Ikan buntal tidak bersengat,
Mari jatuh atas titi;
Tepuk bantal panggil semangat,
Ingin bersua dalam mimpi.
Ikan kelah mudik ke hulu,
Ikan keli naik ke darat;
Zaman setelah zaman dahulu,
Orang berjanji jangan diharap.
Ikan haruan ikan liar,
Paya mana tuan tetakkan;
Jikalau abang pergi belayar,
Di mana saya hendak diletakkan?
Ikan kelah mudik ke hulu,
Ikan keli naik ke darat;
Zaman setelah zaman dahulu,
Orang berjanji jangan diharap.
Ikan keli silimbat batang,
Pinang muda dari Patani;
Lepas saya tali panjang,
Punca ada dimarahnya kami.
Ikan lumba timbul tenggelam,
Timbul tenggelam di Tanjung Jati;
Tidak kutahan siang dan malam,
Dalam tidur menjadi mimpi.
Ikan puyu melompat-lompat,
Lompat mari sawah padi;
Macam mana muka tak pucat,
Baru demam pagi tadi.
Ikan selangat dua serupa,
Yang satu ikan selayang;
Adik kasih abang tak lupa,
Sama-sama berkasih sayang.
Ikan selangat ikan bertulang,
Belah belakang ambil hatinya;
Kus semangat tuan seorang,
Pusing belakang banyak gantinya.
Ikan selangat ikan sembilang,
Tebuk belakang ambil hatinya;
Kus semangat tuan seorang,
Pusing belakang banyak gantinya.
Ikan selangat ikan mungkul,
Belah belakang dipanggang hati;
Ayuh semangat jangan masyghul,
Buang belakang ada ganti.
Ikan selangat ikan sembilang,
Tebuk belakang ambil hatinya;
Kus semangat tuan seorang,
Tolak belakang ada gantinya.
Ikan sengat ikan sembilang,
Tebuk belakang ambil hati;
Kus semangat abang seorang,
Tolak belakang ada ganti.
Ikan sepat di Parit Baru,
Sayur manis di Tanah Bawang;
Sudah dapat sahabat baru,
Dalam manis saya terbuang.
Ikan sepat di Paya Baru,
Campur dengan lampam Siam;
Sudah dapat sahabat baru,
Saya terbuang dalam diam.
Ikan sepat ikan sembilang,
Anak pari dalam raga;
Kalau tak dapat masa sekarang,
Kemudian hari ambil juga.
Ikan sepat mudik ke hulu,
Lumba-lumba mudik berkawan;
Saya berhajat dari dahulu,
Hendak berlumba denganmu tuan.
Ikan talang dalam belanga,
Mari bercampur dengan pelotan;
Alangkah malang nasibnya bunga,
Dilanyak kumbang jadi belacan.
Ikan temenung ikan tenggiri,
Ikan mati kena tuba;
Duduk termenung seorang diri,
Orang ditunggu tak kunjung tiba.
Ikan terubuk dua sekawan,
Sungguh sedap dimasak kari;
Bukan saya mabuk sebarang,
Saya mabuk menahan hati.
Ikan todak ikan haruan,
Pembungkus gelama daun keladi;
Awan berarak hamba tangiskan,
Kenangan lama menghiba hati.
Ikat-ikat daun mengkudu,
Hilang Melayu bergalang dada;
Duduk dekat rasa malu,
Hilang malu kerana muda.
Indah-indah bawa bertandang,
Pucuk pauh kicap manis;
Rindu siang bawa bertandang,
Rindu malam bawa menangis.
Inderagiri pasirnya lumat,
Garam bercampur dengan lokan;
Umpama nabi kasihkan umat,
Begitulah saya kasihkan tuan.
Inderagiri pasirnya lumat,
Kerang bercampur dengan lokan;
Sebagai nabi kasihkan umat,
Begitulah hamba kasihkan tuan.
Inderagiri pasirnya lumat,
Kerang bercampur dengan lokan;
Bagai nabi kasihkan umat,
Begitu saya kasihkan puan.
Inderawan batangnya putih,
Batang selasih tidak berbunga;
Bawah awan di langit putih,
Tuan berjanji tidak melupa.
Ingat puan ingat selasih,
Ingati kembagau berambu-rambu;
Tinggal tuan tinggal kekasih,
Ada hayat baru bertemu.
Inginkan hidup permata nilam,
Jatuh tersorok batang entimu;
Tuan rindu pandang ke bulan,
Di dalam bulan kita bertemu.
Intan baiduri di dalam puan,
Gelang suasa dalam raga;
Bila kupandang wajahmu tuan,
Bagai terpandang pintu syurga.
Intan dingin isinya dingin,
Dingin tidak berbau lagi;
Puan ingin tiada ingin,
Ingin tiada baharu lagi.
Intan terpilih tercabut sarung,
Disambarlah oleh dewa alperi;
Puas kupilih di dalam kampung,
Baru mendapat si jantung hati.
Isi mengisi dalam celepa,
Hendak berisi haruman padi;
Kalau sekali tidak mengapa,
Jangan sahaja mendua kali.
Itik belang pekaka belang,
Turun mandi di tepi pantai;
Adik seorang abang seorang,
Kita mati bertindih bangkai.
Itik bukan ayam pun bukan,
Anaklah angsa memakan bertih;
Adik bukan abang pun bukan,
Sajalah saya hati nak kasih.
Itik terbang gugur bulu,
Itik terbang dari gua;
Jangan adik menanggung rindu,
Sampai masa bertemu juga.
Itik-itik di Kampung Cina,
Buah mempelam masak bercahaya;
Adik-adik abang bertanya,
Berapa bulan kasihkan saya?
Itu budak dua kelasi,
Boleh tidak belayar kapal;
Itu kain dua serasi,
Boleh tidak bertukar pakai.
Iya sungguh dimakan api,
Bunga kemboja Padang Seberang;
Iya sungguh ditinggal laki,
Apa peduli pada abang.
Dipetik Dari Buku Kuri Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka