarat,
Bawa berniaga cari untung.
Kapal belayar tengah lautan,
Tenggelam timbul pukul taufan;
Datang ribut barat selatan,
Belum saya buang muatan.
Kinabalu bertangga peti,
Ambil gemala di mulut naga;
Kalau sudah paksa di hati,
Mahal murah baik harga.
Kinabalu bertanggalah pati,
Ambil gemala di mulut naga;
Jikalaulah sudah kehendak di hati,
Mahal dan murah turuti harga.
Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka