KISAH BERSIRIH
Bumi Melaka begitu mewah,
Dagang dan santri menjadi meriah;
Banua Keling datang berhebah,
Sirih pinang buat persembah.
Sultan Iskandar Sultan Melaka,
Abad empatbelas kisah bermula;
Ole datang bersama bahtera,
Adat resam menjadi gempita.
Makan sirih di dalam puan,
Puan datang dari Deli;
Melayu, Cina, Keling juga Pagan,
Sirih junjung jadi penyeri.
Budaya Melayu terkenal sudah,
Istana dan rakyat begitu terserlah;
Sejak dahulu adat bersirih tiada gundah,
Hingga kini jadi pengkisah.
Sirih adat sirih dijunjung,
Buat pengubat oleh si Dukun;
Semuga ia jadi penyanjung,
Kepada rakyat turun temurun.
Gadis Acheh berhati gundah,
Menanti teruna menghulur tepak;
Gula manis sirih menyembah,
Adat dijunjung dipinggir tidak.
SIRIH PINANG
Sirih junjung sirih pinang,
Sirih kami susun bertingkat;
Adat dijunjung pusaka dikenang,
Bangsa berbudi hidup muafakat.
Sirih junjung sirih pinang,
Sirih kuning diberi nama;
Adat dijunjung pusaka dikenang,
Hidup berbudi muafakat bersama.
Sirih kuning sirih dara,
Sirih tanya berserta cincin;
Hidup beradat aman sejahtera,
Budaya lama tetap terjamin.
Sirih kuning diberi nama,
Sirih tanya berserta cincin;
Hidup berunding muafakat bersama,
Bangsa mulia budaya dijamin.
Orang Jawa turun ke dusun,
Singgah sejenak di pinggir kota;
Kami bawa sirih tersusun,
Sudilah sepiak pembuka kata.
KISAH BERSIRIH
Bumi Melaka begitu mewah,
Dagang dan santri menjadi meriah;
Banua Keling datang berhebah,
Sirih pinang buat persembah.
Sultan Iskandar Sultan Melaka,
Abad empatbelas kisah bermula;
Ole datang bersama bahtera,
Adat resam menjadi gempita.
Makan sirih di dalam puan,
Puan datang dari Deli;
Melayu, Cina, Keling juga Pagan,
Sirih junjung jadi penyeri.
Budaya Melayu terkenal sudah,
Istana dan rakyat begitu terserlah;
Sejak dahulu adat bersirih tiada gundah,
Hingga kini jadi pengkisah.
Sirih adat sirih dijunjung,
Buat pengubat oleh si Dukun;
Semuga ia jadi penyanjung,
Kepada rakyat turun temurun.
Gadis Acheh berhati gundah,
Menanti teruna menghulur tepak;
Gula manis sirih menyembah,
Adat dijunjung dipinggir tidak.
BEKAS SIRIH
Gading dan perak gubahan ternama,
Pucuk rebung penghiasnya pula;
Helaian sirih tersisip sedia,
Di dalam puan sedia tersua.
Tuah dan Jebat bersirih malam,
Sepah dibuang di dalam kolam;
Bekas sirih bermacam ragam,
Bak piring, cawan pastinya logam.
CELEPA BERLIAN
Kau rumpunan sirih puan,
Rupa mu anggun lagi menawan;
Emas permata bertatahkan berlian,
Bentuk diri mu kebulat-bulatan.
Bujam Epok di Negeri Sembilan,
Tekat emas hias sulaman;
Sandang di bahu bagai tas tangan,
Budaya Minang juga Yamtuan.
Lebar daun sahabat karib mu,
Piak sirih tidaklah ragu;
Di istana milik Tuanku,
Kelantan juga Terengganu.
CEMBUL BERMADAH
Iras mu bagai celepa,
Bertudung lingkup penuh budaya;
Kapur pinang gambir juga ada,
Di dalam puan kau persada.
Kau tersesun begitu indah,
Punya perwatakan dan juga madah;
Lima sekawan tiadalah gundah,
Membuat budaya tidak ditelah.
DEMANG LEBAR DAUN
Tembakau
Nocptiana tobacum kata sain
Dari keluarga Soalnaceae
Seluruh dunia memerlu mu
Ubat dan mudarat
Pepohon mu pohon renek
Petani di ladang membelai
Dikunyah segumpal diri mu
Kepada petani ketagih
Bersama sepiak sirih
Songel juga sentel
GOBEK NENEK TUA
Kau ku belai manja,
Bak gadis berbaju kurung;
Seribu nikmat seribu hikmat,
Warna-warna emas perak.
Persada di singgahsana,
Nenek tua punya cerita;
Meraba ketar tangan,
Ditujah sepiak sirih
Tersungging puas ketagih lega
KACIP MELAYU
Rata-rata kau adalah besi padu
Pandai besi mengolah dan merobah
Jadilah paras mu comel lagi indah
Kacip kata ku
Adakottu nama asal mu
Benua Keling mambawa berita
Tiga kurun telah berlalu
Kerja mu tidak berubah
Pinang jua yang dihogah
Pensirih yang tidak gundah
Kerja kuat ikut perintah
Mujur lalu melintang patah
SEKELAT GAMBIR
Uncaria gambier
Katta kambu kata Benua Keling
Abad tujuhbelas kau jelajahi bumi Melayu
Johor Riau semasa bersatu
Bumi Jawa asal darah mu
Dedaun mu kekuningan bak suria petang
Petani gembira meragut segala
Jadilah ia gambir sedia
Ubat dan sirih campuran jua
Bak menambah kuasa mu
Kelat, enak rasa penawar jua
NARWASTU BUNGA CENGKIH
Belanda Portugal adalah musuh mu
Pulau Moluku tumpah darah mu
Zanzibar Madagaskar
Indonesia jua Nusantara Melayu
Itulah panghijrahan tempat mu
Harum mu seharum narwastu
Malar hijau milik pepohon mu
Rimbun mu meredup bumi Melayu
Pengemis menagih bunga mu
Untuk santapan hidangan dirindu
Apa kurang para pensirih
Menjadi leleh hayal dan letih
SEJATI KASIH SEJUNJUNG SIRIH
Kau dambakan hidup di pepohon liar
Kau julang megah diri menongkat langit
Kau warnai diri dengan kehijauan alam
Rimbun mu bak payung mahkota
Hidup mu di padang tropika
Asia, Madagaskar juga Afrika
Saudara saudara sebangsa
Melayu Keling Udang juga Cina
Mat salleh punya angkara
Piper betel linn ditukar nama
Piperaceae punya keluarga
Aku tetap aku, sirih kata ku
SEPAHIT KAPUR
Cengkerang
Tanah liat asal diri
Putih mu bak putih salju
Lembut mu membakar lidah
Secalit tidak berasa gundah
Untai-untai segagang sirih
Asal liat rapuhlah ia
Gobek-gobek tidaklah jerih
Kepal-kepal ditelan jua
SIRIH JUNJUNG DARA PINGITAN
Kau adalah penyeri,
Kau adalah kemestian;
Perkahwinan perawan sunti,
Sebagai hadiah hantaran.
Dihias indah disusun rapi,
Bagai menara gagah berani;
Adat Melayu pengiring Menteri,
Dalam acara upacara rasmi.
Sirih adat, sirih dijunjung,
Gubahan oleh andam bistari;
Adat dijunjung, adap disanjung,
Resam budaya hingga kini.
Dihias indah disusun rapi,
Bagai menara gagah berani;
Adat Melayu pengiring Menteri,
Dalam acara upacara rasmi.
Sirih adat, sirih dijunjung,
Gubahan oleh andam bistari;
Adat dijunjung, adap disanjung,
Resam budaya hingga kini.
SIRIH PUAN CERANA KAYU
Sirih Puan
Tempat sirih
Tepak sirih
Cerana
Perak emas ukiran Melayu,
Kayu tembaga juga ada;
Puan Bujur, Puan Naga Taru,
Negeri Perak ampunya regalia.
Sirih di puan berseri sudah,
Tepak sirih mainan Biduanda;
Tempat sirih menjadi wadah,
Cerana pula apa kurangnya.
Budaya bersirih lambang berbahasa,
Hingga kini masih dipuja,
Sultan Melaka muda remaja;
Tun Teja pula gah jelita,
Helai berhelai sirih di cerana,
Adat meminang warisan bangsa.
ULIT MAYANG
Areca catechu
Area-nut, Betel-nut, Pinang
Palmae juga rumpun mu
Jemala mu bagai merak menyinga
Lurus meruncing mengapai ruang angkasa
Mayang diulit gemalai tarian mu
Kau begitu ghairah dengan bibit mu
Para pensirih datang menggarap
Dibelai manis
Dikunyah kelat payau rasa mu
Satu resepi mesti padanya
Jika tiada murunglah ia