Turun ke kolam mandikan anak;
Bukankah baik beli borong,
Timbang kati untung tak banyak.
Ada satu panglima Pulai,
Pelihara janggut serta misai;
Begitu banyak kain di kedai,
Berkain kasar dengan cindai.
Ambil akar tanah seberang,
Bawa belayar pergi Sandakan;
Kedai besar barang kurang,
Apa guna berniaga di pekan.
Ambil cincin sarung di jari,
Pakai oleh budak-budak;
Kalau berniaga ringgit sendiri,
Cili garam taukeh juga.
Anak burung dadanya merah,
Besok hari beralih putih;
Beli borong memang murah,
Asam manis apa dipilih.
Anak burung terbang perlahan,
Hinggap mari ranting kayu;
Kalau nak beli buah setandan,
Tentu bercampur masak layu.
Anak Cina lalu berdua,
Lalu di kedai membeli gula;
Kita pandai sama berniaga,
Tengok kulit tahu rupa.
Anak Cina menggali cacing,
Letak mari dalam tempurung;
Kalau tak kenal mata dacing,
Pada ditimbang baik diborong.
Anak endong mandi berjirus,
Sejuk sampai ke tulang sendi;
Biasa kurenung biasa kubungkus,
Berniaga belum pernah rugi?
Anak rusa satu kandang,
Bunyinya sampai mendayu-dayu;
Khabar nakhoda ada dikenang,
Habis membeli sehelai baju.
Anak tupai di atas carang,
Jatuh melompat patah kaki;
Kalau pandai menjaga barang,
Mana boleh jadi rugi.
Apa bekal pergi ke Cempa,
Untuk makan dalam perahu;
Biar mahal barang ditempa,
Jika borong saya tak mahu.
Apa benda dalam pasu,
Rebus ketupat jadi batu;
Kalau berniaga kongsi bisu,
Jangan untung rugi tak Berniaga/untung
Apa bunga tidak bertangkai,
Itu bernama bunga rampai;
Kalau tak pandai ilmu berkedai,
Habis modal untung tak sampai.
Ayam bertelur dalam semak,
Telur habis makan dek jukung;
Bagaimana badan tak gemuk,
Abang balik membawa untung.
Ayam ini ayam Melaka,
Mari dijual ke Tanjung Pagar;
Kalau tuan ingin berniaga,
Hasil negeri mahulah dibayar.
Ayam ini ayam tambatan,
Mari ditambat pantai Melaka;
Kudengar tuan bergedung intan,
Bolehkah saya tumpang berniaga?
Ayuh encik jari bersusun,
Mengadap raja sehari-hari;
Pandai menjaga buah di kebun,
Mana boleh jadi rugi.
Batang kepaya dibuat tongkat,
Salah pegang jatuh terlipat;
Kalau berniaga tak tengok tempat,
Modal habis untung tak dapat.
Budak-budak beli terung,
Kalau terung dimasak minyak;
Lagi ditimbang baik diborong,
Kalau ditimbang untung tak banyak.
Budak-budak gali cacing,
Gali mari bawah tempurung;
Kalau tak kenal mata dacing,
Lagi ditimbang baik diborong.
Bunga dibawa dari Deli,
Kembang tengah tiga cabang;
Tuan jual saya beli,
Kalau tidak saya menumpang.
Cantik semacam anak patung,
Baju merah baju kurung;
Nasib berniaga kalau mahu untung,
Modal sedikit jadi sekarung.
Cik Mamat cucu perompak,
Hendak merompak tanah seberang;
Cari modal penuhkan petak,
Baru boleh lawan gelombang.
Cina melompat lautan api,
Merebut gemala di mulut naga;
Asal mendapat kehendak hati,
Mahal murah dibayar harga.
Dari Deli pergi ke Medan,
Singgah di kedai hujan menitik;
Kalau nak beli buah setandan,
Tentu bercampur besar kecik.
Dari jauh bermalam datang,
Hendak menuju pergi Kemboja;
Jika sudah terkata langsung,
Mahal dan murah ikut harga.
Dari mula Melayu tak jaga,
Pasal belajar ilmu meniaga;
Kalau tahu rugi laba,
Berat ringan kita boleh jangka.
Dinding kebun tepi perigi,
Kepung dengan atap nipah;
Basah kering dibuat mandi,
Tentang harga belum berubah.
Encik Arshad menggali cacing,
Itik baru kerat kepaknya;
Kalau pandai menimbang dacing,
Baru tahu di mana beratnya.
Gali cacing di Kampung Cina,
Pergi mengail keruh airnya;
Timbang dacing kena sukatnya,
Baru berniaga boleh lama.
Jak jeti murai batu,
Kereta ekor potong kepala;
Kalau kudapat kemudi itu,
Kutabur urai tujuh kuala.
Kalau tuan pergi ke darat,
Jalan mari hujung tanjung;
Simpan ringgit nanti berkarat,
Bawa berniaga cari untung.
Kapal belayar tengah lautan,
Tenggelam timbul pukul taufan;
Datang ribut barat selatan,
Belum saya buang muatan.
Kinabalu bertangga peti,
Ambil gemala di mulut naga;
Kalau sudah paksa di hati,
Mahal murah baik harga.
Kinabalu bertanggalah pati,
Ambil gemala di mulut naga;
Jikalaulah sudah kehendak di hati,
Mahal dan murah turuti harga.
Laksamana menyukat beras,
Sukat mari segantang padi;
Timbang baik kalau jelas,
Baru senang berjual beli.
Mari masak dengan santan,
Ikan duri panjang setual;
Belum tahu bencana intan,
Mahal beli murah dijual.
Masak nasi bergulai belum,
Nanti udang dari kuala;
Sarat muatan belayar belum,
Nanti turun angin utara.
Masuk ke hutan memotong gelam,
Hendak membuat panggang para;
Muatan sarat belayar belum,
Baru bertiup angin utara.
Naik ke darat ke Paya Padang,
Bunga kenidai bunga kenanga;
Jong sarat sudahlah pulang,
Teluk Berantai ada gantinya.
Orang mengail Sungai Kukup,
Pakai terendak dengan tudungnya;
Tuan beli timbang tak cukup,
Orang berniaga apa untungnya.
Orang Seberang gali cacing,
Cacing ada di kebun Cina;
Beli timbang kutengok dacing,
Beli borong kerap terkena.
Pandai burung terbang terus,
Mandi di tunggul kolam Kelang;
Biar muatan dikongkong arus,
Mana timbul kubawa pulang.
Pandai tembak si anak Deli,
Dapat seekor si burung pega;
Orang menjual kita membeli,
Berapa harga jangan dikira.
Pilih-pilih tempat nak mandi,
Pertama teluk kedua pantai;
Asyik memilih kain sekodi,
Manakan laku kain sehelai.
Pusing gasing tangan kidal,
Tali pendek putus sejengkal;
Kalau untung bercampur modal,
Itu tanda berniaga tak kekal.
Rumah kecil bertangga lima,
Pakai menyalai ikan khasi;
Pandang kecil tumpang bertanya,
Berapa harga intan di sini?
Sari-sari pergi ke pasar,
Jumpa barang baik dibeli;
Jangan kira kecil besar,
Asal barang dapat kubeli.
Sayang Cina anak Cinaku,
Jawa bodoh balik ke Bugis;
Jangan berniaga barang tak laku,
Hingga berlapuk jual tak habis.
Selagi dunia nampak dipandang,
Buat amal sehari-hari;
Mana yang masam sukat gantang,
Mana yang manis kukira biji.
Terang bulan menggali ubi,
Ubi digali lagi muda;
Kalau tuan tak tahan rugi,
Janganlah bermain dari mula.
Terbang ayam di tengah laman,
Kuis-kuis mencari makan;
Sudah biasa dacing di tangan,
Rugi di kampung untung di pekan.