Dari Melaka pergi ke Pahang,
Singgah di Johor beli barangan;
Kami mengucap Selamat Datang,
Apa yang kurang dikeji jangan.
Negeri Pahang aman sentosa,
Kaya dengan tumbuh-tumbuhan;
Niat di hati nak buat jasa,
Mudah-mudahan Tuhan makbulkan.
Pukul gendang kulit kerbau,
Dalam majlis tari-menari;
Kami ini dagang merantau,
Mengharap belas orang di sini.
Pantun Lagu Sri Mersing
Seri Mersing lagulah Melayu,
Dikarang oleh biduan dahulu;
Hatiku rungsing bertambah pilu,
Mengenang nasib untung diriku.
Tidaklah boleh selandak padi,
Sekamlah juga ditumbuk luluh;
Tidak boleh kehendak hati,
Kehendak Allah juga yang sungguh.
Tidaklah boleh dikenang-kenang,
Airmataku jatuh berlinang;
Karam dilaut boleh kurenang,
Karamlah di hati bila nak senang?
Pagi-pagi pergi ke sawah,
Hendak ditajak pokok mengkudu;
Luka ditangan nampak berdarah,
Luka dihati siapa yang tahu?
Asal kapas menjadi benang,
Dari benang menjadi kain;
Barang yang lepas jangan dikenang,
Sudah menjadi hak yang lain.
Pantun Lagu Tanjung Katung
Di Tanjung Katung airnya biru,
Disitulah tempat mencuci mata;
Duduk sekampung lagikan rindu,
Inikan pula jauh di mata.
Kalau tidak kelapa puan,
Tidaklah puan kelapa bali;
Harap-harap kepada tuan,
Tidak tuan siapa lagi?
Pucuk pauh delima batu,
Genggam di dalam tangan;
Tuan jauh beribu batu,
Hilang mata di hati jangan.
Pantun Lagu Alamak Kahwinkan Aku
Rumah tepi sawah,
Pasang pula langsir biru;
Emak jangan marah,
Nanti emak dapat menantu.
Buah langsat tiga serangkai,
Masak sebiji ke Tanah Jawa;
Apalah ilmu cik adik pakai,
Makin tersenyum makin ketawa.
Tanam pinang rapat-rapat,
Biar senang puyuh berlari;
Kupinang-pinang tak dapat-dapatm
Kupujuk-pujuk kubawa lari.
Pantun Lagu Dondang Sayang
(Perempuan)
Limau lelang di tepi lubang,
Petik benihnya di hujung dahan;
Harimau garang duduk menyangkung,
Kalau kau berani, lalu di depan.
(Lelaki)
Angkut-angkut membuat sarang,
Jatuh berderai diatas peti;
Apa ditakut harimau yang garang,
Sebelum ajal berpantang mati.
(Perempuan)
Tinggi, tinggi rumah Chek Long,
Di bawahnya dibuat kedai kain;
Alangkah bisa ular tedung,
Bolehkah di tangkap buat main?
(Lelaki)
Tinggi tinggi rumah Chek Long,
Dibawahnya dijual air pokok,
Gua tak takut ular tedung,
Kerana gua ular senduk.
Api-api sepanjang pantai,
Nibung terlentang di Tanjung Tuju;
Niat di hati jikalau sampai,
Niat cantik tentu tertumbuh.
Orang kaya bersuka-suka,
Membuang wang tiada berhingga;
Kesian miskin apakah daya,
Tiada makan tiada belanja.