xtreme fat loss diet download xtreme fat loss diet recipes xtreme fat loss diet results xtreme fat loss diet program xtreme fat loss diet free

Landing Page

Landing Page

Kurik Kundi Merah Saga ( Kasih Sayang/Cinta A )

Kategori Kasih Sayang/Cinta (A)


Abang Abu duduk bermenung,
Mari berjalan Kampung Tembirat;
Hendak mengikat ekor burung,
Ambillah tali pakai pengikat.

Abang Daud menyepak raga,
Raga disepak dalam mahligai;
Dalam laut boleh diduga,
Dalam hati tidak ku pandai.

Abang Hassan anak baginda,
Menjahit baju tidak bersisi;
Rindu di hati datang melanda,
Air mata jatuh ke pipi.

Abang makan hendak berhidang,
Memakai kain berbelah tepi;
Di dalam merana cinta datang,
Air mata jatuh ke pipi.

Abang merempuh di kaki bukit,
Siapa bilang terlanggar pipit;
Abang cakap manis di mulut,
Saya mendengar menjadi leput.

Abang mudik pergi ke Daru,
Datang Daru teruslah ke Matu;
Orang lain saya tak hirau,
Hirau tak hirau kakanda satu.

Abang Sani hilir ke kota,
Dayung tersangkut di dahan rumpai;
Rasa nak jatuh si air mata,
Mengenang hidup tak akan sampai.

Ada apa di Tanjung Batu?
Encik Ali tukang perahu;
Anak siapa gerangannya itu?
Hanyalah rupa nama tak tahu.

Ada kain lupa ke baju,
Konon baju layu dah bunga;
Ada lain lupakan aku,
Kerana aku orang dah hina.

Ada rasa berisi pandan,
Hendak menganyam tikar sembahyang;
Tujuh syurga di dalam badan,
Di situlah tempat berkasih sayang.

Ada setempat dalam padi,
Kain kasa dalam taman;
Tak ralat dalam hati,
Kain basuh sambutlah tuan.

Adik mandi ke laut jangan,
Kuala di laut sangat deras;
Adik menyanyi ingat jangan,
Kalau diingat sangatnya belas.

Adik menumbuk alunya tiga,
Patah satu tinggal dua;
Adik tunduk malukan siapa?
Malukan abang tunang biasa.

Aduilah adui meniti batang,
Si teman bujang dicari juga;
Berapa jauh dia datang?
Kalau jadi dari semula.

Ah Liew peranakan Jepun,
Mengembang bunga di dalam cawan;
Berapa banyak bunga di taman,
Satu buat memberi rawan.

Air dalam bertambah dalam,
Hujan dahulu belumlah teduh;
Hati dendam bertambah dendam,
Luka dahulu belumlah sembuh.

Air Dungun hulu ke paya,
Hanyut buluh menikam tebing;
Muda Dungun habis bicara,
Belum putus mencari lain.

Air hangat telaga mendidih,
Banyak orang hilang keramat;
Hemat-hemat lagu nak boleh,
Tengok adik jinak sangat.

Air keruh telaga keruh,
Air kunyit pencuci kaki;
Adik jauhabang pun jauh,
Tidur seminit dimasuk mimpi.

Air mawar jatuh ke laut,
Gulai itik sama belangkas;
Apa soalnya tidak disahut,
Adinda belum tahu membalas.

Air panas sedang mendidih,
Untuk dibuat air kopi;
Selama ini hati adik sedih,
Takut abang meninggal pergi.

Air pasang berangkat ke hulu,
Datanglah ubi hanyut melintang;
Kalau kukenang masa yang lalu,
Makan kelubi serasa pinang.

Air pasang berdolak-dalik,
Anak kepiting berpecah belah;
Burung terbang terlupa balik,
Nanti muram orang mengubah.

Air pasang dayung sampan,
Angin turun baik layarkan;
Tahu makan tahu simpan,
Rahsia jangan tuan khabarkan.

Air pasang di Sungai Muar,
Burung gagak di pohon beringin;
Adik seorang sebagai penawar,
Hati tidak kepada yang lain.

Air pasang dua kali semalam,
Ambung-ambung dari hulu;
Adik datang di tengah malam,
Bunga tanjung berbau dulu.

Air pasang limpah ke pasar,
Tanam pinang kelapa mati;
Di manalah tuan belajar,
Pandai mencari isyarat hati.

Air pasang matahari masuk,
Banyak orang jual berangan;
Jerat dipasang burung tak masuk,
Burung biasa makan di tangan.

Air pasang menganjur pagi,
Tidaklah sempat menghanyut suntang;
Sudah terlanjur main jua begini,
Endaklah dapat disintak pulang.

Air pasang mudik ke hulu,
Anak baung mati terlentang;
Sudah dipasang olehmu itu,
Tujuh tanjung di sebalik pulang.

Air pasang mudik ke hulu,
Sayang bertambur di atas getah;
Bila terkenang zaman dahulu,
Rasa berhambur si air mata.

Air pasang surut ke hulu,
Menemui baung mati terlentang;
Sudah dibawa buah mengkudu,
Si baju gadung kuikut pulang.

Air pasang tenang di hulu,
Kain tudung hias di pintu;
Jika terkenang masa dahulu,
Jantung berperang dengan hempedu.

Air pasang tengah jalan,
Pasang mari terus ke pagi;
Jika terkenang tengah makan,
Air mataku jatuh ke nasi.

Air selepak di dalam talam,
Air geluk mandi dihabisi;
Tidur tersentak di tengah malam,
Bantal dipeluk ditangisi.

Air topong Bukit Sitopong,
Tarik papan sama ratanya;
Tuanlah pulang berkembang payung,
Kami kan ikut jahat jua rasanya.

Airlah pasang mudik ke hulu,
Pasanglah dayung kiri dan kanan;
Tuan seorang berbaju biru,
Sekuntum bunga tergenggam di tangan.

Ajuk-ajuk pemarang Jawa,
Jawa dari sebelah bukit;
Jangan merajuk mahkota jiwa,
Tidak kurasa salah sedikit.

Akan beratap daun keladi,
Membuat junjung di tepi paya;
Tunang si anu tidak menjadi,
Bolehkah saya ikut bersama.

Akar nibung meresap-resap,
Akar mati dalam perahu;
Terbakar kampung nampak berasap,
Terbakar hati siapa yang tahu.

Akar pilih kuda belang,
Akar lama melilit pongsu;
Kalau tak boleh seperti dok cadang,
Nak bawa cerana mengadap guru.

Akar tanjung pagar selasih,
Balung kulit berisi serai;
Alangkah teruk menanggung kasih,
Tak sebab kulit tulang bercerai.

Aku tidak bersigup,
Ada baranya jatuh ke lantai;
Aku tidak pandai kasih mengejut,
Pantunkan angin tiup selesai.

Alang manis buah rambut,
Dalam seikat masak sebiji;
Alang manis senyuman mulut,
Dalam kampung payah kucari.

Alang sakit menjemur padi,
Siang dijemur malam dibuat;
Alang sakit menghibur hati,
Siang dihibur malam teringat.

Alang-alang bawa ke kandang,
Daun bayam disayur manis;
Rindu siang bawa bertandang,
Rindu malam bawa menangis.

Alang-alang mandi di dulang,
Sayang keroncong beri bertali;
Alang-alang didengar orang,
Baik dilangsung sama sekali.

Alat-alat senjata perang,
Pakaian anak raja Zamhari;
Mari adik nyawa abang,
Bila masa datang ke mari.

Ali Hasan anak baginda,
Tidur semalam di Kalamati;
Duduk makan sedang bercinta,
Air mata jatuh ke nasi.

Alor Sena Alor Lancang,
Terpijak kaca tikam kaki;
Apa guna sanggul lintang,
Sanggul cacakan elok lagi.

Alun-alun pergi hitam,
Kiri kanan pokok membangun;
Harum-harum bunga di hutan,
Harum lagi bunga di taman.

Ambil badan kerat-kerat,
Mari letak haluan perahu;
Sakit badan haluan diubat,
Sakit hati siapa tahu.

Ambil beliung tetak ke kempas,
Jatuh ke kaki haram tak luka;
Sungguh cium bertukar nafas,
Jatuh ke hati haram tak lupa.

Ambil buluh dibuat sasak,
Nak dipagar batas bertenang;
Akulah hodoh bertambah sesak,
Tak ada siapa yang nak kenang.

Ambil galah jolokkan ranting,
Jatuh sebiji di tepi kota;
Kalau tidak hutan berkeliling,
Hari-hari bertentang mata.

Ambil galah pelepah jantung,
Pucuk bayam pucuk meranti;
Kalau kita berkira pantun,
Kokok ayam abang tak henti.

Ambil kain buangkan baju,
Sebab baju cariknya lima;
Ambil lain buangkan aku,
Kerana aku sudah lama.

Ambil kain buangkan baju,
Kerana baju karang bunga;
Ada lain lupakan aku,
Kerana aku orang hina.

Ambil kapak tebang kempas,
Jatuh kaki haram tak luka;
Surat adik abang tak balas,
Pantun abang jangan dilupa.

Ambil karung mengisi ruas,
Pengikatnya pula tali guni;
Adik turut hamba tak puas,
Cuma abang tak insafkan diri.

Ambil kerusi dalam puan,
Alun-alun tepi jeraya;
Sampai hati kakanda tuan,
Dibuang lalu kepada saya.

Ambil lidi menyapu halaman,
Burung tekukur memakan padi;
Berjanji mati di tapak tangan,
Hendak berkubur di hujung jari.

Ambil parang pergi menebas,
Dahannya jatuh merata-rata;
Dulu hamba mergastua bebas,
Sekarang dijerat si molek jelita.

Ambil pisau pengait sirih,
Sirih ada di tengah laman;
Jangan sesal tidak boleh,
Kerana tidak ada pertemuan.

Ambil sebatang membuat galah,
Galah tercampak di tengah laman;
Kenapa duduk sebatang karah,
Kerana abang tak mencari teman.

Ambil sebiji letak di tepi,
Budak-budak bermain di paya;
Tuan tidak ambil peduli,
Tidakkah belas melihat saya.

Ambillah nyelik hempas ke batu,
Talilah sabut anyam berdiri;
Jikalau benci kepada aku,
Jauhlah jauh melari diri.

Anak ayam beranak empat,
Mari makan di cerang rimba;
Hak jinak tangkap tak dapat,
Hati mana abang tak gila.

Anak ayam dalam celepa,
Buka tudung memakan padi;
Siang dan malam saya tak lupa,
Kasih terkandung dalam hati.

Anak ayam si kutik-kutik,
Kutik-kutik di bawah tangga;
Anak orang jangan diusik,
Kalau diusik bagi belanja.

Anak ayam tercabut bulu,
Tercabut bulu di bawah batang;
Kalau dayang jalan dahulu,
Tunggu kami kemudian datang.

Anak ayam terkesek-kesek,
Kesek pula bawah tangga;
Anak orang jangan diusik,
Takut kena duit belanja.

Anak ayam tujuh sekerat,
Anak lang tertiti-titi;
Tidur malam teringat-ingat,
Tidur siang termimpi-mimpi.

Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor disambar helang;
Kalau tuan berani sungguh,
Rebutlah aku di tangan orang.

Anak beruk besar lengan,
Mari letak atas meja;
Sungguh buruk hati berkenan,
Tidak boleh ditukar juga.

Anak beruk besar lengan,
Turun ke paya mencuri kain;
Sungguh buruk saya berkenan,
Tidaklah saya mencari lain.

Anak beruk besar lengan,
Pukullah mari si kayu kain;
Sungguh buruk hati berkenan,
Hatiku tidak kepada lain.

Anak beruk di kayu rendang,
Meniti turun ke tepi paya;
Hodoh buruk di mata orang,
Cantik manis di mata saya.

Anak beruk di tepi pantai,
Anak merpati merah kakinya;
Biar buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hatinya.

Anak beruk sebesar lengan,
Naik didukung si kayu kain;
Sungguh buruk hatiku berkenan,
Tak boleh ditukar yang lain.

Anak beruk sebesar lengan,
Mari dibungkus tudung kain;
Sungguhpun buruk hatiku berkenan,
Tidak boleh ditukar lain.

Anak beruk sebesar lengan,
Dibungkus dengan sekarung kain;
Sungguh buruk hati berkenaan,
Tidak saya mencari lain.

Anak buaya hilir mudik,
Karam pipit bawah jerami;
Dari paya Bukit Kelik,
Baru lepas malu kami.

Anak bulan tiada pohon,
Anak kubis tepi sempadan;
Habis bulan berganti tahun,
Sudah habis nyawa di badan.

Anak burung pandai berenang,
Menghilang di rimba hutan berduri;
Malang hamba asyik terkenang,
Orang dikenang membenci diri.

Anak cicak Kuala Selambah,
Kuala Selambah molek pagi;
Abang minta adik tak ambuh,
Adik malas berlaki lagi.

Anak Cina anak Belanda,
Pulang terbang Batu Lintan;
Jikalau kena dengan cara,
Nyawa dan badan saya berikan.

Anak Cina anak Melayu,
Anak Jepun melipat kain;
Bagaimana bunga tak layu,
Embun menitik di tempat lain.

Anak Cina berjual tauhu,
Mari dijual bertempat-tempat;
Kalau abang mahu tahu,
Adik pergi ke manalah tempat.

Anak Cina jambangan Cina,
Lalu dibungkus dalam kertas;
Saya rupa tak beza,
Di dalam hati rasa tak lepas.

Anak Cina jambul tercacak,
Mati dipanah Seri Rama;
Hati di dalam rasa nak kocak,
Rasa nak balik ke janda lama.

Anak Cina kawanlah Cina,
Mari kawan dalam kelas;
Sungguh saya bena tak bena,
Dalam hati haram tak lepas.

Anak Cina main congkak,
Main congkak tepi batu;
Sudah lama saya tak nampak,
Macam burung terbang aku.

Anak Cina masak itik,
Masak mari sampai luluh;
Memang tak guna berbini cantik,
Hari-hari sahaja bergaduh

Anak Cina memasang lukah,
Lukah dipasang di kayu jati;
Kasih sayang tidak berpisah,
Ibarat rambut bersimpul mati.

Anak Cina memasang lukah,
Mari dipasang di Tanjung Jati;
Di dalam hati haram tak gundah,
Bagai rambut disimpul mati.

Anak Cina membawa kereta,
Hendak melawat ke luar negeri;
Sudah lama aku bercinta,
Jodoh tidak dapat ditukar ganti.

Anak Cina mengetam papan,
Papan diketam berlaga-laga;
Meminta mati dalam pangkuan,
Meminta siram si air mata.

Anak Cina menjual kesuma,
Mari dijual di Pekan Rabu;
Makan tak lalu tidur tak lena,
Teringat tuan saban waktu.

Anak Cina minum ramsih,
Minumlah minum muka pintu;
Kenapa abang berasa sedih,
Kami bersua mereka lagu.

Anak Cina pandai labangis,
Jalan-jalan atas keranda;
Adinda tuan jangan menangis,
Ambil geguling ganti kakanda.

Anak Cina pergi ke Melaka,
Pergi dengan sebuah bas;
Kalau tuan cintakan saya,
Surat saya mengapa tak balas?

Anak Cina pulang ke China,
Hendak ke China memakan babi;
Tuan punya saya pun punya,
Sekeras-keras masih di hati.

Anak Cina turun ke padang,
Sampai ke padang hatinya meradang;
Kalau benci tuan memandang,
Keratlah saya dengan pedang.

Anak Cina turun memukat,
Dapat seekor ikan labi;
Biar kukuh pegang pengikat,
Burung terbang tak balik lagi.

Anak Damak dalam hutan,
Hendak menyumpit di tengah hari;
Alangkah sedih serta kasihan,
Sedangkan bertunang haram tak jadi.

Anak dara di tebing sungai,
Duduk menjerat ketam batu;
Manis rupa elok perangai,
Tolong pilih yang mana satu.

Anak dara duduk di pintu,
Turun ke laman pergi mandi;
Kalaulah tuan kata begitu,
Barulah senang rasa hati.

Anak dara duduk di pintu,
Duduk menunggu padi jemur;
Janganlah adik kata begitu,
Belasnya abang bila mendengar.

Anak dara menenun kain,
Kain ditenun benang sutera;
Hati tidak pada yang lain,
Tuan seorang hati tak lupa.

Anak endu termami bulan,
Bawah bulan pagar jerami;
Tuan rindu pandang bulan,
Bawah bulan ada kami.

Anak haruan lima berlima,
Mencari makan di balik daun;
Harap tuan saya terima,
Habis bulan berganti tahun.

Anak ikan dimakan ikan,
Ikan ini buang kepala;
Hilang nyawa dari badan,
Aku suka main berdua.

Anak ikan dimakan ikan,
Ikan siar dalam tuar;
Tahu makan tahu simpan,
Rahsia kita jangan keluar.

Anak ikan dimakan ikan,
Tanam serai Padang Semu;
Pandai makan pandai simpan,
Jarang-jarang boleh bertemu.

Anak ikan kepala dua,
Hanyut mayang dari hulu;
Tidak tahan rasanya jiwa,
Siang malam menanggung rindu.

Anak ikan kupanggang saja,
Hendak bakar tiada berbara;
Anak orang kupandang saja,
Hendak minta tiada belanja.

Anak ikan mudik ke hulu,
Sampai ke hulu ditangkap ibu;
Kalau mungkir janji dahulu,
Hancurlah hati serta kalbu.

Anak itik anak angsa,
Beri mandi kolam dalam;
Kain batik baju kasa,
Boleh tidak jalan malam.

Anak itik bulu lentik,
Hendak mandi kolam terani;
Tengok bunga setangkai cantik,
Hendak memetik tidak berani.

Anak itik di dalam longkang,
Habis dimakan anak buaya;
Kalaulah adik mengikut abang,
Bolehlah abang berkira-kira.

Anak itik dua sekawan,
Terbang menuju ke dalam gua;
Rindunya adik kepada abang,
Rasa nak terbang sekarang juga.

Anak itik jatuh ke pantai,
Memakan jambu anum;
Liur titik gugur ke lantai,
Melihat balu orang lagi anum.

Anak itik makan padi,
Padi disimpan di bawah tangga;
Cantik sungguh adik yang tadi,
Siang malam terbayang di mata.

Anak itik si anak angsa,
Beri padi anak kededek;
Anak ini anak celaka,
Beri laki anak berkehendak.

Anak itik si itik Tawi,
Marilah mandi di dalam pedena;
Kalaulah adik Sitalah Dewi,
Abanglah semacam Serilah Rama.

Anak itik terenang-renang,
Mati seekor di dalam padi;
Duduk siang terkenang-kenang,
Tidur malam termimpi-mimpi.

Anak itik terenang-renang,
Anak kunci di haluan perahu;
Kita saja terkenang-kenang,
Orang benci kita tak tahu.

Anak itik terenang-renang,
Renang mari depan perahu;
Kita juga terkenang-kenang,
Orang jauh tak ambil tahu.

Anak itik terenang-renang,
Anak kunci dalam perahu;
Sahaja saya terkenang-kenang,
Orang benci saya tak tahu.

Anak itik terenang-renang,
Anak kunci dalam perahu;
Saya sahaja terkenang-kenang,
Orang benci saya tak tahu.

Anak itik terenang-renang,
Anak kunci dalam perahu;
Saya saja terkenang-kenang,
Abang benci saya tak tahu.

Anak itik terenang-renang,
Anak kunci dalam perahu;
Saya saja terkenang-kenang,
Abang benci saya tak tahu.

Anak keling duduk di upih,
Duduk berjuntai di permatang;
Kalau nak tolak kenal berkasih,
Nanti si undai akan datang.

Anak Keling meniup api,
Api tidak mahu menyala;
Kurus kering menahan hati,
Hati bukan mendengar kata.

Anak kerbau mati tertambat,
Mati tertambat di perdu buluh;
Ini sekarang baru kudapat,
Dapat panggul kumbang berteduh.

Anak kerbau mati tertambat,
Mati tertambat di pohon pandan;
Baru sekarang saya mendapat,
Terasa nyawa pulang ke badan.

Anak kerbau mati tertambat,
Mati tertambat di pohon bunga;
Selama ini baru mendapat,
Mendapat tuan bijak laksana.

Anak ketitir hujung serambi,
Putik belimbing bergetu-getu;
Lepas diusik pada kami,
Ambil adinda muka pintu.

Anak kodok di atas papan,
Mati dipatuk si ular sawa;
Enak sungguh mimpikan tuan,
Serasa menjenguk pintu syurga.

Anak kumbang terayap-rayap,
Ditangkap oleh anak Turki;
Hendak terbang tiada bersayap,
Hendak hinggap tiada berkaki.

Anak lembu tak tahu ke lembu,
Pintal tali kembar tiga;
Kalau nak bertemu tak tahu bertemu,
Cuba nanti di jalan telaga.

Anak lundu katakan tamban,
Kalau tamban ada luncangnya;
Badan rindu katakan demam,
Kalau demam ada pucatnya.

Anak merbah hinggap di ranting,
Disumpit oleh anak sakai;
Bila tergelak dia menjeling,
Bila jauh dia melambai.

Anak merbuk sarang di luar,
Pucuk paku pucuk beringin;
Biar buruk kaki seluar,
Hati aku sikit tak ingin.

Anak muda Raja Sulaiman,
Duduk di tingkap bermain angin;
Tuan rindu pandang laman,
Itu tempat kita bermain.

Anak negeri anak pangeran,
Hendak bermain di bawah rumah;
Hati rindu apa dihairan,
Makan di tangan kerana disuruh.

Anak pelanduk tiga sekawan,
Singgah makan buah simpur;
Gila mabuk denganmu tuan,
Siang tak makan malam tak tidur.

Anak pipit kembang ekor,
Orang memanah padang seberang;
Adik tidak beralih tidur,
Takut dimarah oleh abang.

Anak pipit kembang ekor,
Masak susu linggang-linggang;
Ulit cik adik bawa tidur,
Tutup pintu renggang-renggang.

Anak pipit kembang ekor,
Petang-petang ulam pegaga;
Ulit cik adik bawa tidur,
Petang-petang abang ada.

Anak pipit terbang seratus,
Mari hinggap di tapak tangan;
Tak sedar kainku putus,
Tuan tak kulepas kepada tangan.

Anak punai anak merbah,
Hari-hari mengangkut sarang;
Lautan lagi berubah,
Inikan pula hati orang.

Anak punai anak merbah,
Terbang bersama membuat sarang;
Anak sungai lagi berubah,
Inikan pula hati orang.

Anak punai anak merbah,
Terbang bertiga anak helang;
Tuan sayang lagi berubah,
Kononlah pula di hati orang.

Anak raja di tepi telaga,
Disuruh duduk untuk berhibur;
Jikalau ada kasih dan jiwa,
Tidur berdua tidak berlunjur.

Anak raja memburu rusa,
Tahan serinding dengan belantik;
Adik tak hendak terima saya,
Kerana saya orang tak cantik.

Anak raja menjadi duyung,
Menjadi duyung di dalam laut;
Sangat sengsara hendak bergantung,
Rasa bergantung di hujung rambut.

Anak rusa lari ke barat,
Sampai di barat makan ubi;
Sementara gila belum melarat,
Carilah bomoh untuk mengubati.

Anak sapi berkepala dua,
Ditimbun raja tepi telaga;
Buah hati abang berdua,
Hendak dipilih sama serupa.

Anak rusa di tepi paya,
Makan pagi mengulam rumput;
Tidak orang semacam saya,
Tahan hati mengulam perut.

Anak rusa jatuh telaga,
Berilah makan si batang keladi;
Saya berdua atau bertiga,
Lainlah orang jangan peduli.

Anak sepat guling padi,
Guling padi di bawah jambatan;
Anak siapa lalu tadi,
Buang limbai bergamatan.

Anak serati ditangkap musang,
Anak kedidi lari melompat;
Dalam hati terasa bimbang,
Orang yang dicari belum dapat.

Anak tambi berbaju merah,
Mari duduk di muka pintu;
Biar di hati bersimbah darah,
Asal mendapat orang itu.

Anak tambi mengetam papan,
Papan diketam berlaga-laga;
Minta mati dalam pangkuan,
Minta disiram si air mata.

Anak tambi pendek orang,
Mari menyeberang tebing seberang;
Hati belum hendak pulang,
Hendak bertemu sama seorang.

Anak tasik dari hulu,
Mengenang juga cincin permata;
Malam tadi menahan rindu,
Makan bersuap si air mata.

Anak tikus mandi berenang,
Mandi berenang dalam perahu;
Rasa putus hati mengenang,
Tuan dikenang tidak tahu.

Anak tikus matilah berenang,
Mati berenang dalam perahu;
Manalah orang juak dikenang,
Orang dikenang tiada tahu.

Anak tiung julai asam,
Anak panah Seri Rama;
Tunduk cium mukanya masam,
Datang fitnah dari mana.

Anak tupai meniti dahan,
Dahan patah tebing seberang;
Macam saya belum faham,
Jangan berlawa disuruh orang.

Anak udang dipanggang saja,
Hendak direndang tidak berkunyit;
Anak orang dipandang saja,
Hendak dipinang tidak berduit.

Anak udang dipanggang saja,
Hendak bakar tiada berbara;
Anak orang kupandang sahaja,
Hendak bayar tiada belanja.

Anak udang jangan digoreng,
Kalau digoreng hilang lemaknya;
Anak orang jangan dibiring,
Kalau dibiring marah emaknya.

Anak undan mandi di sumur,
Tertempuh minyak si anjalai;
Alah nampak pandan terjemur,
Adik terkenang dibangkalai.

Anak yu dua serupa,
Yu berjumpa dengan sembilang;
Janji dulu adik tak lupa,
Tunggulah sampai adik pulang.

Anak yu katakan tamban,
Kalau tamban mana loncatnya;
Tuan rindu katakan demam,
Kalau demam mana pucatnya?

Anak yu senangin bulan,
Bawah bulan pagar jerami;
Kalau rindu pandang bulan,
Dalam bulan ada kami.

Anaklah itik anak angsa,
Hinggap di batang dibakar jangan;
Tuan berbangsa saya yang hina,
Jikalau sampai menyesal jangan.

Anaklah tikus mati berenang,
Mati berenang dalam perahu;
Kasihlah putus hati mengenang,
Di dalam hati siapakan tahu.

Angin barat bertiup lembut,
Bertiup pagi sampai petang;
Di mulut naga lagi kurebut,
Inikan pula di tangan orang.

Angin berhenti lautan tenang,
Buah berembang dikutip nyonya;
Teringin hati memetik kembang,
Rupanya kembang sudah berpunya.

Angin bukan sebarang angin,
Angin menyusur daun kayu;
Nyanyi bukan sebarang nyanyi,
Nyanyi menghibur hatiku rindu.

Angin timur gelombang barat,
Angin merebah buah pedada;
Seorang di timur seorang di barat,
Rasa pecah dalam dada.

Angkatlah dari pasar landih,
Membeli tali pasar senyawan;
Demi kupandang wajah kekasih,
Merosak hati menggugur iman.

Angkut-angkut hinggap di bukit,
Membuat sarang di pokok rendang;
Walau tertangkup bumi dan langit,
Janji tidak saya uraikan.

Angkut-angkut terbang ke langit,
Sampai ke langit meragi kain;
Sudah bertangkup bumi dan langit,
Sama-sama mencari lain.

Angkut-angkut terbang ke langit,
Tiba di langit bersidai kain;
Bertangkup bumi dengan langit,
Baru abang mencari lain.

Angsa terbang ke negeri China,
Hinggap sebentar di pangkal jalan;
Kurang bangsa diri pun hina,
Jika tersampai menyesal jangan.

Anyam ketupat tebakul baru,
Mari makan sira gula;
Sudah dapat kasih baru,
Buang saya dengan segera.

Anyam sumpit di Pulau Lindung,
Buat bekal bunga lada;
Kalau tak sabit bukit melindung,
Hari-hari bertentang mata.

Apa abang jahit baju,
Jahit kain banyak lagi;
Tak payah abang kata begitu,
Kata lain banyak lagi.

Apa ada hulur benang,
Benang dihulur sumbu pelita;
Begini saya malu dikenang,
Baru saja melihat rupa.

Apa akal kita ke Bangkalih,
Buah kundur belah dua;
Apa akal nak bagi boleh,
Satu sangkar burungnya dua.

Apa benda beribu-ribu,
Telur penyu banyak di laman;
Minta embun turun selalu,
Biar kembang bunga di taman.

Apa berdengung di dalam padi,
Sarang penyengat di bawah rumah;
Apa melengung dekat kami,
Rasa berkenan pergi ke rumah.

Apa buat menganyam nyiru,
Lintang akan sambil diangkat;
Apa boleh menahan rindu,
Dilimpang akan ditidur angkat.

Apa datang dari Rengat?
Sarat muatan buah rambutan;
Abang jangan rindu sangat,
Cubalah lihat dalam bulan.

Apa daya bajuku ini,
Begini lemah lagi berlari;
Apa daya hatiku ini,
Makin dihibur makin berahi.

Apa diharap padi Belanda,
Tempat semut buat sarang;
Apa diharap pada kakanda,
Tiada harta bangsa pun kurang.

Apa diharap padi di paya,
Padi di paya buahnya kasar;
Apa diharap pada saya,
Saya sudah burung di sangkar.

Apa dijolok buah kundang,
Isinya putih manisnya tidak;
Apa dirajuk kepada orang,
Entah kasih entahkan tidak.

Apa dikenang si dahan pauh,
Kalaulah patah tumbuh lagi;
Apa dikenang orang yang jauh,
Orang lain banyaklah lagi.

Apa dikutip pisang memandak,
Pisang baling banyak lagi;
Apa dikutip saya tak hendak,
Orang lain banyak lagi.

Apa direndam dalam bijana,
Kain sutera hendak disidai;
Siang malam termenung merana,
Kerana cinta tidak tercapai.

Apa direnung apa dikenang,
Kamek dua Pulau Bali;
Baranglah nisik jangan dikenang,
Baranglah ada menghibur hati.

Apa dirisau abang diikat,
Oleh membeli jeragan keli;
Sudah hati adik terpikat,
Jahat abang tidak peduli.

Apa guna angin bertiup,
Kalau tak ribut gegak gempita;
Apalah guna kita nan hidup,
Kalau sama berputih mata.

Apa guna ayam bertaji,
Ayam makan si daun bunga;
Dulu kasih sekarang benci,
Ilmu siapa adik ni kena.

Apa guna baju kebaya,
Bertapak batik kain selendang;
Apa guna macam saya,
Rupa tak cantik pandai pun kurang.

Apa guna berambut panjang,
Kalau tidak berani mati;
Apa guna untungnya abang,
Adik tidak berguna lagi.

Apa guna berambut panjang,
Kalaulah tidak disisir rapi;
Apa guna berkasih sayang,
Kalaulah tidak sepenuh hati.

Apa guna buah papaya,
Padi di Daik dimakan helang;
Apa guna kita bercinta,
Hati sudah dimiliki orang.

Apa guna buah pauh,
Buah kana dalam baldi;
Fasal saja lautan jauh,
Kalau tidak berjalan kaki.

Apa guna kain cukin,
Sudah ada baju kebaya;
Apa guna adik miskin,
Baik cari orang kaya.

Apa guna main berigot,
Pandan muda masih berbunga;
Apa guna tuan berebut,
Badan muda masih berguna.

Apa guna makan nasi,
Ambil kulat bawa berkelah;
Apa guna menghibur hati,
Sanggul digulung sikat belah.

Apa guna mengarang bunga,
Kalau tidak selah-jemelah;
Kalau kering Lautan China,
Barulah cinta adik berubah.

Apa guna mengayuh biduk,
Patah pengayuh ganti kemudi;
Adikku dara sudah merajuk,
Ke manakah tuan membawa diri?

Apa guna nasi daun,
Nasi setalam rasa nak basi;
Apa guna tinggal setahun,
Tinggal semalam rasa nak mati.

Apa guna nasi di daun,
Nasi di talam rasa nak basi;
Apa guna tinggal setahun,
Tinggal sehari rasa nak mati.

Apa guna padi hampa,
Padi hampa dimakan ulat;
Apa kurang kepada hamba,
Kapal di laut gedung di darat.

Apa guna panggang belibis,
Panggang punai atas atap;
Apa guna tubuh panjang nipis,
Rendahmu ni sedap didakap.

Apa guna pasang pelita,
Kalau tidak dengan sumbunya;
Apa guna berpandang mata,
Hati tidak dengan sungguhny

Apa guna pasang pelita,
Pasang tanglung cerah lagi;
Apa guna bermain cinta,
Ambil langsung puas hati.

Apa guna pasang pelita,
Kerana sumbu dok habis minyak;
Apa guna main mata,
Yang itulah dok bagitau orang banyak.

Apa guna pasang pelita,
Kalau tidak dengan sumbunya;
Apa guna berjaga mata,
Kalau tidak dengan sungguhnya.

Apa guna pasang pelita,
Pasang tanglung baik lagi;
Apa guna bermain mata,
Ambil langsung baik lagi.

Apa guna pasang pelita,
Pasang sekali di rumah dapur;
Apa guna berpandangan mata,
Pandang sekali hatiku gugur.

Apa gunanya pasir sebumbun,
Kalau tidak setinggi duduk;
Apa guna kasih setahun,
Kalaulah tidak seumur hidup.

Apa kebil pisang memandak,
Pisang baling banyak lagi;
Apa kebil orang tak ndak,
Orang lain banyak lagi.

Apa kena baju kebaya,
Tapihlah batik buatlah lena;
Apa guna macam saya,
Rupa ada pandailah tiada.

Apa khabar pasir Bintulu,
Bolehkah kita berjalan lagi;
Apa khabar kasih dahulu,
Bolehkah tidak diulang lagi?

Apa lauk nasi kurendang,
Putik petola dari Patani;
Apa ubat hatiku terkenang,
Gesek biola tariklah menyanyi.

Apa lebih kepada belida,
Sisik ada tulang pun ada;
Tak dak lebih darimu dinda,
Bahasa ada rupa pun ada.

Apa oleh mengayam nyiru,
Nyiru dianyam di atas bukit;
Apa oleh menahan rindu,
Kalau ditahan jadi penyakit.

Apa penjolok di bintang sayang,
Batang padiku sambung lima;
Apa pemujuk hatimu sayang,
Sanggul lintang kusisip bunga.

Apa payah mudik ke Jerai,
Kayu mentolak nipis kulit;
Apa susah kita bercerai,
Ada umur kita berbalik.

Apa rasa makan di daun,
Makan di talam serasa nasi;
Apa rasa cerai setahun,
Cerai sehari serasa mati.

Apa sebab bergelang paun,
Bambawaran gelang di kaki;
Apa sebab ku teraun-raun,
Pembawaan sudahlah di hati.

Apa sebab bulan tak terang,
Bulan pega di Tanjung Batik;
Apa sebab apa tak datang,
Abang pegang muda yang cantik.

Apa sebab bulan tak terang,
Bulan pega di Tanjung Batik;
Apa sebab apa tak datang,
Abang pegang muda yang cantik.

Apa sebab guruh di hulu,
Itu tanda airnya dalam;
Kalau tidak berjanji dahulu,
Masakan abang berjalan malam.

Apa timbul dalam puri,
Halwa ridan bersama cempedak;
Apa masyghul di dalam hati,
Pagi makan petang tidak.

Apalah guna kasih setimbun,
Eloklah kasih pengintai duduk;
Apalah guna kasih setahun,
Eloklah kasih seumur hidup.

Apalah kena gigiku ngilu,
Bawa berulam buah pelada;
Apakah kena hatiku pilu?
Bawa memandang wajah kakanda.

Apalah kena pauh buritan,
Ambil talam taruhlah pauh;
Apalah kena burunglah di hutan,
Lepas di tangan terbanglah jauh.

Apek Luek memakan sirih,
Sirih dijual jambatan panjang;
Cantik molek kami tak pilih,
Syukur jangan mata keranjang.

Api apa di Tanjung Jambu?
Api Pak Jenal di hujung perahu;
Anak siapa berdua itu?
Sahaja kenal nama tak tahu.

Api apa di teluk itu,
Api orang membakar ketam;
Laki siapa dipeluk itu,
Laki orang pinang semalam.

Api siapa di teluk itu,
Tempat budak membakar kurau;
Anak siapa secantik itu,
Bolehkah kami menumpang gurau.

Api-api berpagar dusun,
Anak Keling bergelang suasa;
Bukan mati kerana racun,
Mati kerana tidak kenal biasa.

Api-api pangkalan tarap,
Pucuk meluncur dari Labuan;
Laki-laki jangan diharap,
Bijak memujuk si perempuan.

Api-api tembaga dusun,
Anak Perlin bergelang kaca;
Bukan mati kerana racun,
Mati terjelir si ekor mata.

Arulah aru ketumbar aru,
Aru kering beri berair;
Kalaulah tahu bersama tahu,
Barang ditahu jangan dilahir.

Asal kapas menjadi benang,
Sudah benang menjadi kain;
Barang lepas jangan dikenang,
Sudah jadi orang lain.

Asal sukun di Laut Jati,
Terendak Cina jatuh ke ruang;
Patah tumbuh hilang berganti,
Kasih lama tidak terbuang.

Asam jawa pokok di hutan,
Dibawa orang tanam ke desa;
Selagi nyawa dikandung badan,
Tidaklah hamba berputus asa.

Asam jawa terlalu masak,
Masak tak boleh dijeruk lagi;
Hati saya terlalu rosak,
Rosak tak boleh dipujuk lagi.

Asam kandis asam geligir,
Taruh mari di dalam dulang;
Mulutnya manis di luar bibir,
Manis tidak sampai jua ke tulang.

Asam kandis buah di hutan,
Limau purut batang berduri;
Tipu daya kehendak tuan,
Tidak menurut rosak hati.

Asam kandis buah papaya,
Hendak dimakan bersama kelapa;
Hati sedih tidak terkira,
Kerana lama tidak berjumpa.

Asam pauh asam pulasan,
Anak gembala bertarik tali;
Adik jauh kami berpesan,
Jangan lama tidak ke mari.

Asam pauh gelinggang batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Meskipun jauh di Balai Satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Asam paya di dalam belukar,
Pohon jati di tengah huma;
Hati saya tidak boleh ditukar,
Hidup mati hendak bersama.

Asam paya tepi perigi,
Mari diletak di kayu jati;
Jangan percaya mulut lelaki,
Berani bersumpah takut ke mati.

Asap api di Tanjung Tuan,
Kuala Linggi batunya rendah;
Hajat hati kepadanya tuan,
Langit yang tinggi menjadi rendah.

Asap api di Tanjung Tuan,
Nampak dari Tanjung Jati;
Harap hati kepada puan,
Tidak puan siapa lagi?

Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu;
Hajat hati tak ndak bercerai,
Perintah Allah siapa tahu.

Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu;
Niat hati tak ndak bercerai,
Kehendak Allah siapa yang tahu.

Asap api embun berderai,
Ramas santan di dalam mangkuk;
Hajat hati malas bercerai,
Ibarat ikan meninggal lubuk.

Asap api naik berjurai,
Terkerat tali di haluan perahu;
Hajat hati tak mahu bercerai,
Janji tersurat siapa tahu.

Asap berkepul di Tanjung Batu,
Orang berkebun di Kampung Baharu;
Jangan adik pergi dahulu,
Hati tak tahan menanggung rindu.

Assalamualaikumlah salam,
Sirih lipat pinang di dalam;
Apa khabar bunga di kolam,
Ada sekuntum kembang malam.

Asuklah hitam bergigi emas,
Ekor dia lilit ke sawa;
Tubuhnya hitam kupeluk kemas,
Rasa memeluk intan gemala.

Asuklah kasut jalan ke pasir,
Hendak berahi di dalam puan;
Rambut kusut tidak tersisir,
Dendam berahi denganmu tuan.

Atas bukit menahan angin,
Buah pauh timbul tenggelam;
Alang sakit bercerai main,
Sudah jauh berkirim salam.

Ati-ati kulit manis,
Ragi-ragi dalam puan;
Laki-laki mulut manis,
Pandai pujuk hati perempuan.

Ati-ati tumbuh di paya,
Air tenang di kaki bukit;
Sampai hati meninggalkan saya,
Tidak mengenang barang sedikit.

Aur lentik dijinak kijang,
Anak Jawa minum di mangkuk;
Keningnya lentik dadanya bidang,
Anak muda dipanah mabuk.

Awa-awa kena belatik,
Sayang Cik Cepa mudik bergalah;
Buat pura dua beradik,
Barang siapa menjadikan salah.

Awak di mana kalam?
Kalam di rumah tukang surat;
Mengeluh juga tengah malam,
Sakit nan tidak dapat ubat.

Awan berarak perlahan-lahan,
Ditiup angin ke negeri Champa;
Hati sedih tidak tertahan,
Ingin selalu hendak berjumpa.

Awan berarak putih berseri,
Hilang di balik awan petang;
Bukan kepalang resah di hati,
Kerana kekasih dilarikan orang.

Ayam biring kuning kakinya,
Anak nyonya membeli kain;
Abang tinggal sumbing hatinya,
Sama-sama mencari lain.

Ayam Bugis menyabung tali,
Mari berlaga Alor Kesinai;
Adik putih cuba lalu lagi,
Berpaling tengok abang nak kenai.

Ayam denak ayam dani,
Ayam cempa makanlah padi;
Kalau tiada abang di sini,
Kamilah rindu sampai ke mati.

Ayam denak beranak empat,
Cari makan di cerang rimba;
Tengok jinak tangkap tak dapat,
Hati mana saya tak gila.

Ayam denak di tengah padang,
Mari dipecat budak raja;
Sungguh jinak mata memandang,
Tak boleh ditangkap sahaja.

Ayam denak hujung tualang,
Hutan batu bersimpul pulih;
Hak jinak menjadi jalang,
Ke mana hatiku hendak boleh.

Ayam denak hujung tualang,
Hutan batu simpul pulih;
Hak jinak jadi jalang,
Guna tipu hendak boleh.

Ayam hitam ayam didik,
Petang-petang masuk kampung;
Tubuh hitam badannya kecil,
Tinggal pengukur mayang nibung.

Ayam hutan keluar hutan,
Ular lidi mati tersangkut;
Emak bukan saudara bukan,
Kerana kasih saya turut.

Ayam hutan terbang ke hutan,
Turun ke tanah mencari makan;
Kerana digila burung di hutan,
Denak di rumah mati tak makan.

Ayam hutan terbang ke hutan,
Hinggap di tanah mencari makan;
Hendak memikat burung di hutan,
Burung di sangkar mati tak makan.

Ayam ini ayam delidau,
Kokok mari atas pagar;
Kalau tak boleh muda sesurau,
Tujuh guru saya belajar.

Ayam jalak kedua jalak,
Ayam biring kuning kakinya;
Adik pergi tergelak-gelak,
Abang yang tinggal sumbing hatinya.

Ayam jalak terlalak-lalak,
Ayam biring kuning kakinya;
Abang pergi tergelak-gelak,
Adik tinggal sumbing hatinya.

Ayam kecil terlalak-lalak,
Ayam biring kuning kakinya;
Abang pergi tergelak-gelak,
Adik tinggal sunyi hatinya.

Ayam kuning ekornya lebat,
Ayam bertelur di dalam huma;
Putih kuning si rambut lebat,
Bolehkah tidak abang bertanya.

Ayam putih berkokok lalu,
Daun serbat di dalam padi;
Adik putih alang gemalu,
Tidak galak di dalam hati.

Ayam terbang dari Setul,
Balik makan padi huma;
Ayuh abang jangan masyghul,
Adik nak balik tak lama.

Ayam-ayam tersipi-sipi,
Sambar dek elang tercungap-cungap;
Tidur malam termimpi-mimpi,
Tidur siang teringat-ingat.

Ayam terungap beranak lapan,
Seekor mati dimakan buaya;
Sakit mata memandang bulan,
Bulan tidak menimbang rasa.

Ayang-ayang kepalanya pecah,
Nampak dari Tanjung Keramat;
Kasih sayang bercerai sudah,
Minta air doa selamat.

Ayonglah si kunang-kunang,
Ia bernama si bunga pinang;
Rosaklah di laut boleh kurenang,
Rosak di hati tidak kusenang.

Ayung-ayung buah kerayung,
Masak sebutir di hujung julai;
Saya duduk tanjung-tanjung,
Duduk bergantung rambut sehelai.


Dipetik Dari Buku Kuri Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Share :

Facebook Twitter Google+ Lintasme

Related Post: